Malaysiakini |
May 14, 08 3:45pm |
Barisan Nasional didakwa cuba menutup isu kontroversi rakaman video peguam VK Lingam apabila menolak usul tergempar isu itu yang ingin dibawa oleh ketua pembangkang di Dewan Rakyat hari ini. Usul Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk membahaskan laporan siasatan suruhanjaya diraja - yang telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan belum didedahkan kepada umum - ditolak di peringkat dalam kamar yang dipetua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia. "Keputusan yang dipertua Dewan Rakyat untuk menolak usul tergempar tersebut amat mengecewakan," kata presiden PKR, yang juga ahli parlimen Permatang Pauh, dalam satu kenyataan hari ini. "Malah alasan yang dikemukakan jelas memperlihatkan percubaan kerajaan Barisan Nasional untuk menutup perkara yang berkepentingan umum ini dibahaskan dalam Parlimen." Tambahnya, usul tersebut perlu dibahaskan segera memandangkan jemaah menteri akan memutuskan sama ada laporan tersebut akan didedahkan atau sebaliknya kepada pengetahuan umum Jumaat ini. Menurutnya lagi, Pandikar Amin memaklumkan bahawa penolakan usul tersebut menurut peraturan mesyuarat 18(5) yang menyebut "tidak lebih daripada satu usul boleh dibawa pada satu hari persidangan mesyuarat". Wan Azizah berkata, yang dipertua memaklumkan bahawa terdapat satu usul lain daripada ahli parlimen Ipoh Barat akan dibahaskan hari ini. "Kami berpendirian bahawa, sekiranya kerajaan Barisan Nasional bersungguh-sungguh ingin memulihkan integriti sistem kehakiman negara,... yang dipertua sewajarnya menangguhkan usul yang penting itu kepada keesokan hari, dan bukannya ditolak mentah-mentah dalam kamar," katanya lagi. "Perbahasan usul tersebut dalam Dewan Rakyat penting bagi memulihkan kembali keyakinan umum terhadap badan kehakiman negara yang begitu teruk tercemar seperti mana didedahkan dalam video Lingam." |
Wednesday, May 14, 2008
Azizah: BN cuba tutup isu video Lingam
Posted by
Sang Pemantau
at
9:37 PM
Labels: malaysiakini, parlimen, Pita Lingam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment