Presiden MCA Datuk Seri 0ng Ka Ting dan timbalannya Tan Sri Chan Kong Choy tidak akan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan parti itu 18 Oktober depan.
"Saya telah memutuskan tidak akan bertanding semula bagi mempertahankan jawatan presiden parti. Keputusan yang telah saya fikirkan dengan masak selepas mendapatkan pandangan dari rakan-rakan dalam parti dalam tempoh tiga bulan lalu.
"Ini bukan keputusan tergesa-gesa tetapi telah saya timbangkan lama dan selepas perundingan dalam masa yang panjang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ong berkata pendekatan politiknya ialah seseorang pemimpin tidak harus menduduki sesuatu jawatan terlalu lama dan keputusannya hari ini sejajar dengan apa yang beliau perjuangkan selama ini, demikian menurut Bernama.
"Bila saya ambil alih pucuk pimpinan parti pada Mei 2003, satu dari tindakan segera saya ialah meminda perlembagaan parti bagi menghadkan penggal presiden parti kepada hanya sembilan tahun.
"Bagi menteri, exco negeri dan anggota majlis kerajaan tempatan, tempoh perkhidmatan mereka dihadkan kepada dua penggal pilihanraya umum," tambahnya. Pemimpin muda
Ong seterusnya berkata beliau "sentiasa menekankan perlunya wujud budaya politikyang sihat dalam MCA" dan kepercayaan ini termasuk perlunya membimbing pemimpin-pemimpin muda sebagai sebahagian daripada proses pembaharuan dan pengukuhan parti.
"MCA juga percaya tentang perlunya menjamin satu pelan peralihan kuasa yang lancar. Dalam masa enam tahun lepas, ramai pemimpin muda dan berkebolehan MCA muncul dan tentunya, pemimpin parti ini perlu diberi peluang berkhidmat kepada negara, masyarakat dan parti secara lebih efektif," katanya.
Ong, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kini ahli Parlimen Kulai berkata keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu menyaksikan rakyat Malaysia,termasuk masyarakat Cina, memberikan mesej yang jelas kepada parti.
"Tentunya, keputusan itu menunjukkan perlunya kita semua merenung dan memikirkan apa yang teleh berlaku. Pilihanraya itu menyaksikan 15 ahli arlimen dipilih.
"Sebagai presiden parti, saya mesti memikul tanggungjawab atas keputusan itu. Pada prinsipnya, saya mengambil keputusan tidak mencalonkan semula diri saya untuk jawatan kabinet," kata Ong.
Chan tidak bertanding
Ong berkata dalam beberapa bulan lalu beliau telah berbincang dengan anggota-anggota parti dan membayangkan kepada mereka bahawa tidak ada pemimpin yang tidak boleh diganti dan pentingnya kerja berpasukan serta tidak terlalu bergantung pada satu-satu personaliti.
Adalah penting pemimpin-pemimpin MCA tidak berterusan memegang kuasa, katanya.
"Parti adalah milik ahli-ahlinya dan bukan individu tertentu," katanya.
Sementara itu, Chan, yang kini berada di luar negara bila dihubungi berkata beliau juga tidak berhasrat bertanding semula dan akan membuat kenyataan rasmi mengenai hal itu.
Dengan perkembangan terbaru ini, beberapa pemimpin parti seperti naib presiden yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat; setiausaha agung parti yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Ong Ka Chuan; dan Ketua Pemuda yang juga Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai dijangka muncul sebagai calon-calon utama bagi merebut dua jawatan tertinggi parti dalam pemilihan itu kelak.
Terdapat juga kemungkinan dua bekas naib presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Chua Jui Meng bertanding untuk jawatan tersebut. |
0 comments:
Post a Comment