+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

Salahuddin dikritik 'gagal' debat minyak

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Jun 11, 08 3:24pm

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub hari ini menjadi sasaran kritikan penyokongnya sendiri apabila didakwa "gagal" dalam perdebatannya dengan Datuk Sharir Samad berhubung isu kenaikan harga minyak.

Perdebatan ahli parlimen Kubang Kerian dengan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna disiarkan secara langsung selama sejam di RTM1 jam 9.30 malam tadi.

Beberapa pembaca mengkritik kelemahan Salahuddin di laman web Tranungkite.net, milik Pemuda PAS Dungun, Terengganu hari ini dan semalam.

salahuddin ayub pas and kl polis memo 220207 explain"Apa yang saya harapkan dari perdebatan ... tidak langsung mencapai tujuan, ruang dan peluang yang sepatutnya digunakan terus gagal dimanafaatkan Salehuddin, sungguh mengecewakan," kata seorang pembaca web itu, 'Reformis Muda'.

"Saya mencadang selepas ini (ahli parlimen PKR) Saifuddin Nasution (Ismail) ataupun (naib presiden PAS) Husam Musa dihantar mewakili Pakatan Rakyat, kerana Saifuddin lebih bersedia dalam soal fakta dan gaya penyampaian yang sinis. Manakala Husam dilihat lebih berani menyanggah," katanya.

Sementara seorang lagi penulis yang menyumbang kritikan menyatakan hujah-hujah Salahuddin "banyak terdapat di dalam blog-blog internet" dan menyarankan ahli parlimen itu menjalankan kajian awal sebelum menghadiri program tesebut.

"Saya tidak salahkan penonton-penonton apabila kecewa dengan hujah-hujah daripada Salahuddin... Kebanyakan hujah yang dikemukakan oleh Salahuddin pernah terbaca oleh saya (di internet).

"Pada saya, Salahuddin sepatutnya menggunakan hujah beliau sendiri dan boleh menggunakan fakta internet itu sebagai sokongan sahaja," kata 'Ciklee'.

Penulis itu juga menyifatkan Salahuddin gagal "memberikan pukulan KO (kalah terus) kepada Shahrir" yang menyebabkan penonton tidak berpuas hati.

'Pemuda Sabah' menyifatkan ahli parlimen itu suka membuat kesilapan fakta.

"Kadangkala Salahuddin cuba untuk menguatkan hujah beliau berpandukan sejarah dan insiden yang pernah berlaku tetapi cukup memalukan apabila fakta sejarah diubah, malahan Shahrir nampak senyum kambing sambil memperbetulkan beberapa fakta yang didakwa oleh Salahuddin," tulisnya di laman web itu, yang diasaskan sejak 1999.

"Salahuddin sendiri terperangkap dalam data statistik yang disebut oleh beliau apabila kurang memberi perhatian terhadap perbezaan antara 'keuntungan' dengan 'pendapatan'," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, penghujahan wakil PAS itu "agak tercapai" apabila Shahrir kelihatan "tidak mampu memberi satu jawapan konkrit" berhubung isu tersebut.

"Beliau lebih banyak bermain kata-kata dan bercakap tentang teori semata-mata," tulis 'Pemuda Sabah'.

Selepas menganggap Salahuddin gagal menggunakan istilah-istilah umum yang difahami semua, 'Tinta Islam' pula kecewa kerana wakil PAS itu gagal menimbulkan isu-isu kesusahan orang ramai.

"Namun bagi pihak rakyat, ana (saya) merasa sedikit kecewa kerana Salahuddin tidak dapat membangkitkan hujah-hujah bagi menyuarakan kesusahan dan keperitan hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga minyak yang melampau," tulisnya.

'Reformis Muda' bersetuju dengan pandangan ini dan mencadangkan "kita perlu menyampaikan dengan bahasa yang mudah dan senang diterjemah dan dirasai rakyat."

"Gaya bahasa dan rentak beliau bercakap seperti seorang profesor yang didatangkan dari Universiti Tokyo untuk menyampaikan kuliah sains," katanya.

'Reformis Muda' berkata tidak sesuai Salahuddin membincangkan isu carigali Petronas tetapi seharusnya mengupas "tentang kesannya kepada rakyat."

'Topeng Perak' turut membangkitkan persoalan yang sama.

"Saya kira golongan (berpendapatan rendah) ini amat-amat kecewa dengan Salahuddin kerana beliau juga seolah lupa pada golongan ini. Pada saya kesilapan Salahuddin ialah, terlalu cepat dan gopoh dalam memenangi isu ini," katanya.

Beliau mencadangkan ahli parlimen itu berbincang dengan semua golongan sebelum bertindak sebagai "duta besar" di program TV itu.

Seorang penulis yang dikenali 'Matlan75' menganggap ulasan Salahuddin "terlalu berhati-hati" sehingga "mood penonton hilang apabila mendengar hujahnya."

"Penonton mahu hujah yang kuat dan boleh membuatkan Shahrir jadi bisu dan terus masuk PAS. Itu yang rakyat mahu," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |