+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 9, 2008

Lulus ladang saiz kecil saja


Berita Harian




Khir persoal projek ternak babi RM100j

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mendakwa ladang ternakan babi berkelompok bernilai RM100 juta di Ladang Tumbuk, Kuala Langat diluluskan kerajaan negeri sebelum ini dan pihaknya hanya meneruskan projek itu.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan kerajaan negeri pimpinannya pernah meluluskan projek ternakan babi moden sebesar itu.


Dr Khir menjelaskan, mesyuarat Exco yang dipengerusikannya pada 30 Januari lalu ada membincangkan perkara itu tetapi pada dasarnya meluluskan pembinaan ladang babi bersaiz kecil saja.

"Ketika itu, kita tidak bersetuju dengan saiz kawasan ladang kerana kita mahu kawasan yang lebih kecil untuk menempatkan ternakan babi. Lokasinya belum kita lulus kerana mahu mendengar pandangan penduduk kampung.

"Kita tidak mahu wujud ladang besar sehingga menjadi pengeksport babi. Sebab itu, kita minta (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan Perindustrian dan Perdagangan) Datuk Tang See Hang, membuat kajian terperinci berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi semalam bagi mengulas keputusan kerajaan negeri meluluskan projek itu.

Abdul Khalid, memberitahu pemberita semalam, mesyuarat Exco pada 2 April lalu meluluskan projek itu, yang dijangka siap dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun, kerana rakyat mahukan kerajaan negeri membuat keputusan segera mengadakan penternakan babi secara moden.

Katanya, kerajaan negeri hanya meneruskan projek yang diluluskan kerajaan negeri sebelum ini dengan mengambil kira tapak berkenaan menjadi ladang babi utama di Selangor.

"Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo meluluskan projek itu pada mesyuarat Exco, 30 Januari lalu," katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Besar Perak, Muhammad Nizar Jamaluddin di pejabatnya di Shah Alam semalam.

Beliau menolak dakwaan bahawa persetujuan untuk melaksanakan projek itu kerana pihaknya didesak pihak lain, sebaliknya menegaskan ia keputusan bersama semua parti yang membentuk kerajaan negeri campuran.

"Projek ini wajar diteruskan bagi memantapkan proses pelaksanaannya berikutan tapak yang dicadangkan sudah menjadi tapak utama ladang babi di Selangor yang mematuhi piawaian kualiti yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta kerajaan negeri," katanya.

Abdul Khalid juga berkata, ladang ternakan babi itu tidak akan mencemarkan alam sekitar kerana semua bahan buangan akan diguna semula dalam bentuk bio gas untuk menjana elektrik dan air bagi pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak.

"Justeru, tiada bahan makanan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang berkenaan," katanya yang enggan mendedahkan teknologi yang bakal digunakan untuk melaksanakan projek itu.

Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan keputusan Kerajaan Selangor meluluskan projek projek ternakan babi bernilai RM100 di Sepang sebagai tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat.

Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr Hamdan Adnan, berkata pihaknya ingin melihat sendiri laporan spesifikasi piawaian atau environmental impact assesment (EIA) mengenai kemudahan kawasan ternakan babi itu.

"Tempat ternakan itu mestilah jauh dari penduduk setempat kerana bau babi boleh dihidu dari jauh. Kemudahan yang disediakan mesti lengkap dan menepati piawaian antarabangsa seperti dijanjikan. Selain masalah bau, sistem pengairan juga mesti yang terbaik supaya tidak timbul pencemaran sungai dan laut.

"Kita tidak mahu timbul isu orang ramai mahu berkelah tapi berakhir dengan berbalah. Sekiranya isu alam sekitar seperti di Negeri Sembilan dan Melaka berulang, Fomca tidak akan teragak-agak untuk menggesa Kerajaan Selangor menarik semula lesen syarikat pengusaha terbabit.

"Kerajaan negeri juga mesti memastikan masyarakat Islam di situ tidak teraniaya dengan apa-apa masalah berkaitan ternakan ternakan berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Datuk Seri Dr Salleh Mohd Noor, berkata ternakan kontroversi itu boleh menimbulkan kesan negatif terhadap persekitaran.

"Pemantauan yang ketat perlu dibuat awal-awal lagi jika tidak mahu isu alam sekitar dan kesihatan berulang. Lebih baik menghindar daripada mengubati.

"Jika pemantauan rapi dilakukan, pihak yang terbabit dapat membuat andaian awal untuk mengesan masalah bakal berlaku tetapi isu alam sekitar ini bukan kecil dan sensitiviti semua pihak perlu diambil kira," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George, berkata pihaknya mendapat banyak maklum balas daripada pengguna dan majoritinya tidak bersetuju dengan projek itu.

"Seharusnya sebelum kerajaan negeri meluluskan projek ini, mereka harus menetapkan kuota jumlah ternakan itu dan mengadakan perbincangan dua hala dengan pelbagai pihak berhubung kesan alam sekitar, kesihatan, teknologi yang digunakan, keagamaan dan kesan yang bakal timbul.

"Hal seperti ini bukan saja orang Islam malah bukan Islam juga kebanyakannya kurang senang kerana tidak mendapat maklumat terperinci mengenainya. Ia bukan isu agama saja tetapi faktor kebersihan mesti dititikberatkan.

George berkata, latar belakang syarikat perlu diteliti dan rekod mereka sebelum ini juga mesti diambil kira.

"Ketelusan mesti wujud, kerajaan negeri seharusnya hanya meluluskan projek yang mencerminkan minat masyarakat. Banyak lagi industri lain yang lebih sesuai dan menguntungkan untuk Selangor.

"Saya minta kerajaan negeri mengkaji semula projek ini dan berbincang. Jangan terlalu cepat meluluskan projek kontroversi seperti ini dan ketepikan sensitiviti rakyat kerana ini bukan projek kerajaan tapi pihak swasta yang lebih bermotifkan keuntungan.

"Cassa juga akan mengambil tindakan undang-undang termasuk membawa syarikat pengusaha terbabit ke mahkamah jika ada masalah yang timbul kesan ternakan itu," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |