+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, July 4, 2008

Bala tarik balik akuan bersumpah, guna peguam baru

Mstar Online

04-07-2008 01:41:09 PM
Oleh G. MANIMARAN, SA'ODAH ELIAS dan ARIFFUDDIN ISHAK

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang semalam menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam akuan bersumpahnya bertarikh 1 Julai, hari ini menarik balik tuduhan itu.

Semua tuduhan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak tepat dan tidak benar, kata Balasubramaniam menerusi peguam barunya M. Arulampalam pada sidang akhbar di sini.

Difahamkan peguam Americk Sidhu, yang bersamanya semalam, juga tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Dengan ini, saya menarik balik seluruh isi kandungan dalam akuan bersumpah saya yang bertarikh 1 Julai 2008. Saya membuat akuan bersumpah itu dalam keadaan tertekan," katanya dalam akuan bersumpahnya yang baru bertarikh hari ini.

Akuan bersumpah yang baru itu menyatakan:

"Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah pada bilabila masa (Abdul) Razak (Abdullah) Baginda memberitahu saya yang beliau diperkenalkan kepada Altantuya Shaaribu oleh seorang VIP dan pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya Shaaribu dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii.

"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib mengarahkan Razak Baginda untuk menjaga Altantuya Shaaribu kerana beliau tidak mahu dia (Altantuya) menganggunya kerana beliau ialah Timbalan Perdana Menteri.

Beliau telah mengadakan satu sidang media di Kuala Lumpur pagi ini untuk menarik balik akuan bersumpahnya itu.

Semalam bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di pejabat PKR, Balasubramaniam telah mendedahkan mengenai hubungan langsung Timbalan Perdana Menteri bersama wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh pada Oktober 2006.

"Tidak pernah pada bilabila masa Razak Baginda dan atau Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak, bersamasama dengan Razak Baginda dan Altantuya Shaaribu telah berjumpa dan bersamasama makan malam di Paris;

"Tidak pernah pada bilabila masa Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau meminta wang sebanyak US$500,000 sebagai komisen bagi bantuannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris;

"Tidak pernah pada bila-bila masa pun Razak Baginda dan/atau Altantuya Shaaribu memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dengan Altantuya Shaaribu di Singapura;

"Tidak pernah pada bila-bila masa pun Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau mahu saya mengaturkan untuk beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak;

"Tidak pernah pada bilabila masa saya ada memberitahu polis semasa penyiasatan mereka mengenai sebarang perhubungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Altantuya Shaaribu kerana perhubungan itu tidak pernah wujud, pada pengetahuan saya.

Oleh yang demikian, kenyataan yang saya tandatangani di hadapan polis sudah selesai;

"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang beliau telah menghantar SMS kepada Datuk Seri Najib pada malam beliau ditahan; dan

"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar SMS kepadanya pada hari beliau ditahan yang menyatakan beliau (Najib) akan berjumpa dengan KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) pada hari berkenaan dan masalah itu akan diselesaikan dan meminta Razak Baginda supaya terus tenang.

Semalam Najib sekali lagi menegaskan yang beliau tidak pernah mengenali Altantuya dan menyifatkan tuduhan mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh itu sebagai "pembohongan dahsyat".

Najib menegaskan cubaan terbaru itu untuk mengaitkan beliau dengan jenayah h itu adalah "rekaan sematamata, berniat jahat dan berunsur fitnah untuk mencemarkan imejnya." BERNAMA

BERITA TERDAHULU

Anwar dedah bukti baru kes Altantuya, Najib nafi temui wanita Mongolia

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Pada sidang akhbar hari ini - yang ketiga selepas dakwaan meliwat yang terbaru didedahkan Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, polis telah menggugurkan maklumat penting tentang hubungan antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang pernah diberikan oleh bekas penyiasat peribadi Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam dua tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam reaksi balas kira-kira lapan jam selepas pendedahan Anwar itu, Najib yang ditemui di bangunan Parlimen lewat petang ini, sekali lagi menafikan yang beliau mengenali Altantuya.

Sebaliknya Najib menegaskan, beliau tidak pernah menemui wanita Mongolia itu.

Najib juga berkata, akaun bersumpah yang dikeluarkan Balasubramaniam bertujuan mengalih tumpuan daripada dakwaan meliwat yang dihadapi oleh Anwar sekarang.


Maklumat itu dinyatakan dalam akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 yang dibuat oleh Balasubramaniam.


ANWAR Ibrahim bercakap pada sidang media yang ketiga selepas dakwaan meliwat melibatkan beliau dilaporkan Sabtu lalu. Sidang media hari ini diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Petaling Jaya.

Balasubramaniam (gambar) merupakan salah seorang saksi kes pembunuhan Altantuya yang kini telah masuk peringkat penghujahan pendakwaan.

Ia merupakan akuan bersumpah kedua melibatkan nama Timbalan Perdana Menteri dan keluarganya dikeluarkan.

Dua minggu lalu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan akuan bersumpah yang mengaitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.

Najib telah pun menyifatkan ia sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau.

Ketika mengumumkan kandungan akuan bersumpah Balasubramaniam di sini pagi ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Balasubramaniam pernah memberikan maklumat berkenaan kepada polis, tetapi ia tidak dibawa ke mahkamah semasa perbicaraan.

"Hari ini kita menyaksikan satu lagi episod petang yang konsisten mengenai penyalahgunaan kuasa dan manipulasi sistem kehakiman jenayah," kata beliau pada sidang akhbar di sini sambil menambah, "perkara ini adalah kaedah yang sama iaitu memanipulasi maklumat dan tidak direkodkan seperti yang berlaku dalam kes saya tahun 1998."

Balasubramaniam dan peguamnya, Americk Singh Sindhu juga hadir pada sidang media itu.

Anwar mengadakan sidang akhbar pertama selepas berhadapan dengan isu dakwaan meliwat pada Isnin lalu sejurus ketika keluar dari berlindung di rumah Duta Turki di Kuala Lumpur.

Sidang akhbar susulan diadakan kelmarin selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Sabtu lalu pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Khidmat Balasubramaniam telah digunakan oleh Razak Baginda untuk menangani dakwaan gangguan berterusan daripada Altantuya.

Kata Anwar, "hari ini beliau mengeluarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 kepada umum dengan memperincikan cerita yang beliau mengetengahkan dan apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang diperkatakan oleh beberapa personaliti dalam saga ini termasuk Abdul Razak Baginda dan Altantuya."

Antara lain akuan bersumpah itu menyebut bahawa Altantuya telah diperkenalkan kepada Razak Baginda, yang ketika itu Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Strategik Malaysia (MRSC), oleh Najib pada pameran berlian di Singapura dan ketiga-tiga mereka pernah ditemui semasa makan malam di Paris.

Selain itu, Altantuya juga telah dijanjikan komisyen AS$500,000 atas khidmat sokongannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris.

Kata Anwar lagi, kenyataan Balasubramaniam juga mendedahkan tahap hubungan antara Altantuya dan Najib yang beliau pernah menafikan sebelum ini.

"Bukti Balasubramaniam ini mendedahkan apa yang kami perkatakan sekian lama; tiada penyiasatan teratur berhubung kes Altantuya," katanya lagi.

Kata Anwar, dakwaan-dakwaan itu memerlukan penubuhan sebuah surahanjaya diraja untuk menjalankan siasatan.

Setakat ini kes pembunuhan Altantuya telah berlangsung selama 124 hari.

Mulai 23 Julai ini, mahkamah akan mendengar lima hujahan dalam perbicaraan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup prosiding pada peringkat kes pendakwaan yang masuk hari ke-124 pada 23 Jun lalu.

Dalam akuan bersumpah setebal 16 muka surat itu, Balasubramaniam meminta pihak berkuasa membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya.

Kata Balasubramaniam, terdapat kemungkinan yang kuat ada tiga lagi individu memainkan peranan penting selain tiga tertuduh yang sedang menghadapi kes tersebut.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |