Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menjelaskan permit penerbitan akhbar bahasa tamil, Makkal Osai tidak disambung kerana ia tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Beliau berkata, kementerian juga menerima pelbagai aduan berhubung akhbar tersebut dan berdasarkan penilaian, kementerian mengambil keputusan untuk tidak menyambung permitnya.
"Kita ada garis panduan media, kita tidak sewenang-wenangnya untuk membatalkan. Kita tidak membatalkan Makkal Osai, cuma kita tidak sambung permit," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Agensi berita Bernama memetik Syed Hamid sebagai berkata, penerbitan setiap akhbar tidak boleh lari daripada garis panduan yang ditetapkan.
Antaranya, kata beliau, ialah tidak membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian negara, isu-isu yang boleh membangkitkan salah faham antara kaum yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.
Bagaimanapun, kata beliau, akhbar tersebut boleh membuat rayuan bagi membolehkan kementerian membuat penilaian.
Kementerian Dalam Negeri semalam mengharamkan Makkal Osai selepas memberikan liputan muka depan perhimpunan besar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Semalam harian tersebut turut memuatkan liputan siasatan polis terhadap presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi pemimpin kanannya susulan perhimpunan itu.
Sebelum ini ia memuatkan artikel-artikel panjang tentang parti itu, termasuk bekas timbalan perdana menteri itu, dan gerakan pembangkang.
Akhbar harian berpengaruh itu menghadapi masalah memperbaharui permit sejak Oktober tahun lalu.
Selar Amnesty
Syed Hamid juga menyelar dakwaan Amnesty International (AI), sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang mendakwa Malaysia antara negara yang mengamalkan pembunuhan secara rahsia.
Beliau berkata laporan itu berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik Malaysia dan mereka yang menulis laporan itu adalah jahil.
"Mana dia dapat laporan begitu pun saya tak tahu, adakah dia jumpa sesiapa atau mendengar khabar angin. Orang sekarang terlalu berminat untuk menjatuhkan nama baik Malaysia.
"Kita tidak ada 'secret killing' (pembunuhan rahsia), siapa sahaja yang membuat kesalahan, ada proses undang-undang, kita mana boleh membunuh orang begitu sahaja, Malaysia adalah negara yang mendaulatkan undang-undang," katanya.
Amnesty International membuat dakwaan demikian dalam laporan tahunan 2007 yang dikeluarkan di London. Turut tersenarai selain Malaysia ialah Indonesia, Kemboja dan Vietnam.
Syed Hamid berkata laporan itu boleh menimbulkan keraguan orang luar terhadap Malaysia dan beliau berharap Wisma Putra mengambil tindakan bagi membantah kenyataan tersebut.
Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.
Video klip best...penuh dengan msg kesedaran untuk rakyat yg tido...bangkitlah menentang kerajaan korup!!!Harga barang makin naik...Mat Mongol tak abis2 dgn projek rangsangan ekonomi....
0 comments:
Post a Comment