+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 23, 2008

Ahmad Said Dilantik Menteri Besar Terengganu

Marangdaily

Kiriman pada Saturday, March 22 @ 21:12:38 MYT oleh rusila


Datuk Ahmad Said



Ahmad Said Dilantik Menteri Besar Terengganu


KUALA TERENGGANU, 22 Mac (Bernama) -- Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu selesai hari ini apabila pejabat Sultan Terengganu mengumumkan Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan itu.

Menurut kenyataan pejabat Sultan Terengganu hari ini, Ahmad, 51, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Tamu di sini pagi esok.

"Mengikut peruntukan Fasal 14 Perenggan (2) (a) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab 2), Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam melaksanakan fungsi bagi pihak Pemangku Raja.

"Dengan ini telah memilih untuk melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu," kata kenyataan itu kepada Bernama hari ini.

Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu telah berlarutan selama 14 hari selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Pelantikan Ahmad ialah bagi menggantikan Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan wakil rakyat Jertih yang menjadi Menteri Besar Terengganu selama satu penggal sejak 2004.

Ahmad yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.

Dalam karier politiknya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Terengganu dan exco Pergerakan Pemuda Umno Kebangsaan.

Pada pilihan raya umum lepas, Ahmad yang juga anggota Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Terengganu, berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kijal apabila menewaskan calon PAS, Hazri Jusoh dengan majoriti 3,157 undi.

Beliau memperoleh 8,169 undi manakala Hazri 5,012 undi.

Sebelum menceburi politik pada 1990, Ahmad pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Setiu dan Kemaman. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengetua Pusat Pupuk Semangat Terengganu.

Spekulasi mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu bermula ekoran kedudukan Idris untuk mengangkat sumpah jawatan itu tergantung sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lepas.

Ini berikutan majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar dan anggota exco kerajaan negeri yang dijadual berlangsung di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguh pada saat-saat akhir.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya berhubung kedudukan Idris dan beberapa nama disebut-sebut bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar antaranya Ahmad, wakil rakyat Chukai Datuk Mohamed Awang Tera dan anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Perkembangan itu menyebabkan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 15 Mac lepas, dipercayai bagi menyatakan sokongan kepada Idris supaya beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar negeri itu.

Terengganu yang kekal di bawah BN selepas pilihan raya umum lepas merupakan satu-satunya negeri yang belum mengadakan upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar.

Pada pilihan raya umum ke-12 lepas, BN menang 24 daripada 32 kerusi negeri manakala lapan lagi dimenangi PAS.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |