+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 9, 2008

Siaran langsung sidang Parlimen tiada tapisan


Berita Harian


Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek

Kerajaan beri peluang rakyat nilai sesi perbahasan: Shabery

KUALA LUMPUR: Persidangan Parlimen yang akan disiarkan secara langsung di RTM 1 mulai 30 April ini, akan dilaksanakan tanpa sekatan, garis panduan mahupun tapisan bagi membolehkan rakyat menilai sendiri keseluruhan sesi perbahasan.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata RTM, yang diberi hak oleh Parlimen menyiarkan persidangan itu selama setengah jam, bermula jam 10 pagi setiap hari, memberi jaminan akan meningkatkan kualiti mutu rakaman bagi memenuhi standard ditetapkan.


Katanya, menerusi usaha itu, rakyat boleh menilai dan membuat teguran prestasi wakil rakyat mereka, sekali gus membuktikan kerajaan bersikap terbuka selaras dengan amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini.

"Perkara ini sudah dipersetujui Kabinet Rabu lalu dan akan bermula pada 30 April ini, tiada tapisan dan dibuat secara biasa. Kita cuba menambah kamera untuk mendapatkan gambar dan suara yang lebih jelas serta terang.

"Maklum balas Ahli Parlimen juga baik... ini era baru dalam sistem demokrasi berparlimen dan kebebasan media yang menunjukkan konsep keterbukaan kerajaan," katanya selepas melancarkan Seminar Penyiaran Awam 'Mengubah Landskap Penyiaran' di sini, semalam.Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid.

Seminar sehari sempena ulang tahun RTM yang ke-62 itu bertujuan mendedahkan peserta kepada pembangunan digital dan teknologi baru dalam dunia telekomunikasi serta peranan penyiaran awam di Malaysia.

Seramai 350 pengamal media dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam dan luar negara menghadiri seminar itu yang membentangkan 10 kertas kerja.

Ditanya mengenai kesan baik dan buruk membenarkan siaran langsung persidangan itu, Ahmad Shabery berkata, kelulusan Kabinet itu bukan untuk tujuan politik sebaliknya langkah ke hadapan kerajaan untuk bersikap lebih terbuka.

"Parlimen ialah tempat ahli politik, sudah tentu mereka berada di situ untuk agenda masing-masing dan kita mesti berpandangan positif. Dalam sistem demokrasi, rakyat harus diberi peluang mendengar pandangan secara rasional dan tersusun," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak perlu berasa bimbang siaran langsung persidangan itu memberi kesempatan kepada parti pembangkang untuk mencari kelemahan kerajaan.

"Saya tidak fikir kerajaan takut kepada pembangkang. Kerajaan sekarang mempunyai keyakinan, tiada apa yang perlu disembunyikan dan sedia diperiksa serta menjawab. Salah satu prinsip demokrasi ialah kerajaan sedia menjawab," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin persidangan secara langsung itu kelak akan menarik perhatian ramai kerana menteri atau timbalan menteri yang akan terbabit dalam sesi soal jawab berikutan pemansuhan jawatan Setiausaha Parlimen.

Ditanya mengenai hasil perjumpaan beliau dengan penulis blog, Ahmad Shabery berkata, pihaknya sudah berjumpa sebahagian daripada mereka dan bersetuju untuk memberi peluang kepada mereka meluahkan pendapat menerusi siaran langsung RTM pada 20 April ini.

Mengulas mengenai permintaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu kerajaan bersikap lebih terbuka dan memberi kebebasan media kepadanya, Ahmad Shabery berkata, media kini lebih terbuka berbanding pada zaman pemerintahan Dr Mahathir.

"Saya berasa rakyat tidak lupa, pada zaman beliau menjadi Perdana Menteri, banyak akhbar diharamkan. Itu cara keterbukaan Tun, jika dia minta lebih terbuka... kita sentiasa terima pandangannya," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |