Mstar Online
21-05-2008 02:41:36 PM
Oleh G.MANIMARAN
(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz kini mengambil strategi 'perjuangan' baru - seorang dari dalam dan seorang dari luar Umno - untuk mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno?
Dr. Mahathir selepas memutuskan untuk keluar Umno kelmarin, terus-menerus mengeluarkan pandangan dan kritikannya mendesak penggantinya - Abdullah, yang beliau pilih sendiri sebelum bersara, agar berundur untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Komen beliau terbaru awal pagi ini dalam blognya juga menyentuh soal kedudukan wakil-wakil rakyat BN dan Umno.
Kira-kira 30 jam selepas Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno mengumumkan untuk keluar Umno, Mukhriz mengambil pendirian berlawanan dengan berkata: "Saya akan tetap setia sebagai ahli Umno dan akan menjadi suara yang lantang menegur kepincangan kepimpinan parti."
Mukhriz yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno bagaimanapun mempunyai pandangan sealiran dengan Dr. Mahathir iaitu terus mendesak Abdullah supaya meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan.
Mukhriz mengumumkan pendiriannya di Hotel Seri Pacific di sini kira-kira pukul 5.30 petang semalam dengan dikerumuni sebahagian penyokongnya.
Ketika ditanya pagi ini sama ada tindakan kedua-dua mereka boleh disifatkan sebagai strategi dua arah mendesak Abdullah, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata: "Saya tidak tahu sama ada itu strategi mereka (atau sebaliknya), itu masing-masing punya pendirian."
Bagaimanapun tegas beliau, sehingga hari ini Umno masih mantap dan kukuh manakala penjelasan Abdullah dengan ahli-ahli Parlimen Umno petang semalam juga sangat positif untuk mengukuhkan parti.
"Yang keluar Umno setakat ini merupakan mereka yang telah lama berjasa dan mereka yang berusia lebih 80 tahun," kata beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan anggota Kabinet.
Laporan wartawan mStar Online, Zanariah Abd. Mutalib dari Parlimen menyebut, malam kelmarin Mukhriz telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di kediaman Hishammuddin.
Apakah Mukhriz dan Mahathir menggunakan strategi masing-masing untuk melawan arus kepimpinan Umno.
Berdasarkan kenyataan Mukhriz semalam nampaknya beliau memutuskan untuk kekal tanpa pengetahuan ayahnya.
Mengulas lanjut mengenai pendirian untuk kekal dalam Umno, Mukhriz berkata, beliau tidak berbincang dengan Dr. Mahathir mengenai keputusannya tetapi mengakui bapanya sedikit kecewa dengan keputusan beliau.
"Bagaimanapun matlamat utama kami adalah sama iaitu untuk selamatkan parti," kata beliau.
Ditanya sama ada beliau ada memujuk Dr. Mahathir supaya kekal dalam Umno, Mukhriz memberitahu, bekas Perdana Menteri itu tidak akan berbuat demikian kerana tahu bapanya tidak mungkin menukar keputusannya.
Apabila disoal sama ada tindakan bapanya akan mengakibatkan Umno porak peranda, Mukhriz menjelaskan: "Bagi saya Umno kita sudah porak peranda."
Mukhriz mengumumkan pendiriannya kira-kira tiga jam selepas Abdullah menemui ahli-ahli Parlimen daripada Umno di Parlimen.
Persoalan sejauh mana kedua-dua anak beranak ini akan berjaya dalam strategi perjuangan masing-masing?
Kedua-dua mereka akan mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli Umno?
Mukhriz yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Disember ini pernah menggesa Abdullah agar meletakkan jawatannya ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dan Umno gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menggesa Mukhriz tampil menjadi orang pertama menerima tawaran bapanya untuk keluar Umno.
Sejak Dr. Mahathir mengumumkan keputusannya semalam, Mukhriz dikatakan bakal mengikut jejak ayahnya untuk keluar parti.
Semalam, bekas Dr. Mahathir telah membuat pengumuman keluar parti dan tindakan beliau telah memberi reaksi pelbagai pihak di seluruh negara.
Beliau menyeru ahli-ahli Umno lain turut menyertainya sehinggalah ada perubahan dalam pimpinan parti.
Sehingga petang ini tiada pengumuman mana-mana ahli yang lain akan keluar parti.
Termasuk Dr. Mahathir dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, bekas Naib Presiden dan Setiausaha Agung, Tan Sri Sanusi Junid juga memutuskan untuk keluar parti.
Selepas pilihan raya umum ke-12, Mukhriz juga telah menulis sepucuk surat untuk Abdullah mendesak beliau untuk bertanggungjawab atas kesuraman prestasi BN, namun ia disangkalnya.
Terdahulu, April lalu beliau menegaskan jika berlaku perubahan kepimpinan secepat mungkin akan dapat mengelakkan timbulnya ketegangan semasa pertandingan tahunan Umno Disember ini.
Menurutnya, sebarang pertandingan tersebut bakal menimbulkan keretekan dalam parti, dan beliau menyeru Abdullah supaya menyerahkan tampuk pemerintahan untuk timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Hishammuddin kecam Mukhriz beri syarat desak Pak Lah undur
- MT Umno bincang isu Dr. Mahathir malam ini
- Umno Perlis yakin Dr. Mahathir akan ubah pendirian
- Label Mahathir 'duri dalam daging' tidak wajar
- Sanusi keluar Umno tidak muncul majlis Pak Lah di UIA
- Parti pembangkang tawar Dr Mahathir sertai mereka
- Analisis: Pilihan raya umum tergempar tidak mungkin?
- Khalid Abdullah belum keluar Umno
0 comments:
Post a Comment