ALOR STAR 16 Jun - Sebuah institusi kewangan dari Kuwait berminat melabur di Kedah terutamanya dalam bidang pertanian dan projek yang melibatkan pembinaan Hospital Islam di sini.
Menteri Besar, Azizan Abdul Razak memberitahu, cadangan pembinaan Hospital Islam di atas tanah milik Yayasan Islam Kedah itu menarik perhatian Kuwait Finance House yang sedang mencari pelaburan di negeri ini.
''Dalam perjumpaan dengan mereka, kerajaan negeri tawarkan banyak pelaburan di negeri ini dan mereka nampak berminat," kata Azizan kepada pemberita selepas menerima kunjungan wakil-wakil Kuwait Finance House di pejabat Menteri Besar di Wisma Darulaman di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri sedang mengkaji lebih mendalam mengenai cadangan pembinaan Hospital Islam dan perbincangan dengan pelabur lain masih berjalan.
Mengenai sektor pertanian, Azizan berkata, firma berkenaan berminat melabur dalam bidang tersebut selaras dengan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi negara itu memasarkan produk melalui rangkaian perdagangannya di beberapa negara termasuk Australia dan China.
''Mereka minat menjadikan Malaysia sebagai hab. Mereka banyak terlibat dalam perlombongan dan pertanian di Australia termasuk penanaman gandum," katanya.
Azizan menjelaskan, kerajaan negeri membuat tawaran kepada firma berkenaan untuk mengatasi masalah pertanian khususnya bagaimana hendak menembusi pasaran antarabangsa.
''Mungkin mereka boleh mencari pasaran di Asia Barat kerana mereka mempunyai rangkaian pemasaran yang lebih baik," tambahnya.
Mengenai dakwaan kes kecurian balak yang semakin menjadi-jadi di Baling, dekat sini, Azizan berkata, kemungkinan balak yang keluar dari hutan mempunyai lesen.
''Jika keluar dari hutan tentu ada lesen kerana kita tidak mendapat laporan daripada Jabatan Perhutanan mengenai kes kecurian balak.
''Saya tidak nafikan mungkin ada kes-kes kecurian tetapi jika ada perlulah dibuat laporan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.-utusan
0 comments:
Post a Comment