Malaysiakini |
May 14, 08 11:32am |
Pengerusi DAP Karpal Singh berkata Dewan Diraja Selangor tidak sepatutnya terlalu terburu-buru membuat kenyataan terhadap beliau. "Saya tidak buat sebarang tuduhan khusus terhadap Sultan Selangor," katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen semalam. Karpal berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar bahawa Dewan Diraja Selangor menyelar beliau kerana menuduh Sultan Sharafuddin Idris Shah mencampuri urusan badan eksekutif di negeri itu, demikian menurut Bernama. Dalam kenyatannya kelmarin, Dewan Diraja itu berkata sebagai Sultan, baginda bertindak dalam lingkungan perlembagan apabila baginda melahirkan pendapat dan pandangan tentang sesuatu perkara yang mempunyai kaitan dengan rakyat baginda. Dewan Diraja itu berkata kenyataan Karpal seperti yang dilaporkan sebuah akhbar pada 6 Mei, sungguh mengelirukan. Karpal sebaliknya berkata memandangkan beliau tidak membuat sebarang tuduhan khusus terhadap Sultan Selangor, maka dewan itu sepatutnya menggunakan bahasa yang lebih lembut dalam kenyataannya. 'Bermotif politik' Sementara itu, Bernama juga melaporkan bahawa Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan pendirian PKR mempertahankan kenyataan Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak adalah pendirian yang bermotifkan politik. Katanya, pembangkang tidak perlu mengambil masa yang begitu lama untuk menyokong kenyataan itu jika ia benar-benar berasaskan kepada pendapat yang tulen dan tidak mempunyai kepentingan tertentu. "Ia sudah terlewat. Mengapa ambil masa yang begitu lama nak menyokong. Saya percaya apabila ia dilakukan selepas beberapa hari diulang oleh Karpal, ia dibuat bersandarkan kepada pertimbangan politik," katanya mengulas tindakan pemimpin PKR mempertahankan kenyataan Karpal yang mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury. Semalam, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang parti itu menerima penjelasan Karpal atas alasan kenyataan itu tidak bermaksud menyinggung Raja-Raja Melayu. Hishammuddin berkata, persepakatan pembangkang dalam hal itu boleh dipersoalkan kerana Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga menteri besar Kelantan memberikan kenyataan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Karpal itu. "Nik Aziz kata beliau tidak bersetuju, jadi macam mana sekarang boleh kata bersepakat pula," katanya. Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sokongan terhadap institusi raja berperlembagaan adalah sokongan yang merentasi semua kaum, justeru kenyataan Karpal itu perlu dikaji untuk menjelaskan matlamat sebenar ia dikeluarkan. Janji siasatan adil Sementara itu di Shah Alam, ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis akan menyiasat dua laporan berkaitan dengan ahoi Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng (foto) dengan adil. Katanya, polis menerima satu laporan daripada seorang pegawainya pada 8 Mei lalu yang mengatakan bahawa Lim telah merusuh dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Menurut Bernama, pada keesokannya, Lim pula membuat laporan bahawa polis telah merosakkan kereta dan mencederakan beliau. Sehingga kini percakapan Lim belum dapat dirakamkan dan polis akan mengaturkan seorang pegawai untuk melakukannya di Parlimen. "Ialah, dia seorang ahli Parlimen, dia sibuk, jadi dia telah minta kami merakamkan percakapannya di Bangunan Parlimen," katanya. Khalid berkata polis masih menunggu laporan perubatan dari pihak hospital mengenai kecederaan Lim. Dalam kejadian 8 Mei itu, Lim dan kira-kira 150 orang penduduk Bandar Mahkota Cheras membantah pemasangan tembok penghalang di laluan percuma penduduk taman berkenaan ke Lebuh raya Cheras-Kajang. Polis telah menembak gas pemedih mata dan semburan air untuk menyuraikan mereka. |
Wednesday, May 14, 2008
Karpal: Dewan diraja terburu-buru
Posted by
Sang Pemantau
at
1:17 PM
Labels: Karpal, malaysiakini, selangor, Sultan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment