Harakahdaily Dato' Dr Haron Din Thu | Apr 10, 08 | 10:35:04 am MYT | |
Soalan | Apakah apabila PAS menjadi pemerintah sesebuah negeri, undang-undang hudud Islam menjadi keutamaan? Wajib disegerakankah atau pun bukan keutamaan. Jika bukan, apa pula keutamaan PAS dalam pemerintahannya. Mohon Dato' perjelaskan. - Ubaidah Salim, Sepang Jawapan | Anda perlu memahami terlebih dahulu bahawa sistem pemerintahan di Malaysia terbentuk daripada dua sistem perundangan iaitu, pertama, pemerintah Kerajaan Pusat atau 'Federal Government' dan kedua, Kerajaan Negeri atau 'State Government'. Kerajaan Pusat dibentuk selepas parti politik memenangi majoriti kerusi-kerusi Parlimen. Demikian juga di negeri-negeri, mana-mana parti yang dapat membentuk majoriti mudah, maka merekalah yang membentuk kerajaan. Kuasa tertinggi adalah Kerajaan Pusat, mengikut kehendak Perlembagaan, kerajaan negeri perlu patuh dan tertakluk dengan kuasa Kerajaan Pusat. Kerajaan negeri tidak boleh membuat undang-undang sendiri yang bercanggah dengan Kerajaan Pusat. Oleh kerana itu, persoalan hudud adalah termasuk dalam peruntukan undang-undang yang dibolehkan oleh Kerajaan Pusat atau tidak. Buat sementara ini Kerajaan Pusat tidak meluluskan undang-undang berkait hudud dilaksanakan di peringkat negeri. Ini bererti bahawa undang-undang hudud perlu patuh kepada Parlembagaan Malaysia, maka dengan sendirinya, jika PAS tidak menguasai Kerajaan Pusat atau Perlembagaan yang ada belum diubah, ia tidak dapat dilaksanakan. Jika sekiranya negeri mahu melaksanakan undang-undang hudud, ia mesti mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan. Dengan pemahaman yang mudah, kerajaan-kerajaan negeri PAS, belum diizinkan untuk melaksanakan undang-undang hudud. Kita perlu bersabar sehingga Kerajaan Pusat dikuasai oleh PAS sehingga Perlembagaan Persekutuan dapat diubah, maka barulah ia menjadi keutamaan. Untuk sekarang ini kita mengambil panduan daripada al-Quran, tentang apakah keutamaan PAS dalam soal pemerintahan. Ia mesti berpegang kepada dasar PAS, ia termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 (1) yang menyebut bahawa, "Adapun hukum yang tertinggi sekali pada pegangan PAS adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya." Merujuk kepada al-Quran, Allah memberi keutamaan, panduan kepada pemerintah Islam yang perlu melakukannya apabila berkuasa sebagaimana firman Allah (mahfumnya): "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj, ayat 41) Kesimpulannya, keutamaan yang perlu disegerakan; pertama, memperkukuh hubungan dengan Allah menerusi menanam aqidatuttauhid yang sebenar, membasmi kesyirikan kepada Allah, menyebarkan ilmu Islam bagi memahamkan manusia umum akan Islam yang sebenar, mengajak mereka mengamalkan ajaran Islam, menghidupkan institusi agama agar ianya benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya. Kedua, memberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi, khususnya kepada golongan bawahan, fakir miskin agar mereka terbela menerusi pemberian zakat. Sebagainya perintah Rasulullah s.a.w. (mafhumnya) "Ambillah harta daripada golongan berada dan bahagikannya kepada golongan kurang berada." Itulah yang dilambangkan dengan zakat. Sekiranya semua zakat yang wajib atas umat Islam yang berada (kaya) di sesebuah negeri (khususnya di Selangor), dikumpul dengan cara yang berkesan dan sempurna, serta diagihkan kepada golongan yang miskin dengan cara yang betul, maka bayangkanlah apa yang akan berlaku. Ketiga, makruf ditegakkan. Makruf ialah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Apa sahaja yang diperintah, hendaklah dicari jalan bagaimana mahu melaksanakannya sehingga syiar Islam tertegak dan kebaikan Islam terserlah, serta nilai-nilai murni menjadi amalan masyarakat. Keempat, mencegah kemungkaran. Mengikut aturcara yang sesuai dan langkah-langkah pencegahan yang efektif lagi berwibawa, menuju penghapusan nilai-nilai negatif yang tidak disukai wujud dalam masyarakat. Kelima, berserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan yang sebaiknya dalam perlaksanaan semua urusan yang dilaksanakan menurut perintah-Nya. Wallau'alam. - lanh |
Sunday, April 13, 2008
Perlu kuasai Pusat untuk laksana hukum hudud, kata Dr Haron Din
Posted by
Sang Pemantau
at
1:22 AM
Labels: Harakahdaily, penjelasan isu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment