Harakahdaily Mohd Sabri Said Fri | Apr 25, 08 | 2:51:15 pm MYT | |
Masih ramai yang belum mengenali Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin. Aktivis gerakan reformasi dan KeADILan ini menang di Dun N12 Penanti (dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh) dengan majoriti 2219 pada pilihan raya umum 8 Mac lalu mengalahkan calon BN, Dato' Abdul Jalil Majid. Dalam wawancara sulungnya dengan pemberita Harakah, Mohd Sabri Said, Timbalan Ketua Menteri itu membicarakan beberapa isu berkaitan pentadbiran baru negeri. Harakah: Apa perasaan saudara selepas dipilih ke jawatan Timbalan Ketua Menteri? Fairus: Sebenarnya saya bukan orang baru dalam perjuangan khususnya Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan), sebaliknya terlibat sejak permulaan reformasi sehinggalah kini bila diarahkan sebagai calon Dun Penanti dalam Parlimen Permatang Pauh. Ketika dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Menteri, saya terkejut sebab tanggung jawab yang diamanahkan terlalu tinggi. Namun apa pun bila ada sokongan rakan taulan, ia akhirnya menjadi satu amanah untuk saya memperkasakan atau memperkemaskan termasuk ekonomi dan martabat Islam di Pulau Mutiara ini. Saya difahamkan YB tidak tinggal di rumah kediaman rasmi kenapa begitu? Kemenangan yang Allah SWT berikan ini bukan hendak bermegah-megah sebaliknya amanah yang amat besar maka menjadi tanggungjawab bukan saya saja, tetapi juga Ketua Menteri, Lim Guang Eng yang tidak mendiami kediaman rasmi kerajaan kerana tidak mahu menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi. Memandangkan masa ini kita tidak menguasai Kerajaan Persekutuan, kita cuba berjimat sedaya upaya bimbang sesuatu berlaku seperti di Kelantan dan Terengganu yang dikuasai PAS pada tahun 1999-2004. Saya rasa apa yang sedia ada cukup memadai sebagaimana yang ditunjukan oleh Nabi s.a.w., para sahabat atau Khalifah Al-Rashidin. Mereka bermula dengan contoh diri sendiri kerana kepimpinan bukan satu kelebihan sebaliknya amanah yang dipertanggungjawabkan. Satu lagi yang semua exco laksanakan termasuk Ketua Menteri ialah kami membatalkan pembelian lima buah kereta Perdana V6 yang ditempah oleh kerajaan terdahulu. Kita telah mendapat jawapan rasmi dari EON bagi pembatalan tersebut. Pembelian itu melibatkan RM623,000. Kami hanya pakai kereta yang sedia ada dan saya sendiri menggunakan kereta Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan pada tahun 1990 dulu. Maknanya kereta rasmi ini sudah 18 tahun. Kita beranggapan tidak perlu bermewah dan duit ini boleh diperuntukan kepada kebajikan rakyat atau keperluan pembangunan Pulau Pinang. Pada ucapan pertama YB di khalayak ramai sempena Sambutan Maulidur Rasul di Tapak Ekspo Seberang Jaya, YB menyebut slogan 'Generasi Al-Amin'. Boleh huraikan lebih lanjut? Misi kita di Pulau Pinang bukan sahaja hendak meningkatkan prasarana pembangunan negeri malahan termasuk membentuk generasi yang kuat dan beramanah. Bila rakyat kuat dan gagah mereka boleh bekerja dengan produktiviti yang tinggi serta dapat memperkasakan ekonomi supaya tidak bergantung nasib dengan kedudukan orang lain. Lagipun, ia mengambil sempena pesanan Jibrail kepada Nabi Muhamad s.a.w. iaitu selalulah mengerjakan qiamulail kerana dengannya dapat memberikan kekuatan, dan kedua jangan sama sekali kita bergantung nasib dengan manusia. Bila memenangi dan berjaya membentuk kerajaan baru apakah tindakan paling awal diambil oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat? Pertama yang kita lakukan ialah tambahan elaun khas kepada Guru-Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) seluruh Pulau Pinang sebanyak RM863 ribu bagi jumlah 1,450 guru dan 11 penyelia guru KAFA. Maknanya, saya meletakan nombor satu tentang soal pendidikan kerana guru KAFA sanggup meluangkan masa untuk mengajar anak-anak bangsa ke arah pembentukan akhlak. Tindakan awal telah digerakkan, sekurang-kurangnya guru-guru yang mendidik merasa dihargai atau selesa. Pertambahan ini menjadikan setiap seorang memperolehi RM50.00 menjadikan RM730.00 sebulan. Walaupun negeri ini dalam keadaan 'gawat ekonomi' tetapi itulah pengorbanan kerajaan negeri yang mula dilaksanakan dan Insya Allah jika ekonomi lebih baik, mungkin boleh laksanakan dengan lebih baik demi kebaikan semua pihak. Apakah perancangan kerajaan negeri terhadap nasib masyarakat Melayu yang semakin terhakis? Isu Melayu terpinggir terhasil daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN). Kita bangun untuk meratakan keadilan rakyat dan tidak perlu banyak label digunakan bagi pendekatan begitu. Apa yang penting ialah (program) pengisian terhadap golongan miskin dan berpendapatan rendah. Majoriti golongan ini ialah orang Melayu. Sekarang ini isu berkenaan bukan lagi besar kerana rakyat sudah celik dan beranggapan semuanya mainan politik sempit Umno dan BN. Jika rakyat tidak bijak kenapa berlaku tsunami politik yang begitu hebat. Orang Cina dan India pun sudah berani datang mendengar Tok Guru berceramah bukan di belakang malahan di barisan hadapan. Di Kulim contohnya, orang India dengan tidak berbaju sanggup membalut diri dengan bendera PAS dan KeADILan. Ini satu kesedaran politik lantaran celiknya sanubari rakyat dan bila sanubari bersuara ia begitu keramat sehingga terhumbannya BN dalam pilihan raya umum lepas. Perkampungan Melayu makin terhakis contohnya di Kampung Makam, Jelutong, Tanjung To' Kong dan banyak lagi. Bagaimana tindakan kerajaan untuk memastikan keadaan itu tidak terus berlaku? Islam sebenarnya menghargai seni bina yang indah kerana Islam boleh menyerlah jiwa Rabbani sekiranya tamadun lama dikekalkan. Saya tidak boleh lagi memberi komen secara langsung sebaliknya akan meneliti bentuk perancangan yang diinginkan oleh kerajaan terdahulu terhadap pembangunan di beberapa buah kampung. Kita akan memastikan hak lama terus dipelihara bukan bertindak melulu sehingga mengorbankan sesebuah perkampungan itu walhal ia dibina memakan masa ribuan tahun. Bagaimana pula nasib peniaga-peniaga Melayu dalam hal ini? Perkara ini bukan di bawah portfolio saya, tetapi saya boleh memberi sedikit komen tentang masalah utama mereka seperti penempatan, lokasi perniagaan dan sebagainya. Kita sedang giat turun ke padang dan menyiasat di mana alternatif yang patut diberikan. Saya tidak mahu membuat sebarang komen lanjut lagi buat masa ini kerana kajian sedang dibuat kerana sebagai kerajaan baru kita juga harus meneliti cadangan yang dibuat oleh kerajaan dahulu kerana ada setengahnya boleh diambil kira seandainya pelaksanaannya baik untuk golongan terbabit. Jika terdapat ia tidak memberikan manfaat kita akan hapuskan. Golongan peniaga kecil Melayu amnya usah khuatir kerana kerajaan sekarang sedaya upaya menambah baik peluang yang ada. YB juga memegang portfolio koperasi, apakah perancangan untuk memantapkan koperasi yang ada di negeri ini? Saya cadangkan semua koperasi agar lebih matang dan nampak profesional. Jangan lagi anggap penubuhan koperasi kerja main-main sebaliknya harus menanggung tanggung jawab mengerakkan perjalanannya ke arah yang lebih berdaya saing. Selain itu juga saya bertekad mensifarkan rasuah yang menular dalam koperasi supaya sesebuah koperasi dapat bangun dan berjalan dengan telus dan adil. Sekarang ini isu Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menjadi hangat. Bagaimana perkembangan terkini? Dalam akhbar arus perdana, YB Shabudin menampakkan kurang akhlaknya beliau apabila secara tiba-tiba menyerang saya selaku Timbalan Ketua Menteri yang memegang urusan agama. Sampai saat ini saya masih tidak membuat sebarang kenyataan akhbar berkenaan isu ini kerana hendak menjaga nama baiknya dan tidak mahu memalukan sesiapa kerana saya mahukan proses pertukaran itu berjalan dengan baik, penuh sopan dan berhemah. Tetapi, tidak semena-mena YB Shabudin melancarkan serangan kepada saya dalam media. Sepatutnya beliau tahu tanggung jawabnya untuk menyerahkan jawatan yang disandang berikutan kekalahan parti yang diwakilinya. Sudah banyak kedengaran hasrat rakyat agar beliau meletakkan jawatan. Apa salahnya, beliau sebagai YDP Maipp datang berkunjung hormat ke pejabat saya sebagaimana yang dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pengarah jabatan dan Mufti Kerajaan Negeri, Dato' Haji Hasan Ahmad. Adakah beliau lebih besar daripada mereka ini sehingga mengatakan dalam akhbar, saya perlu berjumpa dengannya untuk menyelesaikan masalah. Beliau jelas tidak memahami tatacara itu dan sebagai ahli politik perlakuannya dianggap keterlaluan. Saya hendak memberi peringatan, sebagai seorang yang menjagai institusi agama apa salahnya hadir berkunjung hormat; bukan saya yang turun berjumpa dengannya. Tindakan seumpama itu tidak kena dengan pengtadbiran negeri.- tajdid |
Monday, May 5, 2008
Kepimpinan bukan satu kelebihan tapi amanah - TKM Pulau Pinang
Posted by
Sang Pemantau
at
11:11 PM
Labels: Harakahdaily, PR Pulau Pinang, wawancara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment