Malaysiakini |
Apr 23, 08 12:15pm |
Rakyat bakal menerima beberapa berita baik sebelum atau pada 1 Mei ini, bagi membantu mereka menghadapi kesan kenaikan harga barang yang berlaku sekarang. Itu janji Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad kepada rakyat Malaysia. Beliau membayangkan khabar baik itu akan berkait secara langsung atau tidak langsung dengan kesan inflasi harga barang yang ditanggung pengguna ketika ini. "Kita akan mendengar beberapa pengumuman yang akan dilaksanakan sebelum atau pada 1 Mei ini. Ada berita yang baik, ada berita yang akan membolehkan rakyat menjimat perbelanjaan, mungkin dari segi pelajaran, dan juga bantuan kebajikan yang lebih tersusun, lebih teratur dan bantuan perniagaan kecil-kecil-kecilan akan disusun balik," katanya. Shahrir berkata kesemua keputusan itu dibuat hasil perbincangan jawatankuasa kabinet bagi membendung inflasi sejak sebulan lalu, demikian menurut laporan Bernama. "Keputusan-keputusan dah dibuat, kita tunggu pengumuman," katanya dalam program Bicarawara: Bersemuka Bersama Media yang disiarkan secara langsung selama satu jam oleh RTM 1 malam tadi. Kenaikan harga barang Dalam program yang diperantara oleh Sayed Munawar S M Mustar itu, Shahrir ditemubual editor meja penyuntingan bahasa Malaysia, Bernama, Amer Hamzah Md Sap dan pengarang berita Malaysiakini, Fathi Aris Omar. Menjawab soalan Fathi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan janji dalam manifestonya semasa pilihanraya umum lalu, Shahrir berkata janji BN adalah untuk membantu rakyat berpendapatan rendah daripada menerima kesan yang teruk akibat inflasi harga barang dan perkara itu. Menurutnya, ia sedang diusahakan oleh kerajaan BN menerusi beberapa langkah yang sedang dan akan diambil. Shahrir berkata, sekalipun berlaku kenaikan harga barang, ia tidak menjejaskan barangan keperluan khusus yang diguna oleh majoriti rakyat. "Macam kenaikan harga tepung, ia hanya membabitkan tepung yang diperkaya iaitu yang diguna untuk membuat kuih, kek dan sebagainya, dan bukan tepung biasa yang diguna rakyat biasa," katanya. Bahan alternatif Shahrir bagaimanapun mengakui sebahagian besar kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan kerana ada bahan mentah yang diguna untuk menghasilkan barang keperluan tersebut turut menjadi bahan menghasilkan bahan api alternatif. Kenaikan harga minyak sekarang menyebabkan permintaan terhadap bahan api alternatif meningkat, sekaligus mendorong harga bahan mentah seperti soya dan jagung meningkat. "Soya dan jagung ini adalah bahan utama makanan ayam. Sekarang harganya meningkat menyebabkan harga makanan ayam juga meningkat dan kesannya penternak ayam kita minta supaya harga ayam dinaikkan. "Ini kementerian saya akan bincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan isu ini kita perlu lihat dengan teliti kerana 90 peratus kita makan ayam segar, cuma 10 peratus saja makan ayam proses," katanya. Shahrir turut menegaskan soal kenaikan harga barang adalah isu yang kompleks kerana ia juga membabitkan cara hidup rakyat negara ini yang mementingkan cara hidup sihat dan berkualiti. |
Wednesday, April 23, 2008
Shahrir janji berita baik untuk rakyat
Posted by
Sang Pemantau
at
1:45 PM
Labels: bela rakyat, malaysiakini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment