+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 23, 2008

Tidak kesal apa yang berlaku terhadap Anwar - Tun Mahathir

Detik daily

Posted on Tuesday, April 22 @ 16:21:01 MYT by TokAyah
Artikel Sumber Bernama


 Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bukannya seorang anti barat, tapi akan terus bercakap mengenai pelbagai kesilapan yang dilakukan mereka terhadap orang ramai.

"Saya bukannya anti barat, (tapi) saya menentang perkara-perkara buruk yang dilakukan oleh negara-negara barat," katanya.

Beliau berkata orang barat, terutamanya British, menggelarkan orang Melayu dengan nama-nama yang negatif seperti malas serta tidak cekap, dan menjangka mereka (orang Melayu) akan menyukainya. Beliau berkata oleh itu, orang barat juga perlu bersedia mendengar mengenai apa yang difikirkan oleh orang lain.

"Orang British memanggil kami Melayu malas, Melayu tidak cekap, tidak boleh dipercayai. Kita tidak dapat berkata apa-apa mengenai anda, jadi bila saya berada dalam kedudukan untuk berkata mengenai apa yang fikirkan tentang anda, dan kemudiannya anda katakan anda tidak sukakannya.

"Bila anda katakan kepada kami, anda jangka kami untuk menyukainya, kami tidak menyukainya tapi kami tidak ada cara untuk manjadikan suara kami didengari," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian semasa ditemuramah dalam rancangan "Hard Talk" yang disiarkan oleh BBC di London, semalam.

Beliau mengakui pernah mengatakan bahawa AngloSaxon Eropah adalah penyokong peperangan, perhambaan dan 'holocaust'.

"Ia benar... Saya berkata benar. Ini adalah karektor mereka dan saya akan terus berkata demikian," katanya.

Berhubung demokrasi, Dr Mahathir mempertahankan corak sistem yang diamalkan di Malaysia.

"Tidak semestinya sistem itu akan berjalan lancar bagi setiap orang, tapi jika ada pemimpin yang tidak baik, sistem demokrasi sekalipun akan gagal.

"Anda perlu ingat bahawa sebuah demokratiklah yang menjatuhkan bom atom yang membunuh lebih 200,000 orang," katanya.

Beliau berkata sekiranya dilihat kepada sejarah barat, mereka akan temui bahawa orang barat biasanya akan menampilkan pelbagai jenis ideologi.

"Mereka menggunakan ia untuk seketika dan kemudiannya mereka mendapati ia rosak. Mereka buangkannya dan mulakan yang lain.

"Satu hari, mereka akan melupakan demokrasi kerana di beberapa negara demokrasi biasanya akan berakhir dengan anarki, dan secara praktiknya kerajaan tidak wujud," katanya.

Dr Mahathir berkata demokrasi bukanlah satu sistem yang boleh disesuaikan dengan semua orang.

"Anda perlu ada sedikit persefahaman berhubung batasan demokrasi dalam usaha menjadikan ia boleh dilaksanakan," katanya.

Dr Mahathir juga diminta mengulas mengenai keputusan pilihan raya umum baru-baru ini di mana parti memerintah kehilangan lima negeri kaya kepada gabungan pembangkang dikatakan akibat perbezaan kaum yang diperjuangkan oleh beliau semasa pentadbirannya.

"Saya tahu itu cuma andaian pengkritik asing tetapi hakikatanya dalam keputusan itu, ia diakibatkan oleh rasa tidak puas para penyokong parti memerintah dengan keputusan-keputusan sekarang," kata beliau.

Beliau juga mempertahankan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan penyebab kekalahan, dengan menyatakan ia adalah langkah perlu bagi membetulkan ketidakseimbangan yang wujud semasa penjajahan British.

Mengenai soal berhubung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata jika Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau dialu-alukan untuk menjalankan siasatan penuh dan menyeluruh mengenai apa yang dipanggil salah laku beliau (Dr Mahathir).

"Beliau dialu-alukan berbuat demikian, tetapi saya harap beliau mendapatkan orang yang neutral, yang tidak berat sebelah, mungkin orang luar kerana saya tidak mempercayai orang yang mereka letakkan menjaga orang yang mereka tidak suka," kata beliau.

Dr Mahathir juga ditanya sama ada beliau kesal dengan apa yang beliau lakukan terhadap Anwar.

"Mengapa saya mesti kesal, beliau ditangkap di bawah undang-undang negara, beliau dibicarakan dan dihukum oleh mahkamah, jika beliau tidak bersalah, saya tidak fikir tidak kira apa anda fikir mengenai kehakiman kami, saya tidak fikir beliau dihukum penjara," kata beliau.

Mengenai sistem kehakiman di Malaysia, Dr Mahathir dengan tegas menafikan beliau melantik hakim-hakim di Mahkamah Agung dan menyatakan beliau sentiasa percaya terhadap sistem itu.

"Saya tidak melantik hakim-hakim, hakim-hakim dilantik oleh Ketua Hakim Negara, dan tugas saya ialah untuk memeriksa sama ada mereka mempunyai sebarang rekod, dan selepas itu ia dipersembahkan kepada Agong yang kemudian melantik hakim-hakim," jelas beliau.

Mengenai langkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menawarkan bayaran exgratia kepada hakim-hakim yang dipecat semasa pentadbirannya beliau (Mahathir) menyifatkannya sebagai "tindakan politik".

"Ia tindakan politik, sesuatu bagi seseorang yang menjadi begitu tidak popular sekarang mahu menunjukkan beliau perlu melakukan sesuatu yang betul," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga menuduh Abdullah menggunakan sistem dengan cara seteruk mungkin.
"Tidak ada orang boleh menyatakan sesuatu yang menentang beliau, beliau mempunyai surat khabar yang melaporkan sewajarnya mengenai diri beliau dan tentang betapa hebatnya beliau, dan beliau dikelirukan oleh penyokongnya sendiri untuk mempercayai yang beliau akan menang besar dalam pilihan raya baru-baru ini," kata beliau.

Ditanya mengapa beliau memilih Abdullah sebagai penggantinya, Dr Mahathir berkata,"Orang-orang ini, mereka bijak dalam menyembunyikan sifat sebenar, beliau dikenali sebagai Mr Clean dan saya fikir saya perlu melantik seseorang yang bersih menggantikan saya ...walaupun beliau bukan seorang yang mempunyai undi terbanyak (sebagai naib presiden) dalam parti, tetapi saya fikir beliau lebih tua dan saya lantik beliau dengan memikirkan beliau tidak akan melakukan sesuatu yang salah".

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |