+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 10, 2008

Tentera jangan terjebak dengan politik perkauman Umno - Pemuda PAS

Harakahdaily

Nyza Ayob
Wed | Sep 10, 08 | 2:59:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat menolak sebarang campur tangan tentera dalam isu perkauman yang dibangkitkan sekarang ini

Ketuanya Salahuddin Ayub menafikan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang mengatakan isu tersebut boleh mencetuskan huru-hara.

Katanya, kenyataan Jeneral Abdul Aziz jelas menunjukkan bahawa pihak tentera sedang memantau keadaan yang ada, namun ia tidak bermakna tentera patut terlibat sama secara terbuka.

Jelas Salahuddin, pergolakan politik perkauman yang sedang berlaku sekarang ini bukan melibatkan pemimpin atau penyokong Pakatan Rakyat memandangkan seluruh penyokong Pakatan Rakyat telah mengambil sikap untuk merobohkan semua tembok perkauman.

Katanya, sikap yang ditunjukkan Pakatan Rakyat itu menyebabkan kaum Cina dan India tidak lagi kekok menyokong PAS yang selama ini dilabelkan sebagai ekstrimis Islam.

"Begitu juga orang-orang Melayu yang bersedia menerima DAP walaupun mereka sering dimomokan sebagai chauvenis Cina. Inilah satu pendekatan politik baru yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat yang lebih mengutamakan persoalan perpaduan, keadilan dan kesamarataan daripada perbezaan warna kulit, bahasa dan kepercayaan. Inilah asas perpaduan yang dibina oleh Pakatan Rakyat.

"Keadaan ini amat berbeza dengan parti-parti perkauman yang bergabung secara rapuh dalam BN. Mereka bersatu kerana kuasa tetapi masing-masing bersikap chauvenis terhadap kaum masing-masing. Umno cuba menjuarai isu Melayu termasuk dan meminggirkan kepentingan bangsa lain," katanya dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, orang-orang Cina dalam MCA, Gerakan dan parti-parti Cina yang lain pula mendesak untuk kepentingan bangsa mereka. Manakala India dalam MIC dan PPP pula bercakap soal hak kaum mereka.

Katanya, anasir yang sama kini menular ke Sabah dan Sarawak yang mengakibatkan mereka bercakaran semasa sendiri untuk menjadi jaguh kepada kaum masing-masing.

Situasi yang berlaku ini katanya menunjukkan realiti politik perkauman BN yang kononnya membentuk kerjasama antara kaum, tetapi hakikatnya mereka tidak memperjuangkan kepentingan bersama, melainkan kaum sendiri.

"Hari ini apabila Umno terdesak mereka membangkitkan semula isu perkauman sehingga mendesak parti komponen BN yang lain keluar pakatan itu. Parti-parti lain pula mengambil kesempatan menyalahkan Umno kerana perkauman mereka.

"Keadaan ini yang menyebabkan krisis perkauman di negara kita. Ketika rusuhan kaum berlaku pada 1960-an juga, Umnolah yang membakar api perkauman ini. Begitu juga pada 1987 dan isu Kampung Medan," katanya.

Katanya, Pakatan Rakyat telah menyedari keadaan ini dan PAS juga menganggap setiap kaum adalah bersaudara kerana semuanya berasal dari bapa yang satu, Adam.

Atas asas ini katanya, Dewan Pemuda melihat bahawa tentera tidak perlu mencampuri pergolakan perkauman kerana Umno dijangka akan memperalatkan pasukan pertahanan untuk mempertahankan survival politik sempit mereka.

Tambahnya, desas-desus bahawa tentera akan campur tangan sekiranya berlaku peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan Rakyat yang sudah tersebar seolah-olah sengaja mewujudkan suasana perkauman yang keras seperti 1987 untuk dijadikan alasan bagi penahanan pemimpin pembangkang.

Sehubungan itu katanya, dalam keadaan perkauman yang tegang seperti ini, tentera sepatutnya berkecuali dan bukannya bersuara seolah-olah membenarkan rumusan yang mengatakan tentera akan mengambil negara ini jika BN tersungkur.

Salahuddin juga mengharapkan demokrasi dapat dipertahankan agar peristiwa yang berlaku di Thailand tidak berulang di sini. - mns

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |