+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, May 5, 2008

Sultan Johor mahu hasil permuafakatan diserah kepada semua raja

Utusan Online


Sebahagian peserta berdoa pada hari terahir Kongres Permuafakatan Melayu di Persada Johor, Johor Bahru, semalam.
- Gambar ISHAK RAHMAD


JOHOR BAHRU 4 Mei - Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail menitahkan supaya Jawatankuasa Perwakilan Kongres Permuafakatan Melayu menghadap raja-raja Melayu bagi mempersembah dan menerangkan resolusi yang dipersetujui untuk perhatian mereka.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, ia membolehkan raja-raja negeri lain meneliti sendiri setiap resolusi yang dipersetujui pada kongres itu.

"Pada keseluruhannya, baginda bersyukur dan gembira berikutan kejayaan kongres yang ditunjangi Gapena bersama 200 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang berjaya menghimpun dan menyatukan orang Melayu.

"Kegembiraan baginda dapat diterjemahkan apabila baginda telah membaca dan meneliti dengan serius resolusi yang dipersetujui pada kongres yang berlangsung di bandar raya ini," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Kongres Permuafakatan Melayu berkata demikian selepas mengetuai rombongan menghadap Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, kira-kira pukul 1 petang ini bagi mempersembahkan resolusi yang dipersetujui oleh 2,100 peserta kongres itu.

Selain Ismail turut menghadap Sultan Johor ialah Datuk Yahya Jalil, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, Datuk Tengku Alaudin Tengku Majid dan Datuk Zainal Abidin Borhan.

Menurut Ismail, pada keseluruhannya baginda telah meluangkan masa kira-kira dua jam untuk meneliti resolusi tersebut.

"Kami benar-benar kagum dan gembira apabila baginda bertanya dan meminta penjelasan berhubung setiap tuntutan yang dimaktubkan di dalam resolusi tersebut. Dengan penuh beradat kami telah memberi penjelasan dan baginda berpuas hati dengan penjelasan itu," ujarnya.

Ismail berkata, sokongan dan dorongan baginda terhadap apa yang dilakukan oleh kongres jelas terpancar apabila baginda dalam majlis mengadap itu turut membincangkan banyak perkara berkaitan nasib dan masa depan orang Melayu.

Sehubungan itu, Ismail berkata, pihaknya akan mempersembahkan resolusi itu kepada raja-raja negeri lain dalam tempoh terdekat.

Sementara itu Yahya memberitahu, pada majlis mengadap itu baginda turut mendoakan bangsa Melayu selamat dan bersatu dalam apa juga keadaan.

"Baginda secara serius menasihatkan kita (orang Melayu) agar menghormati kaum lain di negara ini," katanya.

Katanya, sayang baginda terhadap Melayu turut ditunjukkan apabila baginda beberapa kali mengingatkan betapa pentingnya masyarakat negara ini menghayati dan mengamalkan Rukun Negara.

"Apa yang mengejutkan, saya sendiri turut diuji oleh baginda untuk membaca rukun itu secara urutan... syukur Alhamdulillah saya lulus," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |