Harakahdaily Ahmad Lutfi Othman & Saidah Hairan Wed | Apr 23, 08 | 6:45:37 am MYT | |
Hasan Ali mahu wujudkan suasana agama di mana-mana Apabila perubahan melanda Selangor, "apek pun undi PAS." Perkembangan ini membolehkanKeADILan, PAS dan DAP) berkuasa di negeri terkaya itu. Untuk mengisi kemenangan kerja keras diperlukan, selain memastikan elemen rasuah dan salah guna kuasa dapat dibanteras dari akar umbi. Ikuti wawancara Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan wartawan kanan SAIDAH HAIRAN dengan anggota Exco Kerajaan Selangor bagi Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohd Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor. Ia diadakan di Shah Alam, 3 April, jam 8 malam, mencuri setengah jam masa rehatnya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Selangor sementara menunggu mesyuarat perhubungan negeri. HARAKAH: Mungkin sudah agak terlewat, namun bolehkah Dato' rumuskan keputusan pilihan raya lalu, terutama dalam konteks Selangor? DR HASAN: Dari segi kemenangan kita di Selangor ada beberapa perkara boleh dirumuskan. Pertama sekali adalah perubahan besar pada minda rakyat. Selama ini lebih 50 tahun rakyat memikirkan bahawa tidak ada alternatif kerajaan selain daripada BN-Umno. Bagaimanapun dalam pilihan raya ini rakyat pelbagai golongan dan yang paling memeranjatkan sekali di kalangan orang India dan Tionghua, telah membantu kemenangan di Selangor. Saya lihat kawasan bandar, pekelilingan bandar, pinggir bandar nampaknya lebih menonjol daripada kawasan-kawasan tradisi. Kalau di Selangor kita lihat kawasan dari Sabak Bernam hingga Kuala Selangor banyak kawasan kita tumpas, berbanding kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar termasuk kawasan saya sendiri di Gombak Setia mendapat kejayaan yang sangat hebat. Di kawasan saya, di saluran satu kemenangannya tidak begitu menggalakkan. Di saluran dua, tiga, empat dan lima iaitu saluran orang berumur 40-an dan 30-an sokongannya begitu mantap. Saya fikir fenomena ini juga berlaku kepada calon-calon lain. Daripada kekalahan kita tahun 2004, persediaan sudah dirancang. Di Selangor sudah ada 'blueprint' ketika itu untuk kita menghadapi pilihan raya. Kemantapan hubungan kita dengan KeADILan, walaupun tidak ada hubungan langsung dengan DAP, kita dapati kombinasi tersebut telah melahirkan kemenangan yang kita dapat lihat hari ini. Apakah sokongan hebat itu hanya merupakan fenomena sementara dan akan berubah dalam pilihan raya akan datang? Saya tidak melihat begitu. Kebanyakan orang India yang saya jumpa, begitu juga dengan Persatuan Tionghua di Gombak Setia, mereka menjamu saya dengan kepala ikan. Ini adalah golongan pertengahan atasan dan pertengahan yang mengatakan bahawa mereka minta kita ini, calon-calon PAS, DAP, KeADILan dapat kekalkan dari segi moral bahawa kita lebih baik daripada calon BN-Umno. Kita perlu peka dengan orang yang mengundi kita. Turun padang dan sebagainya. Mereka tahu had yang ada pada kita walaupun sudah memerintah negeri Selangor. Kalau kita dapat 'kotakan janji' sebagaimana yang tertera dalam menifesto bahawa, 'Selangor bersih, Selangor maju, Selangor berkebajikan', saya rasa rakyat pun faham. Ada yang cerita kepada saya: "Saya jumpa itu apek-apek yang tidak pernah undi PAS pun, kali ini undi PAS." Ini berlaku kerana sudah ada perubahan minda, perubahan keyakinan dan perubahan arus, sama ada 'upper current' atau 'under current' yang begitu kuat untuk memberikan sokongan kepada BA. Ia mungkin fenomena sementara jika kemenangan yang kita perolehi itu tipis. Ini kalau kebanyakan kemenangan macam Dr Siti Mariah Mahmud, yang dapat majoriti 20,000 undi, saya tidak fikir ia fenomena sementara. Kecuali kita menang nyawa-nyawa ikan. Satu majoriti yang sangat besar misalnya Teresa Kok 40,000 lebih, ini yang tertinggi di Malaysia. Kerajaan baru selalunya membuat satu dua perubahan yang mengejutkan, misalnya di Selangor, selain bekalan air percuma, mungkin ada perkara-perkara lain yang lebih menarik? Dalam tempoh sebulan, perubahan yang dibuat menunjukkan kepada rakyat kemampuan kita untuk memimpin. Kalau kita tengok cara kita mengendalikan Selangor dalam tempoh sebulan ini dengan YAB Menteri Besar dan Adun-adun yang semua berkaliber, tidak ada satu yang tidak berkaliber, dari segi kelulusan, pengalaman dan sumbangan kepada masyarakat serta penglibatan dalam politik dan sebagainya. Ini merupakan tanda-tanda yang ada kepada mereka yang menyebabkan saya rasa di peringkat awal ini di mana-mana sambutan rakyat terhadap kenyataan, pemaparan kita sangat positif. Contohnya himpunan kemenangan yang kita buat di Stadium Melawati. Ada yang kata 40,000 tapi popularnya 25,000 ke 30,000. Sebenarnya ini bukan saja kemenangan rakyat atau pimpinan tetapi kemenangan kepada mereka yang hendak melihat perubahan berlaku di Malaysia terutama Selangor. Kalau kita tengok kenyataan misalnya negeri Selangor akan mengehadkan pemberian tanah kepada individu sebaliknya pada institusi. Itu satu perkara bagus. Kita akan membatalkan langsung pembangunan di tanah cerun bukit, pembangunan yang dikatakan sebagai katogeri tiga dan empat yang melebihi 35 hingga 25 peratus kecerunan. Itu satu benda yang kerajaan dulu tidak buat tetapi kita buat. Kita tidak mengambil pendekatan yang drastik misalnya memberhentikan JKKK, kakitangan dan pegawai Majlis Kerajaan Tempatan (PBT), pegawai kerajaan yang condong kepada Umno dan mereka yang mempunyai jawatan politik dalam BN-Umno. Saya tanya orang Umno, mereka sendiri pun mengiktiraf apa yang kita lakukan. Pada saya sangat positif dalam bulan ini tetapi kita selalu menjanjikan kepada rakyat bahawa kesan yang lebih besar akan ditunjukkan dalam 100 hari kita memegang pemerintahan. Kerajaan baru Selangor ada membuat kenyataan tidak akan menggali atau membongkar penyelewengan kerajaan lama. Baru-baru ini dalam satu forum yang turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Selangor seolah-olah mencabar MB baru kononnya dia bersih dan boleh semak akaun bank dia. Adakah itu akan mendorong kerajaan baru bertindak? Kita menjanjikan siapa saja yang melakukan penyalahgunaan kuasa, rasuah, melarikan wang rakyat, membelanjakan wang negeri dengan sewenang-wenangnya, kita akan kaji dan teliti perkara ini. Kita akan hantar maklumat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Untuk pengetahuan, anggota Exco telah bersetuju menubuhkan badan bebas untuk membuat kajian terperinci mengenai salah laku sama ada sebelum atau selepas pilihan raya yang berkaitan dengan perjanjian, penguasaan anak-anak syarikat dan sebagainya. Dato' ada sebut antara perubahan adalah untuk tidak lagi menganugerahkan tanah-tanah kepada individu atau syarikat. Soalnya hal sama turut didakwa berjalan di zaman BN sebelum ini tetapi ia masih membolehkan salah guna kuasa berlaku khususnya apabila tanah-tanah berkenaan diserahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri, yang kemudiannya diagihkan kepada individu tertentu atas nama kerjasama dengan syarikat kroni. Baru-baru ini apabila kita melihat minit-minit yang lepas dalam exco, walaupun kita tidak meluluskan sebab kita tidak menjadi ahli dalam mesyuarat tersebut ketika itu, kita dapati tanah-tanah yang diluluskan masih ramai dimiliki oleh individu. Soal memberikan peluang dan ruang yang begitu luas kepada kroni Umno-BN melalui anak syarikat, pembelian balik kepada beberapa anak syarikat dan sebagainya dijual balik kepada syarikat kroni, ini memang berlaku. Tidak ada orang yang boleh menafikan hal ini. Hanya sehingga kini kita belum mendapatkan penelitian lanjut mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Saya ingin menyebutkan di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ini dengan bentuk keperibadian dan gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar dan ahli-ahli Exco, setiap kali bermesyuarat diadakan perlunya kita bersih dan menjauhi gejala rasuah. Dalam dua kali mesyuarat, Menteri Besar sendiri membaca doa. Dalam doanya diulang-ulang perkataan menjauhi rasuah. Saya tanyakan kepada teman-teman, hal ini tidak pernah berlaku dalam kerajaan sebelumnya. Bahkan saya mendengar dalam kata-kata doa itu, saya nampak ada sedikit rasa kegugupan dan kesyahduan dalam doa yang dibacakan itu. Mungkin kita katakan itu tidak ada kaitan tapi pada saya itu komitmen yang sangat mendalam di hati, di jiwa, di benak, di perasaan kepada mereka yang telah diamanahkan untuk memimpin. Saya tertarik apabila penekanan Dato' kepada kerajaan Selangor terhadap rasuah. Bagi saya cabaran terbesar di negeri kaya seperti Selangor adalah bagaimana untuk kita memastikan, dari segi mekanismanya dari pimpinan politik, ahli Majlis, Dewan Bandaraya, pegawai kanan dan penjawat lainnya, ada kaedah khusus untuk mengelak dari terjebak dengan rasuah. Pertama, kita tidak boleh menentukan orang lain bersih kalau kita sendiri tidak bersih. Saya ingat dalam borang yang diedarkan untuk perisytiharan harta, MB mengatakan selepas perisytiharan dibuat, ia akan dipamerkan. Mungkin perisytiharan harta pernah berlaku dalam kerajaan sebelumnya. Tapi membuka perisytiharan itu kepada orang ramai untuk diteliti barangkali tidak pernah berlaku. Ini akan dilakukan. Kita akan bekerjasama, bahkan dalam mesyuarat Exco telah diputuskan bahawa Pengarah BPR Selangor akan diberikan ruang dan peluang untuk memberikan penerangan tentang gejala rasuah dan bagaimana caranya kita yang menjadi pemimpin dapat mengelakkan diri daripada rasuah. Ini pun satu tindakan yang saya rasa merupakan satu peringatan awal. Kita rasa walaupun tidak ada bukti khusus tapi ada beberapa anak syarikat yang memang kita dapati tidak begitu bersih. Penyalahgunaan kuasa dan wang awam, yakni rasuah berlaku. Yang ini kita patut teliti. Badan khas yang ditubuhkan itu antara lain di peringkat awal ini akan mendedahkan beberapa kes korupsi. Saya ingat ini akan menjadi peringatan kepada orang lain. Sama ada golongan rakyat atau orang yang memimpin. Bagaimana kita dapat menyuburkan budaya politik yang sihat ini? Saya merancang agar nilai-nilai agama itu dapat diterapkan dengan lebih mendalam. Baru-baru ini ada taklimat daripada Ketua Polis Negeri dan saya gembira bila pihak polis pun sudah mengambil tindakan yang positif untuk membina diri dengan program keagamaan, qiamulail dan sebagainya. Ini satu benda yang baik dan saya sebagai exco agama akan menentukan bahawa program-program yang bercorak pembinaan peribadi, berketrampilan sahsiah itu akan berlaku. Dulu, Dato' sendiri pernah mempersoal kewajaran kemudahan rumah anggota exco kerajaan Selangor yang menelan belanja puluhan juta ringgit. Apakah ia akan dijual? Ini kita belum pastikan lagi tapi yang pastinya tidak ada anggota Exco kita yang akan masuk ke situ. Tiada Exco yang menukar kereta baru, mengubah suai bilik atau melakukan sesuatu yang membazirkan wang rakyat dalam sebulan ini. Pada saya walaupun kecil tetapi ia menunjukkan azam dan tekad kita untuk lebih bertanggungjawab memegang amanah rakyat. Berhubung dengan 10 rumah anggota Exco, saya tanya sahabat-sahabat dalam Exco, mereka tidak berminat untuk masuk ke rumah itu. Ini semata-mata untuk tunjukkan satu contoh kepada masyarakat. Anggota Exco kerajaan BN dulu menggunakannya? Semua rumah itu sudah diguna, sama ada anggota Exco duduk sendiri atau saudara mereka duduk. Apa pun, semua mereka gunakan rumah-rumah tersebut. Keputusan sama ada dijual atau disewa saya rasa Exco belum buat keputusan. Dari segi portfolio Exco yang diamanahkan kepada DatoÕ, mungkin ada perancangan tertentu, khususnya bagi melakukan perubahan? Pertama sekali, menjaga hal ehwal agama Islam. Yang kedua, bersabit dengan adat istiadat Melayu dan ketiga, mengenai infrastruktur dan kemudahan awam. Kalau kita lihat kombinasinya, kedua-duanya seperti tidak terjangkau. Satu agama dengan adat istiadat dirangkum. Tetapi agama, adat istiadat dengan infrastruktur ini satu kombinasi yang setengah-tengah pihak kata tidak cocok. Saya mengucapkan terima kasih dan terharu dengan YAB Menteri Besar yang telah memberi kepercayaan. Kalau kita lihat dua-dua portfolio ini, ia mengambil peruntukan kewangan yang besar dengan urusan sekolah, masjid, surau, dakwah, pendidikan dan sebagainya. Begitu juga dengan infrastruktur. Apa saja kemudahan awam sama ada JKR, JPS termasuk telefon, Syabas, Puas, dan pelbagai lagi. Bagi saya ada beberapa perkara yang akan saya lakukan bahkan sedang berlaku pun. Misalnya, bahagian agama saya akan tentukan sistem pentadbiran dan pengurusan. Kalau kita banyak sumber pun tetapi sistemnya tidak betul, tidak kesampaian juga. Jadi saya dengan pengalaman dan ilmu pengurusan yang ada, dalam kerajaan 20 tahun dan swasta 17 tahun, saya rasa dapat bantu banyak dalam hal ini. Paling tidak disamaratakan hal-hal yang bersangkutan dengan perbelanjaan, misi dan visi, mengoptimumkan kemampuan dan kebolehan daripada jabatan dan sebagainya untuk memberikan sumbangan yang terbaik kepada rakyat. Saya cuba sedaya upaya berusaha mengurangkan keresahan di kalangan rakyat dengan pentadbiran masjid dan surau. Ada lapan masjid digantung dan surau, termasuk di Seksyen 8 juga digantung. Dalam masa terdekat penggantungan itu akan berakhir di mana keseluruhannya akan diserahkan kepada anak kairah. Pada saya inilah model terbaik dari zaman berzaman. Pentadbiran agama Selangor terlalu Ôbersifat UmnoÕ. Jabatannya terlalu Umno. Pandangannya terlalu Umno, pelaksanannya terlalu Umno, keuntungannya pun terlalu Umno. Bukan saya hendak menyekat melulu, bahkan saya akan tengok balik. Kalau terlalu Umno pun tidak bagus bahkan kalau terlalu PAS pun tidak bagus. Jadi saya rasa kita kena logikal perkara ini, kita kena fikir jauh perkara ini bukan untuk diri kita yang akan hidup beberapa tahun lagi tapi untuk generasi kita. Itu yang saya fikirkan. Mengenai pentaulihan, saya hendak letakkan rakyat satu minda. Minda untuk kita dapat meresapkan peraturan-peraturan itu dalam kepala kita. Bukan hanya melihat peraturan itu dengan negatif atau peraturan yang menyekat. Misalnya, yang tidak bertauliah tidak dibenarkan berkhutbah dan berkuliah. Dari satu segi inilah yang tersekat kita orang PAS. Tapi dari satu segi kita dapat lihat rasionalnya bagaimana. Saya selalu nasihatkan teman-teman kalau dapat kita gunakan kekuatan berfikir untuk menjadikan gelanggang-gelanggang ini, menjadikan mimbarnya dan di mana-mana tempat yang dibenarkan untuk kita berkuliah, maka berkuliahlah dengan baik. Berkhutbahlah dengan baik. Saya pun setuju kalau itu tidak dijadikan gelanggang bukan politik. Saya rasa tidak dijadikan gelanggang politik yang kasar. Saya ada 48 nama yang telah diberi kelulusan di peringkat awal termasuk beberapa pimpinan PAS. Jadi saya akan bagikan dari semasa ke semasa. Saya hendak setiap orang PAS dan bukan PAS yang pergi ke masjid untuk berkhutbah atau berkuliah semuanya sudah diberikan tauliah. Setidak-tidaknya mengikut peraturan dan memenuhi hasrat Sultan Selangor. Saya hendak bina suasana agama di mana-mana. Misalnya di pasar-pasar malam. Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah setuju supaya adakan banyak musalla, maknanya sampai saja waktu, imam-imam yang dekat akan mengimamkan solat di musalla, termasuk di pasar malam. Logistiknya kena dibuat tempat ambil wuduk yang banyak. Ada pembeli berhenti membeli dan penjual berhenti menjual. Kita mahu melihat suasana agama terus berlaku di pasar malam dan pasar tani. Ini suasana agama di pasar-pasar ini mencakupi semua golongan umur. Saya hendak ambil contoh di Kota Bharu (Kelantan) dan Rusila (Terengganu), kita adakan kuliah dan ceramah agama. Kalau dengan izin, insya-Allah saya akan lakukan bermula di Masjid Negeri. Jadi orang yang pakai jeans, skirt pun boleh datang mendengar. Biar kita tarik mereka dengan cara begitu. Begitu juga dengan orang yang berjoging di tepi tasik. Kita tidak tentukan lagi hari apa tetapi idea itu sudah dapat diterima oleh Jais. Saya akan lihat pendidikan dan kebajikan guru-guru yang selama ini tertinggal jauh. Guru-guru Kafa dipertimbangkan untuk kenaikan sedikit imbuhan. Ini adalah perkara yang saya fikir dan akan dilakukan di peringkat awal. Ada orang melihat dari aspek ke-Melayuan, kemenangan Pakatan Rakyat di Perak, Selangor juga di Pulau Pinang menunjukkan pengaruh kekuatan Melayu dalam kerajaan baru berbanding dengan dulu, agak berkurangan. Maknanya ada pihak yang melihat suasana ini akan membuatkan orang Melayu berbelah bagi sama ada akan berlaku kecenderungan kembali kepada Umno atau kepada PAS, memastikan bahawa teras kerajaan berpaksi Melayu. Memang kita dapati tonggak kekuatan itu kepada Umno, begitu juga PAS. Maknanya Melayu itu menjadi sandaran utama kepada pembentukan kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri. Sebagaimana yang kita tahu kekuatan Umno tercabar dalam pilihan raya baru-baru ini, begitu juga MCA dan MIC. Apa pun komposisi, kita akui ada pihak melihat parti bersandarkan orang Melayu di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) terutama di Pantai Barat agaknya memang kecil dibanding dengan orang Cina terutama di Pulau Pinang dan Perak. Saya rasa yang lepas-lepas apabila kita bincangkan soal pengimbangan masa depan politik mengikut kaum seolah-olah tidak ÒrealÓ. Sebab itu kita bercakaran. Kita tidak pernah ada tumpuan untuk bersatu, tidak pernah memikirkan selain memikirkan keuntungan untuk menang lima tahun. Sekarang ini rasanya Umno, PAS dan siapa juga yang masuk dalam parti Melayu fikirannya perlu tajam. Kalau selama ini pandang satu dinding sekarang ini kita berfikir pandang tembus dinding itu sampai 10 dinding. Ini saya rasa kena latih tenaga-tenaga muda, pimpinan-pimpinan muda untuk berfikir secara lojik situasi yang berlaku. Teras pemerintahan Melayu sudah diterima, namun yang lebih penting ialah keadilan untuk semua, memastikan ketelusan dan amanah kepimpinan ditangani secara jujur dan adil. Itulah yang menyebabkan satu kestabilan di kalangan orang Melayu. Walau siapa pun memegang tampuk kuasa, semua rakyat, tidak kira sama ada Melayu, India dan Cina, semuanya dalam keadaan selesa. |
Wednesday, April 23, 2008
MB doa agar dijauhkan rasuah
Posted by
Sang Pemantau
at
1:20 PM
Labels: Harakahdaily, PAS, pemimpin rakyat, selangor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment