+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 14, 2008

Rakyat perlu bijak menilai berita media perdana - Presiden PAS

Harakahdaily

Anis Nazri

Wed | May 14, 08 | 6:36:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Hrkh) - Media perdana dilihat cuba melaga-lagakan barisan Pakatan Rakyat bagi menimbukan rasa resah dan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung kerjasama Pakatan Rakyat, khususnya antara PAS dengan DAP.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat perlu bijak menilai segala berita atau cubaan yang dibuat media perdana bagi memburukkan kerjasama antara Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian apabila diminta penjelasan tentang pendirian PAS berkenaan slogan 'Malaysian Malaysia' yang dibawa DAP.

"Saya suka berpijak di alam nyata pada hari ini, yang mana pada hari ini melalui pilihan raya umum, rakyat telah memecahkan tembok perkauman dan agama, sekali gus ia dilihat sangat menarik. Apa yang penting, bukan istilah tetapi objektif untuk mewujudkan perpaduan dan keadilan," jelas beliau dalam sesi dialog bersama media sempena Majlis Makan Malam Rakan Media PAS, di sebuah hotel di ibu kota, malam semalam.

Menurut Ustaz Hadi, PAS bersifat terbuka dalam hal ini, dan perlu memberi penekanan terhadap titik persamaan, dan bukannya titik perbezaan yang wujud di antara Pakatan Rakyat.

Jelasnya, dalam menghadapi keperitan, seperti ISA contohnya semua tahanan ISA menerima layanan dan keadaan yang sama, tanpa sebarang perbezaan yang perlu diperjuangkan bersama.

"Orang PAS yang ditahan ISA, dihantar ke Kamunting. Begitu juga Hindraf. Semua dihantar ke Kamunting, tiada bezanya. Orang DAP juga yang ditahan, dibawa ke Kamunting. Tiada bezanya dan titik persamaan itu perlu diperjuangkan bersama," tegas beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi mengakui yang menjadi masalah kepada Pakatan Rakyat hari ini ialah peranan media yang cuba melaga-lagakan Pakatan Rakyat.

"Saya pernah buat pepatah 'jangan kita menjadi seperti lesung dan alu, yang kenyang ayam'. Lesung dan alu tumbuk-menumbuk, sakit...yang kenyang, tetap ayam. Jadi kalau kita lawan sama-sama kita (Pakatan Rakyat), yang untung nanti lawan kita. Yang penting bukan istilah, tapi pengisiannya yang membawa kebaikan kepada semua pihak tanpa mengira kaum dan agama," tegas beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa tiada peruntukan berkenaan 'negara Islam' dalam Perlembagaan PAS, tetapi wujud hukum yang tertinggi iaitu al-Quran, Sunnah, Qias, Ijmak Ulama' mewujudkan negara yang memerintah berasaskan ajaran Islam yang ada di dalamnya keadilan.

Sementara itu, dalam respons berhubung peranan blogger, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin, yang turut hadir di majlis itu berkata, media perdana hari ini begitu tersepit kerana mereka cuba menyesuaikan diri dengan kehendak pemerintah, sedangkan di lima buah negeri sudah berubah pemerintahannya.

"Media perdana hari ini tersepit kerana mereka tidak berlandaskan kebenaran. Jika saudara-saudara, sebagai blogger yang jujur dan ikhlas, sudah pasti tidak tersepit dengan keadaan hari ini dalam melaporkan kebenaran," jelas beliau.

Dalam pada itu, Nizar turut meminta para blogger yang dahulunya lantang mengkritik kelemahan BN agar berbuat serupa terhadap kelemahan yang dilakukan Pakatan Rakyat.

"Kalau dulu saudara-saudara kritik dengan begitu hebat BN, maka sekarang untuk mengkritik Pakatan Rakyat juga perlu diteruskan, dalam menyatakan kebenaran," tegas beliau lagi, sambil menerima tepukan gemuruh daripada para blogger dan hadirin.

Majlis makan malam itu diadakan sebagai tanda penghargaan PAS kepada para media, termasuk blogger yang memainkan peranan besar dalam memberikan keputusan pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Majlis tersebut turut dihadiri Lajnah Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh; Timbalan Ketua Muslimat, Wan Hasrina Wan Hassan; ahli-ahli Parlimen PAS; Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu; pimpinan PAS di peringkat negeri, pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan isteri; blogger Sang Kelembai, dan beberapa blogger lain. - mns

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |