Harakahdaily Agendadaily.com Fri | Apr 18, 08 | 10:27:01 am MYT | |
Suasana dalam dewan besar Hotel Marriot Kuala Lumpur Khamis malam memang cukup menarik. Ada wajah tokoh-tokoh dari Barisan Nasional dan begitu juga dari parti pembangkang. Ia bukan majlis politik tetapi jamuan makan malam Majlis Peguam. Paling mencuri perhatian tentulah di meja utama.Di situ Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk semeja dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas. Hadir sama ialah Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh dan Dato' George Seah iaitu tiga dari lima Hakim-Hakim Mahkamah Agung yang dipecat semasa krisis kehakiman pada 1988. Manakala dua lagi Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh diwakili oleh keluarga masing-masing. Ini adalah kali pertama mereka hadir dalam satu majlis dengan seorang Perdana Menteri sejak dipecat dari jawatan mereka oleh sebuah tribunal hakim 20 tahun lampau atas alasan melakukan salahlaku kehakiman. Pemecatan Salleh dan lima lagi hakim dikaitkan dengan keputusan mahkamah mengharamkan Umno ekoran pemilihan jawatan Presiden Umno antara Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987. Abdullah yang menunjukkan kesungguhan beliau untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman negara telah melantik Dato' Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet selepas pilihanraya umum 8 Mac.Beliau diberi tanggongjawab khusus mencadangkan pembaharuan dalam badan berkenaan. Kes klip video perbualan peguam Dato' VK Lingam telah mencetuskan berbagai andaian dan tandatanya mengenai kredibiliti badan kehakiman. Abdullah telah menyampaikan ucap utama bertajuk bertajuk "Delivering Justice, Renewing Trust" yakni sampaikan keadilan,barui kepercayaan dimana beliau mengumumkan kerajaan akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi mengenal pasti dan mencadangkan nama-nama calon hakim kepada Perdana Menteri. Beliau berkata Suruhanjaya itu akan membantu menilai dan menyemak calon dalam cara yang bersistematik serta amanah untuk Perdana Menteri, berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas. Bagaimanapun, hak perlembagaan Perdana Menteri untuk mengemukakan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong terus kekal, katanya. Abdullah berkata kerajaan mencadangkan perubahan itu bagi menjadikan proses menamakan calon, pelantikan dan kenaikan pangkat lebih telus serta berperwakilan. "Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur Suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama. "Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan," katanya. Turut hadir di majlis itu ialah Zaid, Presiden MIC Dato' Seri S Samy Vellu, Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar serta Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan. Sebagai tambahan, Abdullah berkata kerajaan akan memulakan semakan terma perkhidmatan dan ganjaran badan kehakiman. "Terdapat keperluan mendesak untuk menetapkan gaji dan imbuhan di tahap yang betul bagi memastikan bidang kehakiman dapat menarik serta mengekalkan bakat yang terbaik di negara ini," katanya. Abdullah berkata perkara ini dan langkah lain yang akan diumumkan apabila tiba masanya, akan membentuk pakej perubahan yang menyeluruh bagi memperkukuhkan kapasiti serta kredibiliti badan kehakiman. Sekalipun kerajaan menolak cadangan oleh Zaid agar kerajaan memohon maaf ekoran pemecatannya para hakim dalam ucapannya, Abdullah turut membayangkan bahawa kerajaan mengiktiraf sumbangan Salleh, Azmi, Eusoffe, Wan Hamzah, Wan Suleiman dan Seah. Abdullah berkata sebagai gantirugi kepada hakim-hakim berkenaan, kerajaan memutuskan untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada mereka. "Tuan-tuan, saya tidak membuat anggapan untuk menyamakan sumbangan, penderitaan dan kehilangan dengan sekadar matawang, tetapi saya harap tuan-tuan dapat menerimanya sebagai satu sumbangan tulus ikhlas bagi memperbaiki apa yang telahpun berlaku," kata beliau. Abdullah berkata bagi kebanyakan orang, peristiwa pada 1988 merupakan satu pergolakan dalam sistem kehakiman negara memandangkan banyak yang mempertikaikan kesahan dan prinsip moral prosiding yang berkaitan. "Bagi saya, secara peribadi, saya merasakan ia adalah tempoh krisis yang negara tidak akan kembali pulih sepenuhnya. Sekali lagi, tuan-tuan dan puan-puan, ayuh kita mara ke hadapan. Saya tidak fikir bahawa meninjau semula keputusan yang lepas adalah tindakan yang bijak atau membantu memandangkan ia hanya akan memanjangkan kesan krisis itu -- sesuatu yang negara kita tidak perlukan. Rakyat mahukan pergerakan dan kemajuan, bukan persengketaan yang berterusan. "Oleh itu, katanya, kerajaan ingin mengiktiraf sumbangan keenam-enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka dalam mendukung keadilan dan mengakui penderitaan serta kehilangan yang telahpun mereka tempuhi," katanya. "Bagi Tan Sri Eusoffe dan Tan Sri Wan Suleiman serta keluarga mereka, saya tahu bahawa sentimen ini dibuat terlalu lambat. Bagi Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah dan Dato' George Seah, sungguhpun pengakuan ini dibuat 20 tahun terlewat, namun ia dilakukan dengan sepenuh harapan agar sedikit sebanyak penderitaan dan kehilangan itu dapat kembali sembuh," katanya dengan disambut tepukan gemuruh. Sambil mengakui bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan kepercayaan oang ramai terhadap badan kehakiman negara dan bagi memastikan agar keadilan dilaksanakan secara konsisten, Perdana Menteri berkata apa yang beliau umumkan malam ini merupakan permulaan bagi satu proses yang lebih panjang ke arah perubahan. "Saya dengan rendah diri ingin meminta sokongan tuan-tuan kepada langkah yang akan diambil ini memandangkan keperluan untuk melakukan perubahan ini mungkin tidak jelas sepenuhnya bagi semua orang. "Kerajaan telahpun memulakan segala-galanya. Kami telahpun memulakan langkah awal namun penting. Kini terserah kepada semua pihak yang berkenaan -- badan kehakiman, badan peguam, masyarakat madani dan orang awam keseluruhannya -- untuk turut menjalankan peranan masing-masing dalam mempermudahkan perubahan ini," katanya. Abdullah berkata menjadi harapannya agar "kita dapat memulakan babak baru bagi badan kehakiman Malaysia". "Menjadi harapan saya bahawa usaha ini akan menjadi sebahagian daripada proses yang lebih besar untuk terus memperkukuhkan institusi demokrasi kita, menyelesaikan langkah demi langkah masalah yang sukar diselesaikan yang menghalang pembinaan negara yang tulen. Marilah kita menulis babak gemilang dan baru ini bersama-sama," katanya. Salleh yang ditemui para wartawan lepas majlis itu berkata,"Saya tahu saya tidak boleh menang daripada segi undang-undang di hadapan kerajaan terdahulu tetapi doa saya dimakbulkan hari ini kerana saya diberikan kemenangan moral. "Jadi malam ini semua orang boleh mengatakan yang kemenangan moral kini diberikan kepada saya," kata beliau, "Saya bersyukur kepada Allah kerana bersifat pengasih dan penyayang kepada saya, saya menunggu selama 20 tahun dan doa saya telahpun dimakbulkan," ujarnya. - mr |
Friday, April 18, 2008
Krisis Kehakiman - Abdullah 'perbetulkan' kesilapan Mahathir
Posted by
Sang Pemantau
at
4:25 PM
Labels: badan kehakiman, dr det, Harakahdaily, Pak Lah undur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment