+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 22, 2008

Politik jahat Umno dalam isu royalti minyak Terengganu

Harakahdaily

Suhaimi Taib

Mon | Apr 21, 08 | 7:10:37 am MYT

Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said menyinggung soal perlunya dikembalikan royalti petroleum dan gas sebanyak lima peratus kepada negeri itu selepas dirompak Umno di zaman PAS memerintah negeri tersebut (1999-2004).

Persoalannya sekarang, royalti tersebut telah menjadi kes mahkamah. Apakah Kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu melanggar prosedur mahkamah untuk mengembalikan semula royalti berkenaan di saat kerajan itu mahu mengembalikan kredibiliti dan kebebasan badan kehakiman negara dari kongkongan kuasa ekeskutif atau mereka boleh membuat perundingan di luar mahkamah untuk menyelesaikan masalah tersebut?

Persoalan ini akan timbul apabila semua pihak terbabit termasuk Kerajaan Pusat duduk semeja berunding dengan pihak kerajaan negeri dan mahkamah untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat pengkhianatan Umno Terengganu sendiri terhadap undang-undang yang digubal di Parlimen untuk menyelesaikan masalah penemuan minyak di dasar laut Terengganu tidak lama dulu.

Umno telah melanggar undang-undnang negara itu tanpa segan silu dan tanpa takut kepada sebarang tindakan undang-undang kerana parti itu percaya tindakan itu tidak akan menjejaskan kekuasaannya sebagai kerajaan di negara ini.

PAS sejak royalti itu dirampas tidak pernah berhenti-henti untuk memperjuangkan hak rakyat itu dikembalikan ke kantong Kewangan Negeri Terengganu.

Pesuruhjaya PAS, Dato' Haji Mustafa Ali dalam banyak ucapannya dan kenyataan akhbar berulang kali menyebut perlunya wang royalti petroleum dikembalikan kepada Kerajaan Terengganu.

Tindakan menuntut di mahkamah dibuat oleh Kerajaan PAS dahulupun adalah satu usaha untuk tujuan tersebut. Tetapi permainan politik kotor dan jahat Umno menghalang ia diselesaikan dengan segara kes itu semasa PAS masih lagi memerintah negeri itu dahulu.

Ini bertujuan menghalang kerajaan PAS dari menggunakan wang tersebut bagi pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Terengganu sekaligus menghalang kerajaan itu terus memerintah negeri Terengganu.

Dalam satu Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur, tidak lama dahulu suara dari perwakilan Terengganu mencadangkan rompakan royalti itu. Ia dipersetujui oleh Umno.

Pada awalnya Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) mengakui secara lisan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa royalti petroleum dan gas akan terus diberikan kepada kerajaan negeri itu namun ia berlaku sebaliknya.

Ini kerana Umno Terengganu menyifatkan bahaya wang royalti minyak diserahkan kepada PAS sebab ia didakwa boleh memperkasakan kerajaan PAS untuk melaksanakan projek pembangunan dan kebajikan untuk rakyat negeri itu. Akibatnya BN beranggapan parti itu tidak lagi berupaya memerintah semula negeri tersebut.

Bagaimanapun Kerajaan PAS berkesempatan mendapat royalti berkenaan di awal tahun pemerintahannya, iaitu sebanyak tidak kurang dari RM400 juta. Selepas itu Kerajaan Pusat gagal menyerahkan wang berkenaan kepada negeri Terengganu.

Kemudian Kerajaan Terengganu mengambil tindakan mahkamah untuk mengembalikan semula wang tersebut. Kes itu masih tertangguh perbicaraanya di mahkamah sehingga hari ini.

Sementara itu Al-Marhum Dato' Fadzil Mohd Noor, sebagai Ketua Pembangkang dalam Ucapan Perbahasan Belanjawan di Parlimen yang bertajuk 'Belanjawan Tanpa Arah Yang belum Siap', pada 30 Oktober 2000 menyebut bahawa Menteri Kewangan ketika itu (Tun Dr. Mahathir) cuba berbohong dalam parlimen apabila menyamakan royalti minyak kepunyaan Terengganu dengan wang ehsan yang entah dari mana datangnya.

Katanya, Rakyat telah melihat sendiri isi perjanjian antara Petronas dengan KerajaanTerengganu.

"Kita juga telah membaca sendiri siri ucapan pemimpin negara dalam Parlimen pada masa lalu yang dicatit dalam hansard Parlimen, yang mengakui bahawa bayaran tunai kepada kerajaan Terengganu oleh Petronas adalah bayaran royalti.

"Tetapi Perdana Menteri cuba mengenepikan isu ini dengan menyamakan kedua-dua terminologi ini, malah mengambil sikap tidak menghiraukan perbedaan kedua-duanya," jelas beliau.

Menurut Dato' Fadzil, inilah sikap angkuh dan sombong yang menganggap rakyat jahil dalam memahami isu ini.

"Ada pula Menteri yang menganggap perjanjian-perjanjian tersebut sebagai MoU saja. Ini lagi karut," ujarnya

Beliau berkata, pengumuman kerajaan untuk tidak membayar wang royalti minyak sebanyak 5 peratus secara tunai yang telah jelas termeterai dalam satu perjanjian di antara kerajaan Negeri Terengganu dan Petronas pada 22 Mac 1975 adalah amat merosakkan imej kerajaan yang beramanah dan bertanggungjawab sekaligus mencemarkan nama baik imej syarikat gergasi negara iaitu Petronas.

Pelanggaran ini serentak membawa erti bahawa nasib yang sama mungkin sahaja boleh berlaku kepada mana-mana pihak yang membuat perjanjian dengan pihak kerajaan atau syarikat syarikat besar kepunyaan kerajaan, yang boleh sahaja dimansuhkan dengan pengarahan dari pihak kerajaan.

Sudah ada laporan dalam media antarabangsa bahawa syarikat asing takut untuk mencuba nasib di negara ini melihat kepada karenah pemimpin yang tidak beramanah ini.

Katanya, sifat berpegang kepada janji ini adalah sifat penting yang dianjurkan oleh Islam.

Orang yang memungkiri janji telah melakukan dosa besar. Antara tanda-tanda besar golongan munafik ialah berdusta dan mungkir janji.

"Saya tidak terkejut jika pemimpin BN tidak mengambil kira pandangan Islam dalam hal ini kerana mereka terlalu marah apabila kalah besar di Terengganu.

"Insaflah BN. Kerajaan perlu sedar dan insaf bahawa perkara seumpama ini secara langsung memberi kesan ke atas prestasi ekonomi dan usaha untuk membaik-pulih imej negara di mata dunia perniagaan antarabangsa," katanya.

Sekaligus satu dosa yang agak besar juga telah dibuat oleh Umno terhadap rakyat dan kerajaan PAS dengan peristiwa rompakan royalti petroleum itu. Ia dilihat satu serangan jahat Umno terhadap PAS yang tidak akan terpadam selama-lamanya dalam lipatan sejarah.

Ia bukan satu tindakan politik biasa tetapi suatu tindakan politik jahat Umno terhadap PAS yang tidak boleh dilupakan buat selama-lamanya.

Sementara itu Bernama melaporkan Dato' Ahmad meminta Kerajaan Persekutuan supaya menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak atau yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata sudah tiba masanya wang royalti minyak sebanyak lima peratus, yang ditarik balik semasa PAS memerintah Terengganu pada tahun 2000 dan kemudiannya digantikan dengan DKKP, diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dijalankan untuk rakyat di negeri ini.

"Kita berharap bahawa kalau boleh Kerajaan Pusat kembalikan royalti itu, kita cakap terus teranglah...tidak boleh selindung lagi. Kita mengharapkan duit (royalti) dapat kepada kita," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Selepas PAS mengambil alih pemerintahan di Terengganu apabila memenangi pilihan raya umum 1999, Kementerian Kewangan pada 5 Sept 2000 mengumumkan menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ehsan yang disalurkan terus kepada rakyat menerusi projek pembangunan, dan tidak lagi disalurkan melalui kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, sejak DKKP diperkenalkan semua projek yang menggunakan dana itu disalurkan terus kepada kementerian yang melaksanakannya tanpa merujuk kepada kerajaan negeri menyebabkan banyak projek yang dilaksanakan gagal memberi impak kerana tidak mengambil kira keperluan rakyat.

"Ada projek yang kita rancang... kita akui. Tetapi ada projek yang kita tidak rancang. Tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat.

"Buat jalan dalam hutan dengan kos hingga RM50 juta hingga RM60 juta. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah seperti tanah ditarik balik dan sebagainya.

"Ini yang menjadi masalah... sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan. Mereka menggunakan wang kita, jadi apabila kementerian yang buat ia adalah berasaskan kepentingan kementerian semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu.

"Ini menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri. Saya cakap terus terang ada sesetengah projek yang saya sendiri secara peribadi tidak berpuas hati kerana dengan kos yang tinggi, tidak memberi keutamaan kepada rakyat sebaliknya orang lain tentukan bukan kita, sedangkan kita tuan rumah," katanya.

Ahmad berkata jika Kerajaan Pusat menyerahkan kembali hak pengurusan DKKP, ia akan memudahkan kerajaan Terengganu membuat perancangan tentang projek pembangunan yang hendak dilaksanakan berbanding keadaan sekarang yang memerlukan permohonan dikemukakan terlebih dahulu.

Katanya kerajaan negeri mempunyai keutamaan sendiri dalam menentukan projek yang harus dilaksanakan terlebih dahulu dan jika wang itu ada pada kerajaan negeri, bajet dan perancangan akan menjadi lebih mudah. - mks.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |