Mstar Online
20-06-2008 09:03:54 PM
Oleh ZIEMAN
PUTRAJAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin menyarankankan agar mereka yang tidak puas hati dengan Datuk Seri Abdullah Badawi agar senaraikan masalah yang timbul dari kepimpinannya dan beri ruang untuk beliau mengatasinya.
"Jangan sibuk timbulkan isu tidak percaya kepada kepemimpinannya. Bertanya dulu siapa calon yang hendak dilantik dan bukan soalkan siapa yang hendak ditumbangkan. Takut nanti penggantinya lebih buruk.
"Adakah penggantinya lebih baik darinya? Kalau tidak nanti, takut keluar mulut harimau, masuk mulut buaya," kata beliau kepada mStar Online di sini hari ini.
Beliau mengesyorkan agar disenaraikan dulu 20 dalil kenapa Pak Lah perlu berhenti dan 20 dalil bagi membuktikan penggantinya lebih baik dan bukan sekadar menukar orang sahaja.
Tambah beliau, persoalan sekarang tidak berkisar pada Barisan Nasional (BN) lagi kerana dalam BN ada desas desus yang tidak suka kepimpinan Pak Lah.
Menurut Dr Asri, terpulang pada kejujuran Abdullah sendiri untuk mengatasi masalah yang telah disenaraikan ini.
"Jika soal-soal yang membabitkan keluarga, tengok sejauhmana ketulusan beliau menangani masalah ini. Atau adakah ideanya yang tidak cukup bernas supaya kita boleh selesaikan perkara ini dengan lebih objektif kerana situasi ini sudah menjadi sentimen umum," jelasnya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung pengganti Abdullah.
"Mungkin nanti penggantinya juga ada masalah yang sama atau lebih buruk," katanya.
Kata Dr Asri lagi, masalahnya sekarang, sistem demokrasi kita sudah begitu yakni sistem demokrasi ala barat walaupun dicorak dalam acuan sendiri.
"Islam ada pendekatan sendiri untuk mengatasi masalah ini seperti mengadakan majlis syura dengan mereka yang berkenaan. Bukannya mengikut cakap para penyokong dan pengampu," katanya.
Krisis politik sekarang perlu dilihat dengan kaca mata yang lebih objektif, ujar Dr Asri.
"Kalau hendak berbalahpun, berbalahlah tapi kena lihat kesan dari perbalahan itu yang meninggalkan kesan besar pada rakyat.
"Saya sendiri setuju Pasca PRU 12 telah membuktikan beberapa perkara seperti ia berjaya mematahkan keegoaan, keangkuhan dan kesombongan sesetengah ahli politik Barisan Nasional yang selama ini ingat mereka tidak boleh tumbang dan jatuh.
Tapi episod itu sudah berlalu dan PRU telah membayar dan menunaikan hasrat rakyat. Sudah cukup pengajaran itu. Orang yang hendak dihukum telahpun dihukum. Jangan bicara lagi pasal hukuman, lihat kesan pada hukuman. Umno pun telah dihukum, yang tinggalpun nyawa-nyawa ikan...," kata Dr Asri.
Kata Dr Asri, jangan disebabkan kita ghairah menumbangkan satu keegoan, kita timbulkan satu keegoaan yang baru. Pihak alternatif hendaklah memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan dan kesombongan BN.
"Kini masanya untuk uruskan negara dengan baik bukan untuk berbalah," kata Dr Asri.
Beliau juga berpendapat walaupun kepimpinan Abdullah banyak dikritik, tapi hakikatnya setuju atau tidak Abdullah telah memberikan kebebasan kepada media.
"Memang benar banyak perkara yang kerajaan hendak lakukan tidak boleh dilakukan kerana kerajaan tidak cukup kuat. Tapi kita juga kena akur, di bawah kepimpinan Pak Lak banyak ruang telah diberikan pada pihak akhbar, yang mana peluang ini tidak pernah diberikan sebelum ini. Begitu juga dengan Badan Kehakiman. Jadi kita kena timbang tara dengan adil kesemua kelemahan dan kekuatan Pak Lah secara rasional.
"Buat pertama kali kita menikmati kebebasan akhbar. Cuma ditakuti kebebasan yang diberikan itu akan mengulangi kesilapan Presiden BJ Habibi Indonesia bila mana ia membuka ruang tapi akhirnya ruang itu telah menyusahkannya," kata Dr Asri.
"Sepatutnya apabila kita memberi senjata pada orang, kita sendiri kena tangkas bermain dengan senjata barulah terserlah kehebatan kita. Walau bagaimanapun Pak Lah bukan seorang yang zalim," jelas Dr Asri mengakhiri perbualan.
0 comments:
Post a Comment