+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, December 19, 2008

Perunding IJN Sangkal Dakwaan Cadangan Penswastaan Berikutan Tuntutan Mereka

Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama)
-- Perunding perubatan Institut Jantung Negara (IJN) hari ini menyangkal persepsi bahawa cadangan penswastaan institut itu adalah sebagai reaksi atas tuntutan kakitangan perubatannya untuk mendapat upah yang tinggi.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani 34 perunding perubatan IJN, mereka mahu persepsi negatif itu diletakkan dalam konteks yang betul.

Mereka membantah kerana mereka bukan berada dalam kedudukan untuk menetapkan keputusan hasil cadangan penswastaan daripada Sime Darby kepada pemegang saham IJN.

"Bagaimanapun, persepsi bahawa cadangan penswastaan itu sebagai reaksi daripada tuntutan untuk upah yang tinggi oleh kakitangan perubatannya adalah satu salah faham yang mesti diperbetulkan sewajarnya bagi melindungi dan memelihara kepercayaan yang diletakkan oleh pesakit ke atas kami," kata mereka.

Menurut satu laporan, Sime Darby telah membuat cadangan kepada kerajaan untuk membeli kepentingan IJN Holdings Sdn Bhd, pengendali institut jantung negara.

Pada masa ini, IJN merupakan pusat perubatan jantung terkemuka di rantau ini dan dimiliki 99.99 peratus oleh Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa urusan itu ditangguhkan sehingga satu kajian mendalam dijalankan oleh kementerian berkaitan.

Para perunding itu berkata gaji mereka adalah berdasarkan struktur gaji yang berbeza daripada Kementerian Kesihatan dan walaupun ia tidak sama dengan pusat swasta, kajian semula skil gaji mereka dibuat dari semasa ke semasa bergantung kepada kelulusan Kementerian Kewangan.

Mereka berkata hanya tujuh daripada 35 perunding telah meninggalkan IJN untuk bekerja sama ada di pusat swasta di dalam atau di seberang laut dalam tempoh tujuh tahun IJN beroperasi.

"Seperti mana-mana organisasi yang sama saiz dengan kami, sudah pasti ada yang akan meninggalkan organisasi pada sebilangan masa dalam usaha meneruskan laluan kerjaya yang berbeza," kata mereka.

Mereka berkata jumlah perunding yang meninggalkan IJN cuma tiga peratus sahaja dan mereka secara konsisten memperkenal bakat baru tempatan bagi mengisi kekosongan yang ada.

Pada masa ini, 75 peratus daripada perunding IJN telah memegang jawatan mereka lebih daripada 10 tahun.

"Sebagai bukti daripada kadar bilangan perunding yang meninggalkan IJN dan berkhidmat lama di institusi ini, ia adalah logik untuk meneka bahawa pada keseluruhannya kami amat gembira dengan skim yang ada sekarang dan membuktikannya dengan kekal di IJN.

Ramai daripada kami telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun, tidak termasuk masa yang dihabiskan dengan hospital Kementerian Kesihatan sebelum IJN ditubuhkan," kata mereka.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |