+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 23, 2008

Pelantikan Ahmad Said Sebagai MB Terengganu Tidak Ikut Perlembagaan, Kata Abdullah

BERNAMA

SEPANG, 23 Mac (Bernama) -- Pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dilihat sebagai tidak mengikut Perlembagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Semua Adun yang bilangannya agak besar itu tetap menyokong Datuk Seri Idris Jusoh. Itu satu perkara yang tidak ada perubahan daripada segi sokongan.

"Dengan itu, maka sebarang lantikan yang dibuat terhadap orang lain itu, tidak kena dengan Perlembagaan," kata Abdullah ketika diminta mengulas mengenai tindakan 22 Adun daripada Barisan Nasional (BN) Terengganu yang membantah pelantikan Ahmad, Ahad.

Terdahulu, Abdullah menyaksikan edisi ke-10 perlumbaan Grand Prix Malaysia di Litar Sepang. Beliau turut menyampaikan piala kejuaraan kepada pelumba Scuderia Ferrari Marlboro, Kimi Raikkonen.

Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu, Ahad pagi.

Majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar itu bagaimanapun masih belum ditetapkan lagi.

Mengenai perlumbaan Formula Satu di negara ini, Abdullah berkata kejayaan pasukan BMW Sauber yang meraih kedudukan kedua dalam perlumbaan hari ini adalah satu perkembangan yang baik.

"Saya ucapkan tahniah kepada pasukan BMW Sauber kerana meraih tempat kedua hari ini. Ini adalah perlumbaan ke-10 F1 diadakan di negara kita... ini satu kejayaan yang baik. Bila kita sudah sampai ke tahap menjadi juara... ia bukan satu perkara yang mustahil untuk masa depan," katanya.

Pelumba dari Poland, Robert Kubica memberikan pasukan F1 BMW Sauber kedudukan podium kedua berturut-turut manakala rakan sepasukannya Nick Heidfeld dari Jerman berada di tempat keenam.

Abdullah turut memuji peranan Petronas yang diketuai presidennya Tan Sri Hassan Marican kerana menjadi penaja premium pasukan BMW Sauber.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |