+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 22, 2008

BPR jadi suruhanjaya bebas


Berita Harian

Oleh Azman Zakaria


RASMI: Abdullah menandatangani plak ketika merasmikan Dialog Integriti Asean 2008 di Kuala Lumpur, semalam.

Empat inisiatif dilaksana tangani kebimbangan rakyat mengenai gejala rasuah: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi menjadikan agensi penguat kuasa itu sebuah suruhanjaya sepenuhnya yang lebih bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Ia adalah antara empat inisiatif pembaharuan utama yang akan dilaksanakan kerajaan selewat-lewatnya akhir tahun ini bagi menangani kebimbangan rakyat mengenai gejala rasuah.


Perdana Menteri berkata, elemen utama suruhanjaya itu ialah pengwujudan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang bebas dengan dianggotai pakar serta ahli masyarakat yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Ahli lembaga ini akan menasihati suruhanjaya mengenai hal-hal pentadbiran dan operasi. Lembaga juga akan diberi taklimat mengenai kes yang membabitkan kepentingan umum dan seterusnya boleh mempersoal atau mencadangkan tindakan tertentu yang diambil.

"Paling penting, lembaga ini akan memastikan kes yang mendapat perhatian ramai ditangani dengan sebaik-baiknya," katanya. Abdullah berkata, sebuah Jawatankuasa Parlimen mengenai Pencegahan Rasuah juga akan diwujudkan bagi meneliti laporan suruhanjaya itu.

"Jawatankuasa Parlimen ini akan mendapatkan penjelasan serta penerangan lanjut mengenai kandungan laporan tahunan yang dikemukakan suruhanjaya itu," katanya dalam ucaptama pada perasmian Dialog Integriti Asean 2008 bertema 'Kerjasama Serantau dan Antarabangsa Dalam Meningkatkan Integriti dan Meneguhkan Amanah' di Institut Integriti Malaysia di sini.

Selain penstrukturan semula BBR, tiga inisiatif lain ialah:

l Pengambilan 5,000 lagi pegawai pencegahan rasuah - bertambah lebih tiga kali ganda berbanding tidak sampai 2,000 pegawai sekarang serta memperkenalkan terma perkhidmatan dan ganjaran yang lebih menarik.

l Memperkenalkan undang-undang yang akan memberi perlindungan komprehensif kepada pemberi maklumat dan saksi untuk menggalakkan lebih ramai orang membuat aduan mengenai rasuah, dan

l Mengambil tindakan segera memperbaiki proses pemerolehan awam menerusi langkah-langkah yang akan mensasarkan usaha menangani masalah tertentu dalam sistem itu.

Pengumuman inisiatif itu disambut tepukan gemuruh kira-kira 300 hadirin disusuli dengan penghormatan sambil berdiri ketika Abdullah mengakhiri ucapannya. Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan.

Perdana Menteri menjelaskan struktur baru itu akan memasukkan sistem 'check and balance' yang efektif bagi meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.

Abdullah berkata, sebagai badan yang mempunyai tanggungjawab besar dan penting, BPR mesti diberi kebebasan menjalankan tugasnya.

Malah, katanya, antara pengumuman pertamanya mengenai pencegahan rasuah sebelum ini ialah mengarahkan BPR melaksanakan tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih.

"Menjadi harapan saya dengan penstrukturan semula BPR, maka keberkesanan, ketelusan dan akauntabilitinya akan meningkat, manakala kepercayaan rakyat terhadap integriti dan sifat berkecualinya akan segera diperbaharui," katanya.

Mengenai pengambilan 5,000 lagi pegawai serta terma perkhidmatan dan ganjaran baru, Abdullah berkata suruhanjaya itu akan diberi kuasa untuk mengambil atau memecat pegawai dengan pelantikan akan dibuat berdasarkan proses pemilihan yang komprehensif.

Katanya, Ketua Setiausaha Negara sudah diarah bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas, Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) bagi menggubal rangka kerja menambah baik proses pemerolehan awam untuk menjadikannya lebih telus dan bertanggungjawab.

Pada sidang medianya, Abdullah menjelaskan walaupun suruhanjaya itu dikehendaki mengemukakan laporan tahunan kepada Jawatankuasa Parlimen, beliau akan bertanggungjawab terhadap suruhanjaya itu.

"Laporan itu memang akan dikemukakan ke Parlimen sebagai mana selama ini, tetapi sebelum itu, Jawatankuasa Parlimen akan menerima laporan berkenaan. Akan ada seorang menteri di mana-mana di dunia, bertanggungjawab terhadap apa juga institusi yang ditubuhkan dan saya akan bertanggungjawab bagi institusi ini.

"Dalam setiap kes yang kami kaji, ia adalah serupa kerana kerajaan bertanggungjawab terhadap Parlimen. Mereka adalah wakil kepada rakyat, maka mereka perlu menjelaskan segala-galanya," katanya. Ditanya sejauh mana suruhanjaya itu akan benar-benar bebas dalam melaksanakan tanggungjawabnya, beliau berkata, ia bebas daripada segi pengambilan kakitangan dan tidak akan bergantung kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Ia akan mempunyai kuasa untuk mengambil dan memecat (kakitangan). Ia akan mempunyai polisi sendiri daripada segi apa yang mereka akan lakukan. Itulah cara suruhanjaya itu beroperasi," katanya sambil menjelaskan suruhanjaya berkenaan diwujudkan berdasarkan kajian mengenai model seumpama itu di beberapa negara, termasuk Hong Kong.

Katanya, BPR juga selama ini bebas dan beliau tidak campur tangan dalam siasatan yang dilakukan, tetapi adalah lebih baik badan itu diberi lebih kuasa untuk memutuskan apa yang terbaik untuk organisasi berkenaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata pendakwaan kes akan tetap dilakukan Pejabat Peguam Negara.

Beliau juga berkata, draf undang-undang bagi melindungi pemberi maklumat dan saksi kes rasuah sedang dirangka.

Ditanya sama ada penstrukturan semula BPR dan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim diputuskan ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu, beliau berkata ia adalah sebahagian usahanya untuk menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum 2004.

INFO: Empat inisiatif

  • BPR distruktur semula.
  • Pengambilan 5,000 lagi pegawai pencegahan rasuah.
  • Undang-undang yang akan memberi perlindungan komprehensif kepada pemberi maklumat dan saksi.
  • Mengambil tindakan segera memperbaiki proses pemerolehan awam.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |