Kamaruzaman Mohamad Fri | Dec 19, 08 | 5:43:05 pm MYT | |
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melihat bahawa cadangan pengambilalihan Institut Jantung Negara (IJN) oleh Sime Darby Berhad semalam memulai gerak langkah Kerajaan BN yang ingin melepaskan tanggungjawab sosialnya dan industri kesihatan negara. Isu penswastaan institusi kesihatan awam sudah lama kedengaran, namun cadangan yang dikemukakan Sime Darby Berhad semalam benar-benar mengejutkan rakyat kerana ianya disambut dengan begitu santai oleh Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak yang dengan mudah bersetuju pada pengambilalihan itu. EPU sudah luluskan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato' Seri Ahmad Zubir Murshid mengakui bahawa mereka telah menerima surat kelulusan dari EPU semalam selepas mengemukakan cadangan bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan Kerajaan dalam IJN. Ini bermakna Sime Darby Berhad bakal menjadi pemilik majoriti bagi saham IJN di mana kepentingan Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan akan berkurangan kepada 49 peratus sahaja. Ini sekaligus memperjelaskan pada rakyat bahawa IJN akan bertukar tangan dan fungsi, dari Institusi milik kerajaan kepada institusi swasta. Sama ada pengurusannya akan dirombak atau tidak, itu adalah persoalan kedua. Apa yang paling merisaukan rakyat adalah kadar bayaran perkhidmatan serta obligasi rakyat yang menjadi pelanggan dan pemilik bersama IJN. Mereka buat keuntungan Semua orang tahu bahawa Sime Darby Berhad adalah syarikat milik kerajaan (GLC), walau bagaimanapun fungsinya tidak sama dengan organisasi kerajaan lainnya kerana ia adalah organisasi yang membuat keuntungan. Pada masa ini, melalui Bahagian Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sime, mereka telah mewujudkan Pusat Perubatan Pakar Subang Jaya (SJMC), dimana semua orang tahu bahawa kadar bayaran perkhidmatannya begitu tinggi. Pastinya dalam membuat kebajikan Sime Darby Berhad tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati keuntungan yang bakal dicipta melalui pengambil alihan itu. Jaminan untuk mengekalkan khidmat sosial perubatan jantung kepada golongan miskin memang ada dinyatakan dalam prasyarat pengambilalihan yang dibenarkan oleh EPU itu, namun adakah ia benar-benar memberikan ruang yang seimbang antara pesakit yang tidak bekemampuan dengan yang berkemampuan. Dikhuatiri, perkhidmatannya nanti akan tertumpu pada mereka yang berada, manakala kuota pesakit yang kurang berkemampuan akan diwujudkan dan jumlahnya mungkin kurang dari sekarang. Ini sekali gus akan memberikan satu tekanan pada rakyat untuk mencari perkhidmatan perubatan jantung alternatif yang lebih murah. Tetapi pada masa itu, mereka sudah tiada tempat untuk dirujuk kerana IJN yang menjadi satu-satunya pusat perubatan jantung negara sudah diswastakan. Kepentingan 51 peratus saham IJN sudah memberikan Sime Darby Berhad cukup berkuasa untuk menentukan dasar dan hala tuju IJN dimasa akan datang. Sime mampu, tapi punya agenda tersembunyi Presiden Sime Darby Berhad turut mengakui bahawa mereka mampu untuk membina pusat perubatan jantung yang baru, walaubagaimana pun beliau risau yang ianya agak sukar kerana memerlukan tempoh yang lama untuk membina reputasi. Pengakuan ini jelas menunjukan bahawa Sime Darby Berhad mempunyai hasrat yang lebih jauh dalam mengambil peluang bagi mendapatkan profit yang tinggi melalui reputasi dan jenama IJN yang sudah begitu terkenal dalam dunia perubatan sekarang. Oleh itu, niat Sime Darby Berhad kini menjadi persoalan, kerana mereka sudah memperjelaskan matlamat utamanya untuk menguasai perniagaan perubatan melalui jalan pintas dengan memiliki IJN. Seandainya Sime Darby Berhad benar-benar ikhlas untuk memberikan khidmat sosialnya, mereka seharusnya mewujudkan sebuah hospital baru dimana pada masa ini negara masih kekurangan fasiliti dan tenaga pakar dalam bidang perubatan jantung serta sektor kesihatan yang lain. Usaha menubuhkan hospital baru bukanlah suatu bebanan kerana penubuhan yang berasaskan khidmat sosial tidak memerlukan kuasa penjenamaan yang besar untuk bergerak maju ke hadapan. Kerajaan hanya perlu memberikan kelulusan ruang tanah dan juga sedikit bantuan bagi fasiliti pembangunan untuk menyokong usaha mereka. Menguasai IJN hanya menyempitkan peluang bagi menambahkan perkhidmatan perubatan dalam negara kerana kadarnya perkhidmatannya statik dalam lingkungan agensi IJN sahaja. Maka sewajarnya Sime Darby Berhad membina sebuah pusat perubatan baru yang mempunyai fungsi sama dengan IJN bagi memperbanyakkan lagi fasiliti yang sedia ada tanpa menganggu IJN. Tawaran EPU harus ditarik balik Oleh itu pihak Kerajaan melalui EPU wajar menarik semula tawaran kelulusan yang diberikan semalam dan membatalkan cadangan pengambilalihan kepentingan Kementerian Kesihatan sebanyak 51 peratus dalam IJN. Langkah ini lebih strategik dalam mendorong penyertaan syarikat swasta lainnya bagi membuka pusat perubatan baru dan bukannya bergantung pada institusi dan aset sedia ada milik kerajaan yang juga milik rakyat umumnya. Pemuda Wilayah memandang serius akan perkara ini dan tidak teragak-agak untuk menghantar memorandum bantahan atau demontrasi jika ianya diteruskan. Pemuda Wilayah juga menyeru agar rakyat bangkit membuat bantahan terbuka kerana ini merupakan satu permulaan. Jika anda berdiam, esok Kerajaan BN akan menjual pula Hospital dan Klinik-klinik Kerajaan yang sedia ada. Kita tidak boleh membiarkan institusi kesihatan negara diswastakan dan Kerajaan BN tidak boleh lepas tangan begitu sahaja. * Kamaruzaman Mohamad ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan _ |
Friday, December 19, 2008
Kesan buruk IJN diswastakan
Posted by
Sang Pemantau
at
11:21 PM
Labels: Harakahdaily, IJN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment