JELI 4 Mei - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed hari ini mengingatkan rakyat supaya berjimat dan mengelakkan pembaziran beras bagi memastikan negara tidak turut menerima tempias krisis kekurangan bekalan beras.
Mustapa berkata ini berikutan rakyat negara ini terutama di Kelantan dan Terengganu, terlalu 'mewah' dengan makanan sehingga ada yang makan nasi sehingga empat kali sehari.
"Harga beras semakin naik, bekalan pula semakin berkurangan. Tidak cukup dengan langkah kerajaan belanja berbilion ringgit untuk meningkatkan pengeluaran hasil beras kalau rakyat tidak turut sama membantu.
"Jangan salah faham pula, bukan kita larang tak beri makan nasi, tetapi kenalah belajar berjimat sekarang ini. Selalu juga kita lihat ramai yang isi nasi sampai penuh pinggan tetapi makan sikit saja, selebihnya membazir," katanya.
Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bicaratani yang disertai kira-kira 300 penduduk jajahan ini hari ini.
Beliau berharap para imam masjid turut memainkan peranan dengan menyebarkan maklumat mengenai masalah kekurangan bekalan beras melalui ceramah dan juga khutbah Jumaat.
"Biar rakyat peka dengan masalah yang dihadapi negara dan tidak lagi membazir. Kita juga menggalakkan setiap keluarga menanam sendiri sayuran melalui Kempen Bumi Hijau.
"Sekolah juga diminta menubuhkan kelab pertanian bagi memupuk minat kanak-kanak dalam bidang ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa berkata kementerian menjalin kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam usaha meningkatkan keluaran hasil makanan negara.
Beliau berkata Kabinet pada Jumaat lepas meluluskan peruntukan RM2.49 bilion untuk memastikan bekalan makanan negara terjamin.
"Kerajaan buat apa yang perlu untuk atasi perkara ini dan dalam masa yang sama kita minta rakyat turut sama membantu bagi memastikan kesan yang dirasai seluruh dunia ini tidak teruk sangat pada kita," katanya.
Program Bicaratani akan diadakan di 98 daerah di seluruh negara termasuk 10 jajahan di Kelantan. Program itu menjadi platform jabatan dan agensi di bawah kementerian bertemu dengan golongan petani bagi membincangkan pelbagai isu dan masalah dalam sektor pertanian.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment