+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 21, 2008

Angkara Mahathir buat BN kucar kacir di Parlimen

Harakahdaily

Mohd Rashidi Hassan

Wed | May 21, 08 | 10:40:23 am MYT


Tindakan drastik Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar daripada Umno ketika memberi respon beliau kepada soalan hadirin dalam satu majlis di Alor Setar 19 Mei lepas mencetuskan suasana panik dan kucar kacir di kalangan Umno.

Suasana di Parlimen pagi semalam begitu muram dan mengelirukan ramai ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional, khususnya Umno, kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang hendak terjadi kepada parti mereka.

Ucapan Mahathir yang berulang kali mengecam Perdana Menteri yang juga Presiden Umno sudah dijangka, tetapi tiada siapa yang menyangka ahli nombor 1 Umno (Umno baru 1988) itu keluar parti.

Kata Mahathir, Abdullah tidak faham signal yang ditunjukkan rakyat pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas.

Mahathir menyertai tiga Presiden Umno sebelumnya iaitu Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn untuk bersara di luar Umno.

Ada banyak rumours diperkatakan di kalangan Ahli Parlimen (MP), wakil-wakil media dan orang-orang politik. Di mana sahaja sudut Parlimen, sama ada dalam dewan persidangan, ruang istirehat MP, lobi, kantin dan ruang legar, semuanya membincangkan topik mengenai Mahathir.

Ada yang kata bekas PM itu membuat keputusan tergesa-gesa, spontan dan tidak dirancang ketika dicabar seorang peserta perhimpunan.

Ada yang kata, Mahathir memang merancang untuk keluar Umno dan hanya menunggu masa yang sesuai.

Ada yang kata, tindakan Mahathir keluar Umno didorong oleh tindakan Abdullah yang membenarkan Peguam Negara menyiasat kemungkin berlaku salahlaku bekas PM itu sebagaimana saranan Suruhanjaya Klip Video Lingam.

Apa pun andaian, hakikat yang disebut Mahathir amat jelas, beliau tidak mahu Abdullah menjadi Presiden Umno dan PM. Hanya jika Abdullah meletakkan jawatan baru lah beliau akan kembali kepada Umno.

Kenyataan sekeras ini dikeluarkan setelah berulang kali gesaan dibuat Mahathir supaya Abdullah segera meletakkan jawatan kerana beliau adalah punca sebenar yang mengakibatkan BN hampir kehilangan kuasa di Parlimen.

Bukan sahaja Mahathir dan anaknya Dato' Mukhriz yang mendesak Abdullah meletakkan jawatan. Ramai pemimpin di peringkat negeri dan bahagian juga membuat desakan sedemikian.

Tetapi Abdullah enggan berundur. Beliau tegas menyatakan apa yang berlaku, sesiapa pun yang mendesaknya, tiada sebab untuknya meletakkan jawatan. Ada banyak lagi kerja yang hendak dibuat katanya.

Sikap Abdullah ini membuatkan ahli-ahli Umno tidak ada pilihan lain. Kalau mereka tidak mahu Abdullah, mereka tidak boleh tunggu Abdullah meletakkan jawatan.

Untuk Umno, Abdullah Badawi mesti dipaksa meletakkan jawatan, sama ada dengan menewaskannya dalam pemilihan jawatan Presiden Umno Disember depan, atau jika, Disember terlalu lama, mereka terpaksa membuat undi tidak percaya kepadanya dalam mesyuarat Majlis Tetinggi Umno atau mungkin juga dalam Perhimpunan Agung Khas.

Apa yang akan jadi pada Umno?

Ketika penulis berkesempatan berbual-bual mengenai isu ini dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di lobi Parlimen, secara spontan beliau menyebutkan, "Musa (Tun Musa Hitam, bekas TPM) lupa, dia juga pernah jadi duri dalam daging (Umno).

Kenyataan spontan Ustaz Hadi itu merujuk kepada kenyataan Musa yang 'seolah-olahnya bersyukur' bahawa Mahathir yang disifatkannya sebagai duri dalam Umno sudah keluar.

Ada juga sumber dalam Umno mengatakan, bekas TPM itu pernah berjumpa Abdullah di kediaman rasmi PM di Putrajaya selepas PRU Mac lepas.

Dalam pertemuan itu dikhabarkan Musa ada meminta Abdullah berundur, tetapi secara tiba-tiba Kamaluddin (anak Abdullah) masuk dan terus menyampuk perbuatan dua orang tua itu, dengan menegaskan bapanya tidak akan berundur dari sebarang jawatan.

Banyak gosip yang disebut orang-orang Umno, bahawa keengganan Abdullah meletakkan jawatan lebih didorong faktor anak-anak, menantu, keluarga dan kroni.

Antara nama-nama yang mahu Abdullah kekal, disebutkan orang-orang Umno, selain Kamaluddin iaitu Khairy Jamaluddin, Kamal Khalid, Kalimullah Masheerul Hassan dan beberapa orang lain.

Ringkasnya selain keluarga, Abdullah mahu dikekalkan oleh orang-orang di Tingkat 4 JPM dan NST.

Sejauhmana dakwaan itu, sama ada betul atau tidak, itulah yang diperkatakan oleh orang-orang Umno, khususnya di Parlimen.

Menurut mereka sebahagian besar ahli-ahli Umno tidak mahu Abdullah Ahmad Badawi lagi sebagai PM. Bagi mereka banyak tindakan Abdullah sama ada dalam parti dan kerajaan, tidak dibuat untuk kepentingan Umno dan BN.

Kebanyakannya dibuat tanpa merujuk Umno, tanpa merujuk BN. Ada juga kalangan pemimpin Umno juga menempelak Musa Hitam, dengan mengatakan walaupun bekas TPM itu 'mentor' Abdullah, tetapi kebanyakan nasihatnya tidak terpakai.

Mungkin betul juga dakwaan blogger Sang Kelembai (rakan penulis) bahawa kerajaan yang ada sekarang ini adalah 'Kerajaan Tiga Beranak'. Sejauhmana rakan penulis itu mahu mempertahankan pendiriannya terhadap Abdullah, hanya beliau sahaja yang tahu.

Hakikatnya, parti Umno ketika ini, mahu tidak mahu harus diakui dalam keadaan macam tongkang pecah.

Mampukah Abdullah bertahan?

Bagi Abdullah, sekarang ini, beliau tidak ada pilihan selain untuk mempertahankan kedudukannya yang terumbang ambing akibat desakan bertalu-talu.

Tengahari semalam beliau terpaksa bergegas ke Parlimen untuk menemui anggota Parlimen Umno dan BN, dengan satu tujuan, mahukan komitmen mereka terus kekal dalam parti dan tidak mengikut jejak langkah Mahathir.

Tidak dinafikan pengaruh Mahathir begitu besar dalam Umno. Ada yang kata Mahathir boleh mencetuskan tsunami. Ada yang kata tindakan Mahathir seperti Taufan Nargis kepada Umno.

Tekanan besar kepada Abdullah dan BN bukan sahaja dari Mahathir. Abdullah dan BN juga sedang berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mahu menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat bila-bila masa.

Abdullah menghadapi tekanan dari dalam dan luar Umno. Jelasnya tindakan Mahathir ini akan membawa akibat buruk kepada Umno dan BN, sekaligus ia memberi keuntungan kepada Anwar.

Di Parlimen semalam, ramai MP BN termasuk bekas Menteri yang berbual-bual sambil menanyakan borang ahli PAS dan KeADILan.

Di satu sudut seorang MP berbual dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamad Azmin Ali, meminta disediakan borang ahli KeADILan bila-bila masa dari sekarang.

"Saya mungkin dah tidak lama jadi orang Umno, kalau susah-susah lebih baik saya masuk PAS, boleh terus perjuang Islam/ Melayu," kata seorang MP Umno sambil bergurau penulis.

Mungkin juga beliau bergurau, mungkin juga beliau serius. Apa pun keadaan yang berlaku sekarang boleh menambahkan koleksi MP-MP Umno/BN untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Pemimpin Pakatan Rakyat harus bijak menangani kemelut yang berlaku dalam Umno sekarang ini. Masa untuk menubuhkan kerajaan semakin dekat, persediaan serapi mungkin harus dibuat.

Peluang sebaik ini harus dimanfaatkan. Anwar, Ustaz Hadi dan Lim Kit Siang, harus segera berpakat untuk meyakinkan rakyat bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa, ianya tidak akan menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara.

Dalam keadaan Umno/BN macam tongkang pecah, mereka tidak perlu dibeli, sudah tentu mereka tidak mahu mati kelemasan, mereka tahu bila masanya untuk terjun sendiri.

Mari kita sediakan pelampung yang secukupnya sebelum Umno karam bersama Abdullah dan pengikut-pengikut setianya!

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |