+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 23, 2008

MB T'ganu: 23 wakil BN pulau Ahmad

Malaysiakini

Mar 22, 08 6:09pm

kemaskini 11:05pm Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, dilantik menteri besar baru Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh - mengesahkan spekulasi awal bahawa pengerusi BN itu tidak diperkenan pihak Istana.

Menurut kenyataan pejabat Sultan Terengganu, majlis angkat sumpah Ahmad dijadual diadakan di Istana Tamu, Kuala Terengganu pagi esok - tetapi ia kemungkinan besar menghadapi risiko dipulaukan.

Pengesahan Ahmad ini menamatkan suasana bingung dan tidak pasti akibat krisis pelantikan ketua kerajaan di negeri itu sejak dua minggu lalu selepas berakhir pilihanraya umum 8 Mac.

Semua 23 Adun BN, termasuk Idris, dilaporkan berhasrat memulaukan majlis angkat sumpah itu kerana bantahan tidak melantik semula Idris.

Pemulauan majlis itu, jika menjadi kenyataan, bagaimanapun akan menimbulkan krisis parah dalam Umno dan pentadbiran negeri.

Ahmad dikatakan satu-satunya wakil rakyat BN yang tidak menandatangani sokongan kepada Idris sewaktu 22 Adun parti itu bertemu Perdana Menteri hujung minggu lalu.

BN mengekalkan 24 daripada 32 kerusi DUN Terengganu pada 8 Mac lalu.

Nama Ahmad, yang juga ketua bahagian Umno Kemaman dan seorang exco paling berpengalaman, muncul selepas khabar bertiup kencang Idris mungkin ditamatkan perkhidmatannya akibat tidak mendapat perkenan pihak istana.

Selain Ahmad, Adun Ajil Datuk Rosol Wahid dan Adun Chukai, Datuk Mohd Awang Tera - kedua-duanya exco pada penggal lalu - sering disebut-sebut pengganti Idris.

Desas-desus tentang Idris, yang memegang jawatan itu pada 2004 susulan kejayaan BN merampas Terengganu daripada PAS, akan digantikan mulai berkembang selepas istiadat melafaz surat pengisytiharan pelantikannya di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Pada penggal lalu, Ahmad memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Terkini: Setiausaha perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid, berkata semua 23 Adun BN akan memulaukan majlis angkat sumpah esok.
"Kami sebulat suara tidak akan menghadiri majlis tersebut (angkat sumpah) jika Datuk Seri Idris tidak dilantik sebagai Menteri Besar," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasmi menteri besar Seri Iman sebelum pejabat Sultan Terengganu mengumumkan pelantikan wakil Kijal, Datuk Ahmad Said.

Beberapa wakil BN bercadang meletakkan jawatan jika Datuk Seri Idris Jusoh tidak disambung semula perkhidmatannya sebagai menteri besar, lapor Bernama lagi.

Mereka juga akan mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Rosol, juga wakil rakyat Ajil.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |