+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 18, 2008

Tiada honorarium, tetapi kerajaan penuhi 5 tuntutan Cuepacs

Mstar Online

17-04-2008 04:56:31 PM
Oleh: SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: Sejumlah 1.2 juta kakitangan awam tidak akan menerima honorarium RM2,000 bagi tahun 2007, tetapi mereka akan mendapat imbuhan lain dan elaun kritikal seperti yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Kerajaan juga bersetuju menghapuskan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang menjadi duri dalam daging bagi kebanyakan kakitangan awam kerana ia melibatkan peluang kenaikan pangkat mereka dan menggantikannya dengan mekanisma yang lebih telus dan adil.

Persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan singkat antara sembilan pemimpin Cuepacs dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di pejabatnya di sini, Khamis.

Presiden Cuepacs Omar Osman, mengumumkan pihaknya bersetuju menghentikan tuntutan mereka untuk mendapatkan honorarium RM2,000 setelah mendengar penjelasan Abdullah tentang kedudukan kewangan kerajaan.

“Pihak pekerja bersetuju untuk berhenti menuntut honorarium itu kerana kerajaan berjanji akan memenuhi lima lagi tuntutan kami, iaitu memperkenalkan kadar pencen mengikut perkhidmatan, lanjutan umur persaraan sehingga 60 tahun, pemansuhan peperiksaan PTK, elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan.

“Kita menerima dengan gembira keputusan kerajaan itu dan butiran keputusan itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita pertemuan kira-kira 45 minit itu.

Katanya, wakil-wakil Cuepacs akan menghadiri taklimat mengenai mekanisma penilaian kenaikan pangkat kakitangan awam yang baru bagi menggantikan peperiksaan PTK yang akan diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Putrajaya pada Jumaat.

Turut hadir di pertemuan itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Ditanya mengenai kadar imbuhan dan elaun yang dipersetujui, Omar berkata kakitangan awam perlu bersabar dan menunggu pengumuman yang akan dibuat Abdullah tidak lama lagi.

Perdana Menteri, katanya, menjelaskan bahawa antara sebab kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan Cuepacs mengenai honorarium ialah disebabkan kebimbangan ia akan menyumbang kepada kenaikan harga barangan.

“Sebelum ini kita tahu setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan gaji atau pemberian bonus, sebelum pembayaran dibuat, harga barang akan naik. Oleh kerana harga beberapa barangan penting seperti beras dan tepung sudahpun naik, kerajaan bimbang pembayaran honorarium akan menyebabkan barangan lain juga naik harga,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan memenuhi lima daripada enam tuntutan Cuepacs itu akan mengubah keputusan kongres untuk tidak menyertai sambutan hari 1 Mei nanti, Omar berkata pengumuman tentang isu itu akan dibuat Jumaat.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa keputusan ini akan diterima positif kakitangan awam, walaupun tanpa pembayaran honorarium RM2,000 itu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |