+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, June 20, 2008

Kerajaan sembunyi fakta sebenar minyak- Husam

Detik Daily

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, yang juga seorang ahli ekonomi mempunyai pandangan serta penyelesaian menarik bagaimana untuk mengatasi krisis kenaikan harga minyak dalam negara.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan ini turut menyanggah segala macam hujah yang diberikan oleh kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau turut membuat pendedahan yang mengejutkan, apa yang disifatkannya sebagai fakta yang disembunyikan oleh kerajaan. Ikuti wawancara beliau bersama MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB, bersama jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, 9 Jun lepas.



HARAKAH: Kerajaan menaikkan harga minyak dengan menarik subsidi kepada rakyat, atas alasan kenaikan harga minyak dunia, apa pandangan Dato'?

HUSAM: Dalam hal ini saya mempersoalkan, pertama, adakah kerajaan Malaysia mampu memberi subsidi harga minyak kepada pengguna tempatan atau tidak? Yang kedua, wajarkah subsidi ini diberikan atau tidak?

Pada pandangan saya, Malaysia mampu beri subsidi bagi membolehkan harga minyak negara berada pada tahap yang tidak bebankan rakyat dan membantu kembangkan ekonomi negara,

Ini kerana kedudukan kita sebagai 'nett exporter'(eskport bersih). Malaysia kini dikelaskan sebagai 'nett exporter' minyak kerana minyak yang kita keluarkan lebih daripada apa yang kita gunakan.

Malaysia mengeluarkan antara 650,000 tong sehari, dan pernah pada tahun 2006 kita pernah keluarkan 747,000 tong sehari.




Apa maksud 'nett exporter'?

Bila kita dikelaskan sebagai 'nett exporter', kita dengan sendirinya mempunyai kedudukan yang membolehkan kita mampu membiayai subsidi ke atas rakyat, sekali pun harga minyak naik lebih tinggi lagi.

Ini kerana apabila harga minyak makin tinggi kita ada duit yang banyak untuk memberikan subsidi.

Yang mudah pengiraannya ialah, berdasarkan jumlah pengeluaran dan penggunaan kita bagi kadar sehari, kita masih ada lebihan lagi sejumlah 150,000 tong sehari, berdasarkan penggunaan sekarang iaitu sekitar 500,000 tong sehari.

Itu belum masuk pengeluaran Petronas di luar negara yang mana ada perkongsian dengan Sudan, dengan Negara Teluk dan lain-lain.



Tetapi kerajaan mendakwa mahu rakyat bersedia hadapi krisis yang lebih buruk?
Itu hujah kerajaan. Kerajaan mendakwa oleh kerana minyak kita boleh bertahan hanya, tujuh tahun lagi, kerajaan mahu melatih rakyat untuk menerima kadar harga minyak antarabangsa. Jadi dengan tarik subsidi ini kita akan dekati harga pasaran minyak dunia, dan bila minyak habis tujuh tahun daripada sekarang kita akan terus ke pasaran dunia (pasaran terbuka).

Bagi saya hujah ini adalah tidak benar kerana mengikut rekod yang ada pada Petronas, kalau kita buka laporan Petronas 2006, jangka hayat minyak Petronas masih ada 20 tahun lagi.

Jadi kita boleh guna selama 20 tahun akan datang dan jangka hayat rizab gas pula ada 34 tahun lagi.

Apa yang kita perlu fahami tentang jangka hayat rizab ini ialah, kita akan sentiasa dapat sumber-sumber baru dalam istilah Petronas ialah disebut sebagai 'replacement ratio' (nisbah penggantian) yang membawa maksud, sumber baru yang akan ditemui bagi mengantikan sumber sedia ada yang telah dikeluarkan.

Ikut sumber Petronas ini, 'replacement ratio' pada tahun 2006 ialah, 1.8 kali ganda. Bermakna tiap-tiap satu liter yang kita gunakan sekarang akan diganti dengan nisbah 1 liter (digunakan sekarang) : 1.8 liter ('replacement ratio') sumber baru.

Ini yang rakyat tidak tahu dan kerajaan tidak pernah dedahkan.

Ini bermakna minyak kita tidak akan kering dalam masa terdekat kerana kita ada rizab yang sentiasa bersambung. Ini bermakna sebenarnya kerajaan mampu meneruskan subsidi bagi jangka masa yang lebih lama lagi.



Apakah implikasi ekonomi apabila subsidi minyak ditarik balik?

Apabila kerajaan tarik semula subsidi ini, kerajaan sebenarnya menyebabkan rakyat biasa tertekan dari segi kehidupan mereka; permintaan pengguna akan jatuh, pelancongan domestik akan menguncup; barang-barang akan naik harga termasuk barang-barang pembinaan sekali gus akan menguncupkan industri pembinaan.

Ia akan menyumbang kepada penguncupan peluang pekerjaan dalam industri pembinaan; menyerap sebahagian pendapatan rakyat sebab kos-kos baru yang timbul akibat kenaikan harga-harga dan perkhidmatan ini.

Secara keseluruhannya penarikan subsidi akan membebankan rakyat.



Tetapi kerajaan membandingkan harga minyak kita masih murah berbanding negara lain?

Cuba kita lihat macam di Mesir, harga minyaknya jauh lebih rendah berbanding Malaysia, harga minyaknya ialah RM1.03 sen, dan rizab minyak di Mesir hanya 3.7 bilion tong berbanding Malaysia kita ada 4.2 bilion tong.

Kalau Mesir boleh letak harga lebih rendah dengan rizab minyak yang lebih kecil, mengapa Malaysia yang ada rizab minyak lebih besar, sampai 30 sen kurang daripada harga dunia?.

Begitu juga harga di Nigeria hanya 32 sen (dalam RM), UAE RM1.19 sen; Venezuela (16 sen) dan Turkmemistan (22 sen). Turkmenistan ini rizabnya lebih rendah lagi iaitu, 0.56 bilion tong, tetapi harga di Turkmenistan hanya pada kadar 22 sen seliter.



Kerajaan kata naikkan harga minyak dan tarik subsidi kerana mahukan peruntukan subsidi disalur kepada pembangunan dan subsidi lain?

Memanglah jumlah subsidi akan meningkat tetapi kerajaan perlu bimbang kerana wang itu diperolehi daripada peningkatan keuntungan hasil daripada harga minyak dunia yang meningkat.

Kerajaan tidak perlu ambil daripada wang lain seperti balak, getah atau sebagainya kerana kita hanya perlu ambil daripada keuntungan yang meningkat berikutan kenaikan harga minyak itu.

Bila kerajaan tarik subsidi ini rakyat akan terbeban, ekonomi akan menguncup, yang setersunya kerajaan juga tak akan dapat lebihan duit sebab kenaikan harga minyak yang kita lihat sekarang ini salah satu sebab adalah kerana akibat penurunan nilai Dollar Amerika (USD).

Jadi kerajaan akan kejar bayang-bayang ini sampai habis, umpamanya baru-baru ini kerajaan naikkan hingga RM2.70, selang dua tiga hari minyak dunia naik USD10 lagi bagi satu tong, bermakna RM18 bilion yang kerajaan kata cuba jimat itu jadi menguncup.

Cuma kerajaan boleh jimatkan perbelanjaannya dan keuntungan yang diperolehi hasil lain digunakan dengan berhemah, itu adalah cara penjimatan yang sebenar dan bukannya dengan menekan rakyat yang menyebabkan rakyat terbeban dengan kerajaan mahu jimatkan RM18 bilion tadi, daripada poket rakyat.

Jadi negara akan mengalami pengurangan wang rakyat sebanyak RM18 bilion juga yang diserap kerajaan untuk jadi dana untuk dana pembangunan seperti yang didakwa kerajaan itu.



Mengapa dana Petronas tidak diguna untuk membantu rakyat?

Saya hendak sebutkan sejarah Petronas. Petronas ditubuhkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussien pada tahun 1974 untuk melaksanakan konsep 'inoculasi'.

Dalam kes ini, Petronas ditubuh untuk memastikan keuntungan daripada harga minyak yang Malaysia keluarkan itu untuk melindungi pengguna tempatan dengan harga yang murah.

Ini bermakna, harga minyak dunia boleh naik tetapi harga minyak negara perlu lebih rendah daripada harga minyak dunia, ini konsep yang menyebabkan Petronas ditubuhkan.

Fungsi utama Petronas bukan semata untuk keuntungan, Petronas boleh bergerak mencari keuntungan tetapi keuntungan itu adalah mesti digunakan untuk rendahkan harga minyak Malaysia, bukan hanya untuk rekodkan keuntungan dan berbangga dengan keuntungan besar itu tetapi tak mahu gunakan wang itu untuk rakyat.

Petronas hanyalah pengawal kepada minyak tadi milik yang sebenarnya ialah milik rakyat, dan Petronas tak boleh kata itu milik mereka dan keuntungan itu milik mereka kerana keuntungan itu untuk rakyat gunakan untuk melindungi harga kerana pemilik asalnya adalah negara iaitu rakyat Malaysia.

Harus diberi keutamaan ialah rakyat yang menjadi tuan punya kepada Petronas itu.

Lebih-lebih lagi kini Petronas berkembang di luar negara dan rizab Petronas diluar negara ialah 3.2 kali lebih tinggi daripada jumlah 'replacement ratio' tadi.

Maknanya jika sekarang kita guna 1 liter, kita ada 'replacement ratio' 3.2 kali ganda lagi pada kadar rizab kini.


Petronas dilaporkan untung besar saban tahun, apa pandangan Dato' bagaimana sewajarnya keuntungan itu disalurkan?

Ya, jika melihat rekod Petronas berdasarkan laporan tahunannya, hasilnya sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, di mana pada tahun 2006, keuntungan selepas cukai ialah RM43 bilion, sedangkan harga minyak dunia ketika itu ialah USD65 (satu tong).

Sekarang harga minyak naik lebih USD130 setong, tentunya Petronas akan mendapat keuntungan yang lebih lagi.

Pada tahun 2007 pula keuntungan bersih Petronas ialah 46.4 bilion.

Dalam laporan tahunannya pendapatan besar Petronas disumbangkan oleh minyak yang telah dijual kepada orang ramai melalui stesen-stesen minyak (domestik) iaitu RM62.7 bilion pada tahun 2007.

Ini bermakna minyak yang dijual Petronas kepada orang ramai menjadi sumber pendapatan terbesar Petronas.

Selain itu harga minyak kita 30 peratus lebih tinggi berbanding minyak yang kita import kerana minyak kita dikenali sebagai 'tapis blend' yang ada kualiti yang lebih baik dan harga yang tinggi bermakna di atas kualiti minyak ini, kita akan dapat lebihan pendapatan berbanding harga minyak yang kita beli pada pasaran dunia untuk kegunaan domestik tadi.

Ini semua membuktikan Malaysia mampu memberi subsidi kepada rakyat untuk mengekalkan harga pada kadar yang rendah dan dengan itu mengurangkan beban rakyat jelata dan membolehkan rakyat ada cukup wang untuk dipusingkan dalam ekonomi.


Sebelum pilihan raya kerajaan jamin tidak naikkan harga minyak, tetapi sebaliknya dinaikkan secara mendadak ....
Kupasan saya ini berdasarkan data. Dari sudut politik ini saya fikir orang ramai boleh memikirkannya sendiri (soal janji politik yang tidak betul).

Saya berhasrat supaya rakyat memahami beberapa asas yang tidak pernah disebut oleh kerajaan tentang 'replacement ratio'; jangka hayat minyak kita yang masih wujud ini yang tidak pernah didedahkan oleh kerajaan kepada rakyat.


Selain minyak, Malaysia juga ada simpanan gas yang cukup besar, apa pandangan Dato'?

Ya. Mengenai gas, di Thailand sendiri kerajaannya sedang dan telah mempersiapkan negaranya dengan penggunaan NGV.

Namun di negara kita sendiri pam NGV sendiri tidak mencukupi, di Kelantan dan Terengganu tidak dipasang paip besar (PGU) untuk hantar gas NGV ini kerana itu kita tidak boleh diadakan stesen pam NGV di Kelantan dan Terengganu.

Sedangkan NGV ini adalah sumber tenaga yang murah yang boleh digunakan oleh kenderaan menggantikan minyak dan kita ada rizab gas yang sangat besar.

Rizab gas kita sangat besar iaitu gas diukur dalam kadar tong minyak, total rizab kita hingga Januari 2007, 26 bilion 'Barrel Oil Equivalent' (BOE) (gas campur minyak) itu pada tahun 2007, pada tahun 2008 ialah 25.85 maknanya kita ada penemuan rizab baru. Ini bermakna rizab kita bertambah.



Adakan fakta ini disembunyikan?

Yang mustahak kini ialah, oleh kerana Petronas tidak pernah ada audit bebas diadakan sama ada penggunaan oleh kerajaan mahupun Petronas sendiri.

Justeru, saya cadangkan jika kerajaan tiada apa-apa yang hendak sembunyikan daripada rakyat, saya cadangkan kerajaan lantik satu audit bebas untuk mengaudit penggunaan hasil keuntungan Petronas ini.


Dato' setuju rakyat harus diberikan subsidi minyak?

Subsidi ini diperlukan bagi meningkatkan kecekapan ekonomi dan memberikan kelebihan kepada negara.

Ini kerana jika kita boleh keluarkan barang dalam kadar yang murah kita ada kelebihan pada penetapan harga.

Jika kos pengeluaran kita mahal, kos penjualan pun mahal dan mungkin berbanding dengan negara lain harga barang, produk keluaran kita akan tidak berdaya saing dan tidak kompetitif.

Kita tidak boleh bandingkan dengan negara macam Singapura yang bukan pengeluar minyak.

Dengan Indonesia juga tidak boleh dibandingkan kerana pengeluaran minyaknya dengan jumlah penduduknya nisbah pengeluarannya sangat kecil berbanding Malaysia yang pengeluaran minyak lebih dengan penduduk yang kurang berbanding Indonesia.

Thailand sendiri memberi cukai jalan percuma sedangkan Malaysia masih mengenakan cukai jalan.

Pendapatan hasil keuntungan ini (cukai jalan) ialah sejumlah RM5 bilion setahun dan ia boleh digunakan untuk perbelanjaan negara dengan cermat melaksanakan pembangunan.


Bagaimana dengan impak kenaikan harga minyak?

Kerajaan sudah tidak boleh mengawak impak kenaikan harga minyak ini kepada harga-harga barangan lain. Misalnya dalam kes larangan merokok 18 tahun ke bawah, akhirnya berapa orang peniaga yang dikenakan tindakan kerana melanggar larangan ini? Tidak ada seorang pun lagi yang kena.

Malaysia ada undang-undang tetapi tak ada penguatkuasaan.

Justeru, satu kesimpulannya ialah lepas kerajaan umumkan kenaikan ini kerajaan seolah-olah dilihat seperti kesian kepada rakyat dengan umumkan beberapa langkah untuk mengurangkan beban rakyat, tetapi ini semua satu kepura-puraan yang tidak sepatutnya berlaku.

Kerajaan yang naikkan harga minyak itu dan rakyat dah terbeban, sekarang kerajaan pula cerita nak bantu rakyat dengan ringankan bebanan, tolong kurangkan tol, dan bagi lebih bantuan.

Kalau kerajaan tidak naikkan harga minyak, kerajaan tidak perlu umum langkah ini, kerana semua orang akan dapat nikmat harga minyak tidak naik.

Kalau harga minyak naik, harga beras yang naik atas lori pun naik, justeru orang susah dan orang kaya pun akan merasai kenaikan harga beras.

Pada saya, jika Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia, memang kita yakin akan dapat mengekalkan subsidi yang munasabah walaupun harga minyak dunia meningkat.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |