+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, November 6, 2008

Tutup balai bukan takut penjenayah, kata menteri

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Nov 6, 08 3:19pm

Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar menafikan balai polis Lorong Haji Taib ditutup kerana anggotanya takut kepada penjenayah di kawasan tersebut.

syed hamid albar visit new chow kit police station 061108 04Sebaliknya, katanya, balai polis tersebut ditutup kerana premisnya telah diambil pemiliknya iaitu RHB untuk dijadikan kawasan perdagangan.

"Kalau kata begitu (takut kepada penjenayah) ia seolah-olah polis takut kepada penjenayah, sedangkan tugas polis tangkap penjenayah," katanya kepada wartawan selepas melawat balai polis Lorong Raja Bot di Chow Kit hari ini.

Syed Hamid berkata beliau juga memberi jawapan yang sama ketika menjawab soalan ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo'lo' Ghazali di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam jawabannya kepada ahli Parlimen Titiwangsa itu, Syed Hamid dilaporkan berkata, balai polis Lorong Haji Taib ditutup demi keselamatan anggotanya kerana kawasan itu banyak kegiatatan jenayah.

"Saya mengakui telah memberi kesilapan fakta ketika menjawab soalan itu kerana ia ditutup disebabkan premis itu telah diambil balik oleh pemiliknya," katanya.

Walaupun balai polis itu ditutup, tetapi Syed Hamid berkata, masih terdapat balai polis Lorong Raja Bot di kawasan Chow Kit.

Tumpuan pendatang

Bagaimanapun, katanya, premis balai tersebut sempit dan hanya boleh menampung 10 anggota polis dengan empat kenderaan pelbagai guna.

syed hamid albar visit new chow kit police station 061108 01Berikutan itu, katanya, sebuah balai polis baru akan dibina di sebidang tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di situ.

"Walaupun balai polis ini kecil tetapi ia boleh mengawal keadaan jenayah di kawasan ini. Orang tidak menggunakan tempat ini (Chow Kit) sebagai transit untuk melakukan jenayah.

"Dulu Chow Kit tempat bermacam orang berkumpul tetapi tidak boleh dikategori sebagai kawasan hitam walaupun pelbagai aktiviti berlaku di sini," katanya.

Selain balai polis Raja Bot, katanya, kawasan sekitar Chow Kit juga di kelilingi balai polis lain, termasuk balai polis Dang Wangi.

Ditanya mengenai Chow Kit yang menjadi kawasan tumpuan pendatang, Syed Hamid berkata, polis akan mengambil tindakan ke atas pendatang tanpa izin.

"(Tetapi) saya tengok orang yang berniaga di sini, dari segi bahasanya, (mereka) orang dari pantai timur," katanya.

Read More...

Tahniah Barack Obama - PAS

Siasahdaily

Oleh SALMA HUSIN

KOTA BHARU, 5 Nov: Mursyidul Am PAS menyifatkan kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini merupakan satu perkembangan baru politik dunia.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkembangan itu membuktikan rakyat Amerika menolak cara agresif George W Bush yang sebelum ini menindas dengan rakus negara-negara umat Islam.

"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujarnya sebagai reaksi pertama ekoran kemenangan Obama yang kini menghampiri White House.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini, Rabu lalu.

Di Washington Senator Barack Obama berjanji kepada rakyat Amerika Syarikat akan membawa negara itu ke era baru yang diharapkan semua pihak.

Beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House setelah ditunggu dalam tempoh begitu lama.

"Pilihan raya itu merupakan satu detik yang bermakna ke arah perubahan Amerika," kata Obama ketika berucap pada kemenangannya di hadapan kira-kira 240,000 penyokongnya di Chicago Rabu lalu.Manakala lawannya Mc Cain mengaku kalah dalam pemilihan tersebut.

Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini Amerika telah meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dunia ekoran tindakan agresif yang akan diteruskan McCain dari Parti Republikan.

"Bush sebelum ini 'minum' darah dengan melancar peperangan di Afghanistan, Iraq, Palestin dengan menggunakan kuasa tenteranya," ujar beliau.

Beliau juga mencadangkan Obama menolak fahaman membezakan warna kulit seseorang, sebaliknya dilayan dengan sama rata.

Beliau berkata, semua bangsa di dunia ini sama ada mereka berkulit putih atau hitam sama di sisi Allah, dan apa yang membezakan antara mereka ialah ketaqwaan terhadapNya.

"Sekarang rakyat Amerika dapat menerima seorang pemimpin kulit hitam dan diharap selepas itu serangan terhadap umat Islam juga berakhir tidak sebagaimana dilakukan Bush," ujarnya.

Beliau juga berharap perubahan ke arah itu benar-benar berlaku dan tidak menjadikan Islam sebagai musuh .Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa turut mengucapkan tahniah kepada Obama yang kini mendahului kemenangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Menurutnya, kemenangan Obama membuktikan rakyat Amerika sendiri menolak pemimpin yang angkuh serta tidak menerima pandangan rakyatnya.

Katanya, sebelum ini Bush begitu angkuh dengan mengenepikan pandangan orang lain terutamanya pemimpin negara umat Islam.

"Jadi kita berharap Obama tidak meneruskan gaya berkenaan, sebaliknya lebih bersikap tolak ansur dan berperikemanusiaan," ujarnya.

Read More...

Tak jamin harga turun




MAJORITI pengguna menyambut baik berita penurunan harga barang keperluan yang diumumkan kerajaan sejak kebelakangan ini sejajar dengan harga minyak yang semakin rendah.

Namun, ada juga yang mempersoalkan kenapa penurunan itu hanya melibatkan harga barangan tertentu di pasar raya besar sahaja.

Mengapa pengguna masih tidak dapat menikmati harga rendah untuk barangan keperluan lain yang dijual di kedai-kedai runcit yang mendominasi kawasan pinggir dan luar bandar?

Jika mengambil kira harga bahan api di negara ini yang telah diturunkan sebanyak 40 sen bagi petrol dan 38 sen bagi diesel dalam tempoh dua bulan lalu, manakala terbaru harga minyak dikurangkan sebanyak 15 sen, situasi itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kenaikan harga barangan berpunca daripada lonjakan harga bahan api yang diumum kerajaan pada Jun lalu.

Ketika soalan ini diajukan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad baru-baru ini, menjelaskan masalah itu berlaku kerana peniaga masih menjual stok barangan yang dibeli pada harga sebelum penurunan harga minyak.

Justeru, katanya, kesan penurunan harga bahan api itu akan dinikmati sepenuhnya oleh rakyat dalam masa beberapa bulan lagi.

Bagaimanapun, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani dari Universiti Kebangsaan Malaysia, melahirkan keraguan harga barangan akan turun banyak, atau kembali kepada harga yang dinikmati pengguna pada tahun 2007, sekalipun harga petrol dan diesel terus turun.

Ini kerana, katanya, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi harga barangan di pasaran, dan bahan api hanya satu daripada komponen dalam proses pengeluaran produk.

"Komponen bahan api merangkumi sekitar 40 peratus daripada proses pengeluaran dan ini merujuk kepada pengangkutan, sedangkan ada banyak faktor lain dalam proses pengeluaran ini," kata Mohd Fauzi, Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UKM.

Antaranya ialah faktor tenaga kerja, ketidaktentuan pasaran global serta lokasi.

"Selain itu, struktur pasaran kita juga mempengaruhi harga. Ini kerana terdapat unsur monopoli pada setiap peringkat pasaran seperti pemborong dan peruncit.


PASAR raya besar telah mula menurunkan harga beberapa barangan tetapi bagaimana pula harga barangan di kedai runcit. - Gambar hiasan


"Unsur monopoli ini merujuk kepada jumlah peniaga yang tidak ramai sekali gus memberi mereka kuasa untuk menentukan harga. Misalnya peruncit, kita tengok tak ramai peruncit di satu-satu kawasan dan biasanya harga barangan di kedai-kedai mereka tidak jauh berbeza dan ini mungkin disebabkan mereka mengambil barangan daripada pembekal yang sama," katanya.

Cuaca juga mempengaruhi harga pasaran khususnya bagi produk segar seperti sayuran dan ikan.

Mohd Fauzi juga berpandangan, sekarang adalah tempoh untuk peniaga memperoleh semula margin keuntungan mereka yang hilang sewaktu harga petrol dan diesel dinaikkan.

"Saya tidak mengatakan sekarang ini mereka mengaut keuntungan besar sebab kita perlu mengambil kira bahawa semasa harga minyak dinaikkan dulu, ada yang terpaksa menyerap sebahagian daripada kos, kerana peniaga kecil tidak mampu membayar harga yang terlalu tinggi untuk mendapatkan bekalan.

"Jadi, bagi memastikan pengguna tetap memperoleh barang keperluan, peniaga terpaksa menanggung sebahagian daripada kos itu dan ini telah mengurangkan margin mereka," katanya.

Mohd Fauzi berpendapat, peniaga tidak akan terburu-buru menurunkan harga barangan sekalipun harga minyak di pasaran dunia kini telah jatuh hampir 60 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu.

"Ini kerana keadaan pasaran dunia sekarang yang tidak menentu meningkatkan risiko dan pengusaha tidak akan bertindak terburu-buru untuk bergerak dengan harga semasa," katanya.

Penganalisis ekonomi kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata, pengguna sepatutnya sudah menikmati harga barangan yang rendah memandangkan harga petrol dan diesel masing-masing telah diturunkan sebanyak 40 sen dan 38 sen masing-masing sejak Ogos lalu dan terbaru, 15 sen.

"Mungkin betul pandangan bahawa ada peniaga yang terpaksa menyerap kos berlebihan semasa harga bahan api dinaikkan dahulu, tetapi saya berpendapat, peniaga sudahpun dapat memperoleh semula margin mereka dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

Azrul Azwar berkata, bahawa dalam kes-kes tertentu, berlaku perbuatan pengambilan untung berlebihan.

"Kerajaan perlu mengawasi perkara ini kerana tempoh dua bulan adalah satu jangka masa yang lama untuk peruncit dan pembekal mendapatkan semula margin keuntungan mereka," katanya.

Beliau hairan kenapa hanya harga barangan tertentu yang diturunkan sedangkan kenaikan harga minyak melibatkan semua barang.

"Walaupun beberapa pasar raya besar telah menurunkan harga beberapa barangan, ini hanya memberi manfaat kepada pengguna di bandar.

"Bagaimana dengan pasar mini dan kedai runcit di pinggir bandar dan di luar bandar? Terdapat ramai pengguna mendapatkan bekalan harian mereka dari kedai-kedai ini yang masih menjual pada harga lama," katanya.

Untuk membolehkan rakyat benar-benar menikmati hasil daripada penurunan harga minyak, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan menurunkan harga minyak dalam kadar yang besar.

"Saya rasa 50 sen akan memberi kesan dan bukan menurunkannya 10 atau 15 sen setiap kali," katanya.

Pada masa ini, harga minyak di pasaran dunia ialah AS$62 (RM217.00) satu tong berbanding AS$147 (RM514.50) setong pada Julai lalu.

Penganalisis mengunjurkan harga itu akan terus jatuh selaras dengan krisis ekonomi global sekarang. - Bernama

Read More...

Ke mana Najib larikan RM5 bilion?

Malaysiakini

Hishamuddin Rais | Oct 30, 08 7:47pm

Hari ini telah dipastikan bahawa sistem ekonomi kapitalis neoliberal telah berakhir. Krisis ekonomi yang melanda sistem kapitalis neoliberal ini sedang nazak. Secara bengong, hanya Najib Razak sahaja yang cuba menafikannya dan berkata Malaysia “terselamat.”

Dasar Ekonomi Bengong (DEB) ini akan membawa mudarat yang amat sangat kepada orang ramai. Justeru, mari kita memahami dasar ekonomi Najib ini.

Dua hari sebelum meninggalkan Kementerian Pertahanan, Najib telah menandatangani perjanjian membeli Eurocopter. Helikopter ini berharga RM2 bilion. Brazil telah membeli helikopter yang sama dengan harga 1 bilion ringgit. Apakah Malaysia ditipu 1 bilion ringgit?

Jawabnya - tidak. Harga helikopter ini sama. Tidak berubah-ubah. Tukang buat dan tukang jual ini tidak menipu. Kita rakyat Malaysia yang kena tipu oleh Najibk. Harga ini telah ‘dinaikkan’. Yang membayar nanti kita semua kerana yang membeli helikopter ini kerajaan.

Kerajaan itu orang ramai. Orang ramai itu kita semua.

Cara “menipu” ini samalah seperti cara Najib membeli jet pejuang Sukhoi (Rusia) dan kapal selam Scorpene (Perancis). Yang berbeza kali ini hanyalah tidak ada perterjemah cun dari Mongolia. Juga kali ini bukan syarikat perunding Razak Baginda yang menjalankan urus jual-beli.

Berita masih belum jelas syarikat kroni mana pula yang mendapat komisen 1 bilion ringgit membeli Eurocopter ini.

Dari mana agaknya duit-duit ini akan datang? Apakah duit ini juga datang dari punca yang sama? Dalam suasana gawat ini banyak persoalan timbul kenapa beli helikopter?

Pertanyaan ini terjawab pantas. Belum pun satu bulan menjadi menteri kewangan, Najib telah “melarikan 5 bilion ringgit” duit KWSP. Duit ini ialah duit simpanan kaum buruh dan kaum pekerja. Duit KWSP adalah duit simpanan yang wajib disimpan oleh semua pekerja.

Majikan juga diwajibkan menyumbang dalam dana KWSP. Duit KWSP ini untuk kegunaan di hari tua – sebagai pencen atau untuk diambil membuat rumah, pergi naik haji dan sebagainya.

Menurut DEB Najib, duit 5 bilion ringgit ini akan disalurkan kepada syarikat ValueCap Sdn Bhd. Penyaluran duit KWSP ini bertujuan menaikkan harga nilai saham syarikat-syarikat yang dianggap “jatuh nilai”.

Persoalan timbul - nilai saham ini rendah kerana orang ramai tidak yakin terhadap syarikat-syarikat ini. Memasukkan duit ke dalam syarikat ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Untuk sementara waktu, kemungkinan nilai saham syarikat ini akan naik tetapi akhirnya akan jatuh terlingkup juga.

Apabila saham ini mendapat suntikan 5 bilion ringgit, maka nilai sahamnya naik. Apabila nilainya naik, maka makin ramai tuan empunya saham akan menjualkan saham mereka kerana ekonomi sedang gawat. Apabila saham banyak terjual, maka nilai saham ini akan jatuh kembali.

Hanya orang bengong sahaja yang tidak faham bagaimana spekulasi bergerak pantas di bursa saham Kuala Lumpur. Lima bilion ringgit ini akan dicekup oleh pemodal besar terutama dari luar negara.

Dalam masa yang singkat 5 bilion ringgit ini pasti akan hangus. Lima bilion ringgit ini adalah duit kita semua yang diperjudikan di Bursa Malaysia oleh Najib.

Lihat pula ekonomi kita. Harga bahan bakar petroleum telah jatuh. Ketika artikel ini ditulis, harga setong minyak mentah 62 dolar. Untuk mengeluarkan minyak dari perut laut, Petronas memerlukan 60 dolar. Ertinya, dalam satu tong kita hanya untung 2 dolar. Jika harga minyak jatuh lagi maka tidak berbaloi Petronas mengeluarkan minyak.

Lihat pula harga kelapa sawit. Harganya juga jatuh. Pada ketika ini harga setan minyak sawit kurang lebih 1,500 ringgit. Perbelanjaan mendapat setan minyak sawit dianggarkan antara 1,200 ke 1,700 ringgit. Dalam masa yang tidak lama kos pengeluaran – baja, buruh, pengangkutan – lebih tinggi daripada pendapatan.

Justeru, kerana menyedari semua ini Pakatan Rakyat meminta agar Belanjawan 2009 disemak kembali. Belanjawan yang dibentangkan di Parlimen sekarang berdasarkan harga minyak yang melebihi 100 dolar setong dan harga sawit hampir 3,000 ringgit setan.

Pendapatan negara yang dijadikan asas Belanjawan 2009 bergantung kepada hasil petroleum dan minyak sawit. Jika harga dua bahan eksport utama negara kita jatuh, ertinya pendapatan negara jatuh. Justeru Belanjawan 2009 wajib dikaji semula.

Najib yang menjalankan DEB (Dasar Ekonomi Bengong) telah menolak permintaan Pakatan Rakyat di Parlimen. Apa yang dilakukan oleh Najib ialah “melarikan duit KWSP.”

Selama lebih 30 tahun sistem ekonomi kapitalis neoliberal diperkenalkan oleh Amerika Syarikat. Kapitalis neoliberal bermakna “apa yang boleh jual akan dijual, apa yang boleh beli dibeli”.

Sistem ini mengetepikan peranan daulah. Kerajaan tidak dibenarkan memiliki hospital, sekolah dan universiti, janakuasa elektrik, sistem pengangkutan, air atau menyediakan subsidi untuk orang ramai.

Menurut falsafah neoliberal, jika kerajaan campur tangan, maka sistem ekonomi akan cacat.

Justeru gerombolan United Malays National Organistion telah turut mengamalkan sistem kapitalis neoliberal. Hasilnya – lembaga elektrik dijual pada kroni, lembaga agihan air dijual pada kroni, jalan raya dijual pada kroni, hospital dijual pada kroni.

Siapa kroni ini ? Mereka anak-beranak dan kaum keluarga gerombolan United Malays National Organisation.

Untuk menipu rakyat, maka gerombolan United Malays National Organisation mengatakan bahawa ini adalah Dasar Ekonomi Baru untuk menolong orang Melayu. Apabila ada kritikan muncul, maka gerombolan ini akan berselindung bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak keistimewaan Melayu.

Jika kritikan datang daripada bukan Melayu, maka mereka akan mengatakan bahawa bukan Melayu tidak ada hak untuk membincangkan hak keistimewaan Melayu. Gerombolan ini akan mengancam mereka dengan tindakan undang-undang.

Tingkah laku dan perangai gerombolan United Malays National Organisation ini samalah seperti satu gerombolan perompak – selepas melakukan rompakan, mereka berselindung di masjid, kuil atau gereja.

Beginilah taktik yang telah dilakukan oleh gerombolan United Malays National Organisation berulang-ulang kali.

DEB Najib ini akan membawa mudarat yang maha besar kepada kita semua – Melayu dan bukan Melayu. Ekonomi kapitalis tidak pernah kenal kamu beragama apa, kamu berbangsa apa atau kamu bersembahyang di mana.

Apabila ekonomi kuncup, yang terpukul tenat ialah kelas bawahan – kaum pekerja, kaum buruh, kaum tani dan nelayan dipukul hebat. Ramai warga hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Kita wajib menerima hakikat bahawa Malaysia turut sama mengamalkan sistem ekonomi kapitalis neoliberal. Sistem ini berpusat di Amerika Syarikat. Apabila ekonomi Amerika Syarikat menguncup, maka semua ekonomi kapitalis neoliberal dalam dunia ini juga akan turut menguncup.

Justeru Pakatan Rakyat tidak ada pilihan melainkan wajib mengambil alih kerajaan secepat mungkin untuk menyelamatkan negara daripada bencana kemelesatan ekonomi.

DEB Najib wajib digantikan secepat mungkin. Malah Najib sendiri wajib dihumbankan dalam tong sampah sejarah.

Langkah awal ialah konsep kembali ke bumi. Pertanian wajib dijadikan tulang belakang ekonomi Malaysia. Pertanian ini bukan hanya menanam sawit atau getah sahaja tetapi rakyat wajib dibantu untuk menghasilkan tanaman makanan.

Jika ekonomi meleset, orang ramai masih ada makanan. Makanan untuk diekspot bukan tujuan utama kerana pasaran makanan dunia juga sedang menguncup. Jika kita dapat mengekspot makanan, maka anggaplah ini sebagai bonus.

Kembali ke bumi bertujuan membeli masa agar kita dapat menyusun kembali struktur ekonomi kita yang selama 30 tahun ini telah diporak-perandakan oleh dasar kapitalis neoliberal.

Tidak dapat tidak penstrukturan baru ekonomi yang akan dibawa oleh Pakatan Rakyat tidak akan berpandukan keuntungan maksimum atau dasa “apa boleh jual, jual; apa boleh beli, beli”.

Struktur ekonomi baru wajib memperlihatkan peranan daulah yang lebih kuat. Wajib diwujudkan garis pemisah untuk mengasingkan pengaruh kaum pemodal dari politik negara.

Kuasa kaum pemodal menentukan dasar ekonomi negara berlandaskan neoliberal. Dasar ini sedang terbogel dan terbukti gagal. Dasar kapitalis neoliberal ini wajib ditinggalkan. Rakyat dunia memerlukan satu struktur baru yang berasaskan kekutaan kaum pekerja, buruh dan tani.

Read More...

Ekonomi: Najib - Anwar dicadang berdebat

Siasahdaily



KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mencadangkan debat terbuka mengenai belanjawan negara antara Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika Najib merasa beliau tidak cukup masa dan kesempatan untuk memberi ruang pembangkang meminta penjelasan darinya di dalam Dewan Rakyat, satu debat terbuka mengenai belanjawan boleh diadakan antara beliau serta dua wakil di pihak Barisan Nasional (BN) dengan Anwar serta wakil dari PAS dan DAP di pihak Pakatan Rakyat (PR)," katanya.

Debat tersebut boleh dibuat di mana sahaja yang dipersetujui oleh Najib termasuk menggunakan kemudahan di Dewan Rakyat sendiri di luar waktu persidangannya dan disiarkan secara langsung untuk dinilai oleh rakyata, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

"Sebagai tokoh yang akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, hentikanlah sikap jaguh kampung yang hanya berani membidas dan mengecam di belakang pembangkang tetapi tidak berani berbahas secara berhadapan mengenai belanjawan negara," kata Mahfuz.

Beliau juga meminta Najib menghentikan pelbagai dakwaan mengenai ekonomi negara.
"Najib terus-menerus membuat pelbagai kenyataan bercanggah mengenai ekonomi Malaysia.
"Sekejap kata Malaysia tidak akan terjejas, selepas itu kata Malaysia juga akan turut menerima kesan kemelut ekonomi dunia. Satu ketika mendakwa Malaysia mempunyai fundamental kukuh, selepas itu nak gunakan pula lagi RM7 bilion untuk menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Najib seperti orang yang terpinga-pinga," katanya lagi.

Paling akhir, Najib tampil dengan dakwaan kononnya Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan.
Dakwaan itu bertentangan dengan jangkaan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff yang menjangkakan peratusan kemungkinan Malaysia akan menghadapi kemelesetan teknikal tahun hadapan meningkat sehingga 40 peratus, jika Amerika yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia menghadapi kemelesetan.

"Ia bermakna pertumbuhan negatif untuk dua suku tahunan dan 30 peratus kemungkinan ia akan menjadi kemelesetan sebenarnya yang berpanjangan melebihi dua suku tahunan, bergantung kepada apa yang berlaku di Amerika," katanya.

Ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Mohamed Azman Yahya pula mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi yang semakin hampir mungkin lebih mencabar dari krisis yang dihadapi pada tahun 1998
Dalam krisis kali ini, katanya, Malaysia menghadapi risiko stagflasi di mana pertumbuhan akan bergerak perlahan di dalam persekitaran yang tinggi kosnya.

Ia juga mungkin yang terburuk, katanya, dan apa yang lebih membimbangkan ialah kemerosotan kali ini ialah fenomena global.
Sebelum ini, laporan Political & Economic Risk Consultancy (PERC) yang berpengkalan di Hong Kong meletakkan Malaysia antara negara yang paling berisiko tinggi dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang dijangka akan bertambah buruk.

Read More...

Ex-gratia: Salleh Abas, 5 bekas hakim terima lebih RM10 juta

Mstar Online

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas (kanan)menerima ex-gratia daripada bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim pada 20 Jun lalu. (Foto oleh AZMAN GHANI).

KUALA LUMPUR:Kerajaan membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

Beliau berkata bayaran kepada Mohd Salleh melibatkan RM5 juta, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh (RM2 juta) dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng juga RM2 juta.

Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin pula masingmasing menerima bayaran berjumlah RM500,000, katanya.

Beliau berkata keputusan secara dasar telah dibuat Jemaah Menteri sama ada untuk membayar atau tidak ex-gratia kepada hakim berkenaan.

"Kita memutuskan untuk membayar dan soal menentukan berapa, perkara itu dilakukan oleh pihak ibu pejabat kewangan untuk tentukan berapa nilainya. Kita cuma berikan bayaran exgratia tapi jumlahnya ditentukan (diluluskan) oleh Kabinet," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain bayaran ex-gratia, beliau berkata lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Mohd Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6508.59) dan Azmi (RM5,916.90).

Kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) sama ada hakim berkenaan dipecat atau diarahkan berhenti lebih awal, Nazri berkata tidak pernah ada tribunal ditubuhkan di mahkamah yang memutuskan memecat mereka.

"Tidak pernah panel dipanggil dan dibentuk untuk memecat...soal pemecatan itu satu hukuman, soal syor berhenti awal juga satu hukuman..tidak ada tribunal dibentuk untuk memecat (mereka)," katanya.

Sementara itu, Nazri berkata kerajaan telah mengambil keputusan untuk melancarkan beberapa inisiatif untuk menguatkan kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman termasuk menambah baik pentadbiran pendengaran kes di mahkamah serta menubuhkan jawatankuasa pelantikan kehakiman.

Katanya, langkahlangkah tersebut bukan satu perkara yang mudah dan harus dilaksanakan satu persatu supaya kepentingan negara dan setiap kumpulan terpelihara.

Pada sidang akhbar kemudiannya di lobi Parlimen, Nazri sekali lagi menegaskan hakim berkenaan diminta bersara lebih awal dan dengan itu mendapat pembayaran pencen.

"Kalau dipecat, mereka tidak akan mendapat pencen. Mereka diminta bersara, barulah pencen dibayar," katanya.Nazri berkata keputusan kerajaan untuk

mendedahkan jumlah pembayaran exgratia itu adalah demi untuk menjaga kepentingan awam.

"Hakim berkenaan berpegang pada janji mereka kepada Perdana Menteri untuk tidak mendedahkannya tetapi oleh kerana anggota Parlimen tidak berpuas hati dan berhujah bahawa wang itu diambil daripada dana awam, kami tiada pilihan selain mendedahkan jumlahnya.

"Seperti yang saya katakan, wang itu bukan diambil dari poket Perdana Menteri, ia diambil daripada dana awam jadi kami perlu dedahkannya," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat disambung Isnin.BERNAMA

Read More...

Cermin diri dulu kalau nak beristeri dua - Abby Abadi




KUALA LUMPUR - "Pergilah cari cermin besar, cermin diri dan tengok siapa diri sendiri. Dia mampu ke kalau beristeri dua?"

Demikian sindir pelakon jelita, Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 30, ketika ditanya mengenai hasrat suaminya, Norman Hakim yang tidak menolak untuk berpoligami.

"Suruh dia mengucap panjang dan ingat Tuhan," nasihatnya dengan nada bersahaja.

Bagaimanapun menurut Abby, jika benar Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 32, mempunyai keinginan untuk berkahwin lain dalam masa terdekat ini, ia bukan satu masalah kepada dirinya.

"Dia boleh kahwin, saya tak kisah. Apa pun, dia perlu 'lepaskan' saya dahulu," katanya lagi dengan tegas.

Semalam, akhbar menyiarkan kenyataan Norman yang memberitahu dia bersedia untuk berkahwin lagi jika itu ditakdirkan kepadanya.

Menurut Norman, dia tidak mampu menolak ketentuan dan bersedia bernikah dengan pelakon baru, Memey Suhaiza Suhaimi, 20, yang ditangkap atas dakwaan berkhalwat bersamanya baru-baru ini.

Mengenai kenyataan Norman semalam bahawa Abby dan Memey sama penting dalam hidupnya, Abby memberitahu, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai siapa sebenarnya yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.

"Umum boleh fikirkan tentang sikap sebenar Norman kalau dia boleh bercakap sedemikian kerana bayangkan selama tujuh tahun saya berkorban segala-galanya untuk dia, namun dengan sekelip mata dia boleh buat pengakuan Memey dan saya sama penting dalam hidup dia," katanya.

Read More...

Kerajaan BN sembunyi situasi sebenar ekonomi negara - Husam

Harakahdaily

Salmah Mat Husain
Thu | Nov 06, 08 | 3:56:10 pm MYT

KOTA BHARU, 6 Nov (Hrkh) - Kerajaan Barisan Nasional tidak seharusnya berbangga dengan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion, sedangkan rakyat tidak mendapat gambaran sebenar ekonomi negara.

� Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, apa yang berlaku hari ini kerajaan belum memberikan gambaran sebenar kedudukan ekonomi negara, sebaliknya hanya mengeluarkan pelbagai kenyataan dengan mendakwa ekonomi masih kukuh.

"Apa yang berlaku adalah di sebaliknya di mana negara sedang menghadapi krisis ekonomi dunia akibat kegawatan yang kronik.

"Sebelum ini pernah berlaku pinjaman bank tidak berbayar setelah berlakunya krisis ekonomi pada 1978 - 1979 di mana pada ketika itu pasaran saham jatuh merudum.

"Sekarang fenomena itu berlaku lagi di mana pasaran saham menjadi tidak menentu," katanya di sini.

Beliau mengulas tindakan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak yang mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Menurut Najib, pakej itu bertujuan mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Husam berkata, apabila berlaku kejatuhan pasaran saham, pihak pelabur diminta membayar balik kepada bank, namun lazimnya mereka tidak mampu berbuat demikian.

"Jika perkara ini berlaku, akan terjadi pinjaman tidak berbayar sebagaimana sebelum ini dan ia akan menjejaskan sistem perbankan di Malaysia," ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan seharusnya memberi penjelasan secukupnya kepada rakyat terhadap krisis ekonomi dunia, di mana negara kita turut menerima kesannya. -mj/ mr/mks. _

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |