Hari Kelapan (Sabtu): Malam ulama berkempen, makin rancak
(Dikemas kini) KETIKA tinggal lagi dua hari untuk berkempen kawasan Permatang Pauh semakin seri dengan perang poster dan kain rentang. Nampaknya, kesemua tiga parti telah selesai menaikkan poster, kain rentang dan papan iklan yang bersaiz kecil dan besar. Bilangan poster, kain rentang dan papan iklan meningkat pagi ini berbanding semalam. Ketiga-tiga parti juga menggunakan sebahagian kecil bahan-bahan berkempen yang lama, yang digunakan semasa pilihan raya umum Mac lalu. Sudah tentu bilangan poster dan kain rentang Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) jauh lebih kecil jumlahnya berbanding BN dan PKR. Salah satu kain rentang AKIM berbunyi "Kepada Pengamal-pengamal Kebenaran dan Keadilan, Undilah AKIM". Jika kita selalu melihat iklan raksasa syarikat telekomunikasi "Ini Wilayah"CELCOM", di sini juga dapat dilihat kain rentang dan papan iklan seumpama itu. PKR menggunakannya. Kain rentang itu tertera "Ini Wilayah Anwar" dan "Anda Kini Berada Di Kubu Kuat PR'". Apa pun malam ini menjadi tumpuan ramai dengan kehadiran pemimpin-pemimpin besar negara. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pun turun gelanggang sejak 4 petang tadi. Di pihak Pakatan Rakyat juga difahamkan akan ada kehadiran pemimpinan kanan. Ketika berbual-bual dengan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sementara menanti sidang media bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat, kita akan membawa ualam-ulama memberikan ceramah pada hari-hari terakhir menjelang hari pengundian. Mereka yang dimaksukan ialah Ustaz Hashim Yahaya, Datuk Haron Din dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. "Kalau mereka bawa ulama, kita boleh bawa ulama," katanya. Pakatan Rakyat juga menganjurkan majlis Malam Munajat Ummar 2008 selama tiga malam bermula malam tadi. Bercakap mengenai cuaca, keadaan nampak tenang selepas 'ribut' ceramah dan kempen sepanjang malam tadi. Ketika Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin terus mencabar Anwar supaya bersumpah menjelang hari pengundian dalam isu meliwat, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat sumpah di Masjid Permatang Pauh bahawa beliau tidak kenal wanita Mongolia yang mati dibunuh dua tahun lalu. Yang lebih menarik Konsul Mongolia Datuk Abdul Rahman pun hadir berkempen untuk BN. Ceramah beliau menyokong BN. Dua bekas orang kuat Anwar, Datuk Nalla dan Ezam Mohamad Nor juga hadir memberikan ceramah. Sementara Nalla cuba mengupas rahsia-rahsia Anwar, yang nampak agak 'panas', Ezam pula berucap dalam suara mirip Anwar. Nampaknya 'Anwar'diklonkan berada di pentas Bilik Gerakan Pemuda Umno dan BN di Permatang Pasir. DUN Permatang Pasir dikuasai wakil PAS. Lagi bercakap mengenai Anwar dan klon, secara kebetulan ketika Khiary berucap konvoi Anwar melalui jalan berhampiran pentas Umno dan BN. Anwar sempat melambai ke arah Khairy. Khairy sambut dengan mengatakan "saya mencabar untuk berdebat di sini (pentas Umno dan BN) sekarang." Kata Khairy dia rasa jelik dengan lambaian Anwar itu. Orang ramai masih ingat kehadiran Khairy di rumah Anwar empat tahun lalu untuk membawa pasport membolehkan Anwar ke luar negara. Menjelang pukul 6 petang ini, jalan-jalan bahagian Permatang Pauh sudah mula dibanjiri kenderaan. Pemerhatian kasar menunjukkan bilangan kereta pada sebelah petang meningkat pada jumlah yang agak banyak. Pertama kerana hujung minggu di mana ramai balik ke Permatang Pauh dan yang kedua, kehadiran orang luar untuk sama-sama berkempen dan mendengar ceramah ahli-ahli politik. Apa yang pasti Permatang Pauh akan rancak dengan isu dan tumpuan ceramah malam ini... kita jumpa balik dengan perkembangan malam ini....
Hari Ketujuh (Jumaat): Perang risalah, Anwar dan Arif bersemuka
(Dikemas kini) SELEPAS lebih seminggu berkempen dua calon 'gergasi' - Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Arif Shah Omar Shah bertemu pada majlis bersolat petang ini. Kali terakhir mereka bersemuka ialah ketika hari penamaan calon Sabtu lalu. Hari ini kedua-dua calon ini bertemu dan bersalaman di Masjid Jamek Seberang Jaya.Semalam Anwar berada di Seberang Jaya untuk berkempen. Sudah pasti mereka akan bertemu semula Selasa ini - kemungkinan di pusat penjumlahan undi. Anwar ketika menjadi Ketua Bahagian Permatang Pauh, Arif Shah merupakan Ketua Pemuda. Kemungkinan kedua-dua turut mengenang suasana ketika berada dalam satu parti yang sama - Umno dan BN, sedekad yang lalu. Sebelah pagi Permatang Pauh juga dilanda hujan lebat. Kemungkinan hujan lebih dua jam ini akan menyebabkan banjit kilat dan air bertakung. Tetapi hujan yang berhenti seketika berterusan sehingga pukul 8 malam. Ketika sedang minum di Starbucks, beberapa penduduk tempatan ditemui berkata pihaknya juga agak 'terkejut' dengan hujan lebat. Kata penduduk Seberang Jaya ini, sejak sebulan lama sebelum hari penamaan calon, kawasan ini berhadapan dengan cuaca panas. Tiba-tiba hujan lebat sejak Sabtu lalu, sehari selepas Saiful melakukan sumpah, kata mereka. "Kami pun hairan, ibu saya berkata sejak sebulan tiada hujan," kata salah seorang penduduk berkenaan. Dalam hujan ini, ketika bilangan 'penduduk' Permatang Pauh meningkat lebih 30,000 orang, sudah pasti permintaan payung juga meningkat. Bilangan payung yang disediakan oleh parti-parti politik - BN dan PKR - juga tidak cukup. Semua sudah disapu oleh mereka yang keluar untuk meraih undi. Pada sidang media harian PKR, pemimpin-pemimpin kanan parti itu menunjukkan risalah-risalah yang dikumpul dari parti pesaing BN. BN juga menunjukkan risalah pihak PKR. Ini lumrah dalam kempen ketika pilihan raya. Sudah tentu risalah yang menarik ialah 'Kabinet' Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang diedarkan dalam pelbagai versi ikut kaum dan komposisi penduduk di bahagian Permatang Pauh. Di sebalik media ini, puteri reformasi PKR juga muncul. Apabila ditanya bagaimana dengan kempen beliau untuk ayahnya, Nurul Izzah berkata, penat juga lebih-lebih kali ini bersama anaknya yang masih kecil. Ketika pilihan raya kecil Ijok awal tahun lalu beliau mengandung, dan kini pilihan raya kecil bersama anak kecilnya. Apabila ditanya sama ada anak akan menjejaki langkah beliau menyertai politik satu hari nanti, katanya, "oh, tidak cukup dengan sekarang." Bagaimanapun kata Nurul Izzah beliau akan menyerahkan kepada anaknya membuat keputusan. mStar Online berpeluang untuk menemu bual ringkas Nurul Izzah tadi dan akan disiarkan nanti. Seperti Nurul Izzah dan adiknya, anak-anak Arif Shah juga membantu beliau berkempen kali ini. Anwar mengadakan pertemuan makan tengah hari dengan Menteri Besar Kedah, Perak dan Selangor serta Ketua Menteri Pulau Pinang. Menteri Besar Kedah dan Menteri Besar Perak tidak hadir. Naib Presiden PKR, Azmin Ali memaklumkan Menteri Besar Perak tidak hadir disebabkan membantu siasatan isu rasuah. Di samping risalah, buku-buku politik juga laku. Siri buku politik dikeluarkan. Yang baru didapati hari ini ialah buku tulisan Yahaya Ismail berjudul Anwar Menggugat: Pak Lah, Najib Terjerat. Harganya RM10 senaskhah. Nampaknya, perkembangan pilihan raya kecil ini juga menarik perhatian pelajar Universiti Brunei Darussalam. Dua pelajar ini mengikuti pengajian sosiologi dan dasar awam, berkongsi pengalaman tentang perjalanan pilihan raya Permatang Pauh. Mereka saja-saja berkhemah di sini untuk mengetahui perkembangan perjalanan pilihan raya. Seronok mereka mengetahui ada pilihan raya di negara ini. Hari Keenam (Khamis): Antara nombor pilihan, kerja keras ubah majoriti
(Dikemas kini) DATUK Arif Shah Omar Shah merupakan calon yang fasih berbahasa Mandarin. Gayanya berpeluang menarik pengundi, secara psikologi dan dari sudut komunikasi. Apabila ditanya mengenai hari pengundian, Arif Shah berkata, beliau akan berada di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya menjelang pukul 8 pagi pada 26 Ogos 2008 (26 bersamaan dengan lapan, bulan kelapan, dan tahun 2008). Jika diatur, ia akan membawa 8/8/8 atau tiga kali lapan, membawa angka bertuah bagi Arif Shah. Kata Arif Shah, tiga kali lapan bermakna menuju ke arah kemuncak atau kejayaan. Beliau nampaknya hendak mencapai kejayaan dengan melihat kelebihan susunan angka 888. Semalam dunia melalui 20 Ogos 2008 [20 (haribulan, 8 (bulan kelapan) dan 2008 (tahun dua ribu lapan)]. Arif menduduki tempat ketiga susunan calon yang tertera dalam kertas undi. Arif berpendapat angka tiga ini petanda menuju kejayaan atau ke puncak. Kata Arif Shah, beliau bukan percaya pada nasib dan kelebihan susunan angka, tetapi ia sekadar menarik untuk diperhatikan. Hari ini lima puluh peratus tempoh kempen pilihan raya kecil sudah pun berakhir. Tinggal lagi kurang daripada lima hari warga Permatang Pauh akan melangkah semula ke pusat-pusat pengundian - mengenang pengalaman 8 Mac lalu. Sebagaimana disebutkan pagi tadi, calon-calon gergasi - Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Arif Shah Omar Shah optimistik dan yakin akan menang. Seorang lagi calon, Hanafi Mamat ataupun Haji Pi, yang mewakili Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) juga yakin akan mencapai kemenangan 'bersejarah' di Permatang Pauh. Anwar, sebagaimana dikatakan semalam, tidak mahu menyatakan angka ataupun peratusan peluang untuk menang. Tapi wajahnya nampak beliau yakin akan kembali sebagai wakil rakyat Permatang Pauh yang ditinggalkan 10 tahun lalu. Begitu juga Arif Shah yang tidak mahu rombongan iringan besar untuk meraih undi setiap kali keluar rumah dan pusat operasinya. Haji Pi pula berkeyakinan akan memperoleh 40 peratus undi manakala Anwar dan Arif Shah masing-masing 30 peratus. Kalau Anwar sering guna moto "Lawan Tetap Lawan", Haji Pi menggunakan "Yakin Tetap Yakin". Haji Pi memang dalam rancangan harian hari ini untuk ditemui. Secara kebetulan Haji Pi ditemui ketika dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke Seberang Jaya - untuk menghasilkan berita - bersama perasaan agak kecewa dan sedih selepas gagal memperoleh sepucuk surat pengesahan daripada Jabatan Penerangan untuk mendapatkan pas masuk ke tempat penjumlahan undi Selasa depan. Surat faks daripada ibu pejabat Kuala Lumpur dan kad media lama (hanya kerana tertera nama organisasi lama penulis bekerja) tidak cukup kelayakan untuk mendapatkan surat pengesahan Jabatan Penerangan. Jika tiada pengakuan agensi itu Suruhanjaya Pilihan Raya tidak akan mengeluarkan kad khas. Nasib malang! Lagi penat dengan panas terik sehingga petang ini. Tak mengapa ini perkara kecil yang mungkin dan harap-harap boleh diatasi dan Jabatan Penerangan akan bermurah hati untuk memberi surat pengesahan. Ini semua cabaran. Diharap syarat ini boleh dilonggarkan pada masa depan! Hikmah di sebalik itu dan sesat jalan di Bukit Mertajam, membawa ke khemah Haji Pi. Haji Pi. Haji Pi juga memperlihatkan kesederhaan dalam menguruskan kempen pilihan raya. Dengan pekerjanya kira-kira 100 orang sahaja beliau berharap untuk menang pada Selasa ini. Satu lagi aspek yang menarik ialah penyebaran senarai anggota 'Kabinet' Anwar, yang sememangnya bercita-cita untuk ke Parlimen dan kemudian ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri. Semua pihak menafikan bertanggungjawab ke atas penyebaran risalah poster tersebut. Ia ditemui di banyak tempat sejak kelmarin di Permatang Pauh. Dan, hari ini ia nampaknya berterbangan ke bangunan Parlimen di ibu negara. Kempen nampaknya mencakupi Kuala Lumpur sekali. Pakatan Rakyat mengedarkan buku kecil bertajuk "Minyak: Ke Mana Wang Dilarikan?" Ia ditulis oleh Husam Musa dan Syed Azidi Aziz. Setebal 76 halaman, diedarkan sebagai kempen. Penerbitannya bertarikh 5 Julai, bermakna telah dikeluarkan lebih awal sebelum pilihan raya kecil Permatang Pauh. Beg pula sudah mula penuh dengan risalah, edaran, kad pos dan lain-lain. Semakin hari semakin banyak bahan terbitan rasmi dan tidak rasmi dikeluarkan. Masing-masing cuba menghentam dan mengkritik calon lain. Salah satunya menerangkan pasal sumpah - ia dikaitkan dengan tindakan Saiful bersumpah minggu lepas. Difahamkan dalam beberapa hari ini akan ada beberapa keputusan penyokong parti keluar parti. Malam ini dijangkakan penyokong PKR akan keluar menyertai Umno manakala hujung minggu ini sekumpulan ahli Umno Bahagian Rembau akan menyertai PKR. Di sebalik ini, laporan Bernama menyebut, sehingga hari ini polis menganggarkan kira-kira 30,000 penyokong dari luar kawasan itu sudah berada di Permatang Pauh. Sudah tentu jumlah ini akan bertambah menjelang hujung minggu. Kehadiran mereka mudah dirasai penduduk tempatan apabila kumpulan-kumpulan penyokong membanjiri restoran nasi kandar dan warung-warung makan di sekitar Permatang Pauh terutama di bandar Seberang Jaya. Pun begitu, Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil itu, Supt. Shaharon Anuar Abdul Latif memberitahu bahawa polis memandang serius perkara ini kerana dikhuatiri menimbulkan suasana tegang antara penyokong kedua-dua parti. Malam ini juga Arif Shah dan Anwar dijadual menghadiri majlis makan malam disertai pelbagai kaum khususnya India dan Cina - sebahagian daripada penentu kemenangan calon yang bertanding. Malam tadi Anwar menyampaikan ceramah perdana, yang berakhir selepas pukul 12 tengah lama di kawasan penyokong PAS. Nama tempatnya Kg. Pertama, kebanyakannya terdiri daripada ahli-ahli PAS. Ingat di Jalan Permatang Nibong. Kadang-kadang nak cari tempat pun susah. Tapi di Permatang Pauh, usaha mencari lokasi lebih mudah pada waktu malam daripada siang. Ini kerana akan ada jurupandu yang memberikan isyarat tempat berkempen. Kedua ramai orang berkumpul. Dan ketiga kawasan berkempen khususnya yang libatkan Pakatan Rakyat ini macam pasar malam. Ada banyak gerai yang jual macam-macam benda. Nak cari makan pun senang, nak cari bahan kempen OK! Daripada makanan hinggalah bahan ceramah lepas-lepas, semuanya ada. Jadi, kita sebagai pemberita tidak akan tercicir daripada sampai ke lokasi. Saya banyak kali sesat waktu siang banding waktu malam. Di situ, Anwar berucap malam tadi sentuh banyak hal yang bersifat nasional, yang telah disentuh di lokasi-lokasi lain. Tetapi masih menekankan berpeluang ke Putrajaya. Penceramah jemputan majlis itu sebelum Anwar berucap Pakatan Rakyat sudah ada 50 kerusi "wakil rakyat BN" yang akan menyertai pembangkang untuk membentuk kerajaan. Padang umum yang bersaiz sederhana itu dibanjiri peminat, penyokong dan orang sekitar. Masih tertanya-tanya bagaimana hendak terjemahkan jumlah yang hadir dalam bentukn sokongan. Masih terlalu awal? Beberapa penyokong yang ditemui berkata mereka yakin Anwar akan mendapat majoriti lebih besar kali ini berbanding 13,000. Kata mereka, mereka mahu majoriti lebih besar untuk menjadikan Anwar pemimpin baru. Sebelum Anwar berucap di sana, beliau menyampaikan ucapan di Seberang Jaya - lokasinya kira-kira 200 meter dari Gelenggang Bola Keranjang - tempat di mana wira badminton negara, Lee Chong Wei diraikan dan menerima cek ganjaran RM300,000 daripada Timbalan Perdana Menteri. Chong Wei sekali lagi mendapat perhatian dan tumpuan ramai, sehingga ada yang beranggapan sama da Chong Wei ataupun Arif Shah yang bertanding. Arif Shah yang fasih dalam bahasa Mandarin menggunakan ruang itu untuk berkempen dengan ditemani beberapa menteri Kabinet lain. Nampak gaya Permatang Pauh semakin ramai pengunjung luar. Tapi harga makanan masih terkawal. Kopi dihidangkan dalam cawan "China" masih 50 sen. Malam ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang berada hampir setiap malam tidak hadir. Sebaliknya calon BN diberikan semangat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beberapa pemimpin Sabah juga hadir sambil memberi laungan bahawa mereka akan kekal bersama BN, tidak sama sekali melompat ke Pakatan Rakyat. Hari Kelima (Rabu): Kempen fasa kedua, personaliti bertambah (Dikemas kini) SELEPAS Ezam Mohamad Nor yang disebut-sebut sebagai berpotensi bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, satu lagi personaliti yang mendapat perhatian ialah Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Kedua-dua nama ini menjadi bahan sebutan dan popular dalam arena politik negara ini. Walaupun Saiful tidak terlibat secara langsung dalam kempen pilihan raya kecil tetapi dia digunakan dan terlibat bersama dalam kempen pilihan raya secara bersama. Nama Saiful menjadi sebutan hampir setiap hari sehingga kini - kempen masuk hari kelima. Hari ini satu lagi nama baru muncul iaitu pemain badminton nombor satu negara - Lee Chong Wei yang baru-baru ini mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik Beijing. Pukul 5.30 petang tadi, Chong Wei, yang nampak pemalu menemui penduduk kampung halamannya. Dia ditemukan dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Wira Malaysia Saudara Lee Chong Wei. Dia yang dilahirkan di Parit Buntar, Perak menetap di Bukit Mertajam. Malah pada satu ketika dia akan terkejut apabila dikerumuni kumpulan peminat yang terlalu besar, yang berpusu-pusu untuk mendapatkan autograf dan bergambar bersama. Acara yang turut menarik perhatian ramai ialah majlis penyerahan cek ganjaran kemenangan kepada pemain badminton Lee Chong Wei di Gelanggang Bola Keranjang, Jalan Tenggiri, Seberang Jaya. Kenangan manis Olimpik Beijing diikatkan dengan kempen politik pilihan raya. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pagi ini mengumumkan pemain badminton ini akan dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran Datuk, pada 30 Ogos ini. Rata-rata calon-calon yang bertanding menggunakan keadaan cuaca yang baik, walaupun panas terik, pada sebelah pagi dengan sebaik yang mungkin untuk mendekati penduduk tempatan. Sejak pukul 2.30 petang tadi keadaan agak mendung, menanti hujan turun di Permatang Pauh. Aspek yang perlu ditekankan hari ini, memandangkan kempen masuk hari kelima hari ini, momentum kempen juga sudah mula dirasai. Bolehkan dikatakan bahawa calon-calon yang bertanding memasuki peringkat atau fasa kedua kempen. Selepas menemui pengundi di Pekan Penanti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan bekas Exco Pulau Pinang, Dr. Toh Kim Woon yang keluar Gerakan kelmarin. Pertemuan diadakan di Pusat Operasi PKR Permatang Pauh. Turut hadir ialah Dr. Tan Yee Kew, bekas Ahli Parlimen Klang, Selangor dan Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MCA. Toh berkata, beliau tidak mengkhianati Gerakan tetapi menyokong agenda yang dibawa oleh Anwar. Anwar menawarkan Toh jawatan penasihat tetapi beliau dengan rendah diri "menolak tawaran itu." "Minta maaf Datuk Seri," kata Toh. Anwar membalas dengan berkata, beliau menghormati prinsip dan pendirian itu dan tidak perlu ada formaliti dalam bertindak sebagai penasihat serta mahu berkhidmat dalam memberikan khidmat nasihat. Sehingga kini pemimpin tertinggi PAS kecuali Datuk Nik Aziz Nik Mat belum kelihatan dalam membentu kempen Anwar. Anwar ketika ditanya mengenainya memaklumkan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berada di Permatang Pauh Jumaat ini. Arif Shah masih berkempen secara sederhana dari satu kawasan ke kawasan lain. Bilangan mereka yang mengiringi beliau tidak banyak - kebanyakannya ahli keluarga berbanding kumpulan Pakatan Rakyat. Arif Shah tidak menggunakan jadual program rasmi sebaliknya hadir bersama dalam program-program rasmi pemimpin peringkat persekutuan. Dalam ucapan kempennya Arif Shah tidak mengkritik peribadi calon lain, dan para malah penyokong Anwar sendiri menghormati dan menganggap Arif Shah sebagai pemimpin mesra dan disenangi rakyat. Di sebalik kempen oleh dua calon 'gergasi' - Anwar dan Datuk Arif Shah Omar Shah, wartawan masih menanti kempen calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat. Calom AKIM ini telah memulakan kempennya secara rasmi petang ini. Hanafi dan beberapa pembantunya petang tadi giat memasang kain rentang dan mengedarkan posternya kepada orang ramai di kawasan Bukit Tengah. Hanafi, Presiden AKIM, kumpulan serpihan PAS, memperjuangkan slogan Perpaduan Kesejahteraan Ummah. Malam ini Anwar akan mengadakan tiga ceramah termasuk dua ceramah umum di Pasti Kubang Ulu, Penanti; Kampung Samagagah, Permatang Pasir dan Markas Kampung Pertama, Jalan Permatang Nibong, Seberang Jaya.
Hari Keempat (Selasa): Cuaca panas, kempen mula hangat (Dikemasi kini) BERBANDING sepanjang hari semalam, cuaca di Pulau Pinang pagi ini agak 'mesra' bagi membolehkan parti-parti politik berkempen dengan lancar. Cuaca hari sama seperti suasana yang dirasai pada hari penamaan calon - panas terik disusuli dengan hujan selepas tengah hari ini. Setengah tengah hari tadi tiada hujan. Kedua-dua calon utama memulakan kempen mereka sejak pukul 9 pagi tadi. Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan kempennya di Pusat Perniagaan Taman Ciku, Permatang Pasir. Selepas berada di kawasan itu kira-kira sejam lebih, beliau menuju ke Seberang Jaya untuk melancarkan tema kempennya "Merdeka" di kawasan deretan bangunan kedai, berhadapan dengan pusat membeli-belah Sunway Carnival Mall kira-kira pukul 11 pagi. Menurut jurucakap PKR, tema itu sepatutnya dilancarkan hujung minggu lalu tetapi ditangguhkan sehingga ke pagi ini. Langkah ini dipercayai bagi memfokuskan kempen pilihan raya Anwar selepas ini dan mengelak fokus keterlaluan ke atas isu bersumpah Saiful. Nampak gaya sidang media juga terpaksa diadakan di kawasan terbuka dengan panas terik - apa lagi jam menunjukkan pukul 12.15 tengah hari. Lazimnya taklimat media diadakan di Pusat Operasi Utamanya setiap 11 pagi. Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan tetap bersenyum sambil menggunakan kipas tangan untuk 'mencari kesejukan' - bukan sahaja bagi dirinya, malah untuk suaminya dan wartawan yang berada dekat dengan meja sidang media. Apa pun di sebalik majlis yang diadakan di kawasan terbuka, dalam juga mengharungi panas terik, para pengunjung tetap tertarik dengan tiga buah kenderaan pacuan empat roda, yang dilekatkan dengan pelbagai poster dan wajah-wajah pemimpin dunia bagi menampakkan bahawa Anwar merupakan seorang pemimpin global dan hubungannya dengan pemimpin dunia. Ia mungkin menarik perhatian kerana semalam Gus Dur, bekas Presiden Indonesia berada di Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan moral kepada Anwar, rakan lamanya. Menurut pegawai jentera pilihan raya, hari ini jumlah acara bagi Anwar dikurangkan sedikit. Biasanya beliau menghadiri 10 hingga 15 acara sehari sebagaimana diminta oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat. Selepas majlis pelancaran Anwar ke Pusat Operasi Utamanya untuk menguruskan perkara-perkara lain sebelum meneruskan kempen pukul 5 petang. Dalam pada itu, Datuk Arif Shah Omar Shah pula memulakan kempennya di Bandar Perda. Beliau juga mengunjungi upacara pengebumian di Kg. Petani dan disusuli kunjungan ke Sg. Lembu, kawasan yang majoritinya masyarakat Cina. Kg. Petani di Permatang Pasir dilawati oleh Anwar semalam. Ia merupakan kubu PAS. Kemungkinan pendekatan yang berupa begitu, Arif Shah masih belum menonjol dalam kempennya tetapi tetapi mesra dengan ditemani ahli-ahli keluarganya. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berada di sini malam ini untuk meneruskan kempen hari keempat dengan mengunjungi empat tempat malam ini - satu menemui masyarakat Cina di Kg. Sungai Lembu - ia sebuah kampung baru yang ditubuhkan lima dekad yang lalu. Walaupun beliau tiba lewa sejam, penduduk tetap menunggu beliau sehingga 10.10 malam. Lawatan beliau menyusul ke Bilik Gerakan BN Tanah Liat, Permatang Pasir dan kemudian ke Majlis Ramah Mesra Seni Bela Diri Negara (Masil) di Permatang Janggus. Najib tetap mengakui bahawa jumlah kehadiran tidak seharusnya menjadi pengukur kekuatan dan sokongan undi pada Selasa ini. Ketika tiba di Permatang Janggus, kereta beliau berselisih dengan kenderaan dinaiki Anwar yang turut berceramah selang 100 meter dari lokasi majlis Masil. Nampak gaya, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri semasa 'bertemu' tanpa bersemuka. Pekerja-pekerja PAS yang mula menurun ke Permatang Pauh semalam - sehari selepas berakhirnya Muktamar PAS di Ipoh, menggerakkan jentera mereka. Kenderaan bergerak dengan fungsi hebahan maklumat mula kelihatan di jalan-jalan raya di kawasan Seberang Jaya. Bagaimanapun hari ini wartawan mengharapkan kemunculan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat di Permatang Pauh untuk mendengar ceramah kempen beliau. Beliau yang dihubungi memaklumkan bahawa akan berada di sini malam ini. Difahamkan kempen agresif akan bermula hari ini dengan poster-poster peribadi kedua-dua calon akan dinaikkan hari ini. Di beberapa kawasan poster peribadi sudah dinaikkan malam tadi. Kemungkinan kempen agresif boleh dijangkakan bermula hari dan kempen akan disuntik kerancakan.
Hari Ketiga (Isnin): Kempen pagi terjejas kerana hujan SUASANA siang hari masih tidak rancak dan agresif yang diharapkan. Keadaan diburukkan lagi dengan hujan yang turun sejak awal pagi. Bagaimanapun seperti semalam dua calon 'utama' telah memulakan kempen sejak awal pagi. Wartawan yang membuat liputan pilihan raya kecil masih menunggu kemunculan calon AKIM, Hanafi Mamat yang menyatakan bahawa beliau akan berada di Permatang Pauh esok.
Kempen hari ketiga Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula pukul 9 pagi dengan lawatan ke pusat Perniagaan Ruby, Bandar Seberang Jaya. Ketikan ini hujan melanda seluruh Pulau Pinang, menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan banjir kilat. Antara kawasan dilanda banjir kilat ialah Permatang Rawa - lokasi ceramah bekas Angkatan Muda PKR, Ezam Mohamad Nor malam tadi.
Hujan berterusan sehingga petang.
Calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah yang turut memulakan kempen hariannya awal pagi ini mengharungi banjir untuk meninjau keadaan banjir.
Jentera pilihan raya BN menggerakkan strategi kempen dari rumah ke rumah bermula pagi. Mesyuarat dan pertemuan formal dan tidak formal diadakan di kebanyakan pusat operasi.
Kumpulan yang dipilih terlibat dalam kempen rumah ke rumah, khususnya kaum ibu, menghabiskan masa kira-kira lapan jam sehari - pagi dan petang untuk menemui pengundi dan meraih sokongan. Rata-rata peraih-peraih undi Umno yang ditemui berkongsi maklumat bahawa sudah mula terdapat perkembangan positif di kalangan pengundi Melayu kali ini. Menurut peraih-peraih ini, pemilih yang dikunjungi menunjukkan sikap mesra berbanding lima bulan lalu ketika pilihan raya umum Mac lalu.
PKR meneruskan tradisi taklimat harian pukul 10.30 pagi, antara lain menyentuh soal kempen agresif yang dikatakan dilakukan oleh PKR. PKR menafikannya dan PKR mengumumkan ia akan melancarkan tema kempen pilihan raya Anwar - Merdeka pagi esok.
Ceramah Anwar berlaruan hingga tengah malam. Malah ini bekas Timbalan Perdana Menteri ini berceramah di Markas PAS Kampung Petani, Permatang Pasir; kawasan lapang Taman Ciku dan ceramah perdana di Rumah Cikgu Ibrahim Ahmad, Jalan Berapit.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak kembali ke Permatang Pauh dari Kuala Lumpur pukul 4 petang ini dan turut menghabiskan masa melawat bilik-bilik gerakan parti komponen BN. bahagian pulau hujan lebat tetapi tidak di kawasan Permatang Pauh. Cuaca yang terang dan tenang diingat akan berterusan untuk memudahkan pergerakan mencari berita. Tetapi sangkaan agak meleset. |