+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 10, 2008

Kes bunuh Altantuya: Razak berniat bunuh wanita Mongolia

Berita Harian

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my

Mangsa tinggal nota ugutan

SHAH ALAM: Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda memang berniat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, selepas dia beberapa kali diugut, diperas dan diganggu mangsa, Mahkamah Tinggi diberitahu, semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, Altantuya datang sendirian ke negara ini pada Ogos 2006 dan tiada sebarang ugutan atau gangguan oleh mangsa apabila beliau pertama kali berkunjung ke pejabat Abdul Razak di sini.

Katanya, bagaimanapun situasi berubah ketika Altantuya datang bersama rakannya pada Oktober 2006 dan meninggalkan nota ugutan kepada Abdul Razak di pejabatnya, selain ke rumah tertuduh.

Beliau berkata, keterangan setiausaha Abdul Razak, Siti Aisyah Mohd Azlan menyatakan Altantuya hanya datang sekali ke pejabat tertuduh pada Ogos 2006, untuk berjumpa majikannya dan datang semula beberapa kali pada Oktober 2006, tetapi tertuduh mengelak bertemu dengannya.

"Siti Aisyah menjelaskan Altantuya meninggalkan nota pesanan kepada Abdul Razak dan datang semula keesokan hari bersama dua rakannya serta menyelitkan satu sampul surat di bawah pintu. Mangsa juga datang semula secara bersendirian beberapa hari selepas itu untuk menyerahkan sepucuk surat kepada Siti Aisyah.

"Mengapa Abdul Razak tidak menunggu saja Altantuya dan rakannya meninggalkan negara ini. Mengapa perlu tertuduh meminta bantuan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri.

"Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam menjalankan tugasnya dengan baik dan berjaya menghalang Altantuya daripada mengganggu majikannya tetapi Abdul Razak bagaimanapun melampaui batas apabila pada kali ini, dia mahu memastikan mangsa pergi buat selama-lamanya (mati) dan tidak kembali mengganggunya," katanya.

Menyentuh hujah pembelaan berhubung kuasa dan tugas polis yang tidak menerima arahan daripada orang awam, Tun Abdul Majid berkata pendakwaan tidak menafikan kuasa dan tugas polis.

Bagaimanapun katanya, polis mempunyai bidang kuasanya sendiri, dan Unit Tindakan Khas (UTK) tidak menyediakan perkhidmatan kotak polis dan anggotanya untuk melakukan rondaan di rumah individu.

"Jika semua yang berlaku adalah mengikut undang-undang dan dalam bidang kuasa polis, kita tidak akan melihat anggota dan pegawai polis atau sesiapapun didakwa di mahkamah atas tuduhan ini.

"Lihat situasi yang berlaku pada hari kejadian (19 Oktober 2006), Altantuya dan dua rakannya datang ke rumah Abdul Razak serta tiada sebarang kejadian berlaku.

"Bagaimanapun mangsa kemudian datang semula secara bersendirian dan hanya berada di luar serta tiada cubaan untuk memasuki rumah Abdul Razak. Jadi, mengapakah Azilah perlu datang dan membawanya pergi? Apakah kesalahannya sehingga Azilah perlu menahannya? Apakah kuasa polis yang digunakan di sini?

"Kami berhujah, adalah jelas Azilah diarahkan untuk membawa Altantuya pergi dan menghapuskannya," katanya.

Tun Abdul Majid berkata, Abdul Razak bukanlah daif mengenai undang-undang, jadi mengapa tertuduh tidak mendapatkan khidmat polis di Balai Brickfields untuk meronda di rumahnya tetapi sebaliknya memilih bertemu Azilah secara peribadi di pejabatnya.

"Mengapa Abdul Razak tidak pernah membuat laporan polis dia diganggu dan diugut Altantuya tetapi sebaliknya memilih menggunakan Azilah. Tertuduh tahu Azilah dari UTK, jadi tidakkah dia terfikir apa akan berlaku kepada mangsa? Apakah sebenarnya diharapkan tertuduh daripada Azilah sebagai penyelesaian?

"Kunjungan Azilah ke pejabat Abdul Razak, pembabitan Azilah atas permintaannya, Azilah dan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar dilihat berada di Hotel Malaya, kejadian Azilah membawa mangsa daripada rumahnya, Balasubramaniam diarahkan supaya melayan mangsa sehingga Azilah tiba, jelas menunjukkan perancangan dan arahan oleh Abdul Razak," katanya.

1 comments:

Unknown said...

Jika dah cukup bukti yang ada, apa lagi? Hukum jelah orang bersalah dan bersubahat dalam pembunuhan tersebut. Kes ini pun dah bertahun-tahun dah tak selesai lagi...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |