Kosmo online
JOHOR BAHRU - Harga daging segar boleh mencecah RM25 sekilogram.
Itulah bayangan yang diberi peniaga Pasar Kip Mart, Tampoi di sini yang menjangkakan harga daging segar akan meningkat lebih tinggi ekoran kenaikan harga lembu hidup oleh pembekal.
Ketika ini di pasar tersebut, harga daging segar dijual antara RM18 dan RM20 sekilogram manakala daging beku import dijual antara RM11 dan RM12 sekilogram.
|
|
Seorang peniaga, Kamarul Zaman Abd. Jalil, 26, berkata, ketika ini harga seekor lembu hidup seberat 400 kilogram (kg) berharga antara RM2,800 hingga RM3,000.
Katanya, harga lembu hidup sebelum ini antara RM2,500 hingga RM2,000 seekor.
"Harga sekilogram daging boleh mencecah RM25 dalam tempoh terdekat dan ini kerana, lembu tersebut juga diimport dari negara luar iaitu Australia.
"Harganya turut bergantung pada tukaran wang asing dan kenaikan harga minyak dunia," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
|
|
Seorang lagi peniaga, Hamisah Abu Wahab, 54, berkata, setakat ini dia belum lagi mendengar sebarang kenaikan harga.
Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini dia juga mengeluh dengan kenaikan harga lembu hidup yang pastinya akan menjejaskan harga jualannya.
"Jika jual dengan harga mahal pasti pelanggan mengeluh dan sebab itu saya masih jual daging segar RM18 sekilogram iaitu murah RM1 daripada harga yang ditetapkan kerajaan," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan yang juga peniaga makanan Ali Madun, 55, turut merasai bahang kenaikan harga barangan sejak sebulan lalu.
Ujarnya, selepas kenaikan harga beras, para peniaga sepertinya turut dibebani kenaikan kos bahan mentah.
Jelasnya, sebelum ini kos untuk membeli barang-barang mentah kurang RM500 tetapi kini boleh mencecah RM800 sehari.
"Harga daging sejuk beku import juga daripada RM9 meningkat kepada RM12 sekilogram," katanya.
0 comments:
Post a Comment