+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 13, 2008

Tak arah tutup mulut - Najib

Berita Harian

Oleh Sariha Mohd Ali


MESRA RAKYAT: Najib bersalaman dengan orang ramai sebelum merasmikan majlis pecah tanah Projek Akuakultur LKIM Teknologi Fish Protech, di Kampung Kuala Pahang, semalam.

Umno benar ahli suarakan rasa tidak puas hati: Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno tidak akan mengeluarkan arahan supaya 'menutup mulut' ahlinya terutama pada peringkat akar umbi daripada menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap parti itu selepas kehilangan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Timbalan Presiden Umno berkata, larangan seumpama itu jika dilaksanakan bukan saja boleh menyebabkan orang ramai marah kepada Umno, sebaliknya menganggap parti ini sebagai tidak demokratik lagi.

Berikutan itu, katanya, Umno tidak akan melarang ahlinya bercakap untuk meluahkan pandangan mereka kerana input ini penting untuk diteliti pucuk pimpinan.


"Kita tidak akan keluarkan arahan tutup mulut bagi melarang orang Umno bercakap sebab mereka akan kata Umno tidak demokratik.

"Mereka juga akan marah kepada kita dan bagi menunjukkan Umno mengamalkan demokrasi, kita akan terus beri peluang mereka bercakap.

"Paling penting sekarang ialah kita dapat maklum balas secara terbuka dan ikhlas daripada ahli pada semua peringkat dan kita akan serahkan pandangan itu kepada pucuk pimpinan untuk diteliti," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Akuakultur Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Teknologi Fish Protech, di Kampung Kuala Pahang, dekat sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi LKIM, Datuk Adam Abdul Hamid.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno memberi peluang kepada pemimpin pada peringkat bahagian menyuarakan pandangan mereka tetapi pihak terbabit juga perlu memberi peluang kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk merumuskan perkara itu.

"Berilah juga peluang kepada pucuk pimpinan khasnya Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memikirkan apakah cara terbaik untuk memulihkan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat," katanya.

Ditanya mengenai perbezaan pendapat mengenai sistem kuota untuk bertanding pada pemilihan Umno dan terbaru kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo yang turut tidak bersetuju sistem itu dikekalkan, Najib berkata ada beberapa pandangan tetapi perkara itu akan dibincangkan di peringkat MT selepas ini.

"Apa yang terbaik pada masa sekarang ialah kita masih lagi memakai peraturan sedia ada," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pelan peralihan kuasa Perdana Menteri kepadanya seperti dinyatakan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, Najib berkata:

"Nantilah... saya akan cakap bila tiba masanya. Hari... hari cakap hal itu, tak apalah... nanti," katanya.

Akhbar semalam melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, Abdullah akan berbincang dengan Najib mengenai pelan peralihan kuasa itu tetapi tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci.

Abdullah secara terbuka sebelum ini menyatakan bahawa Najib bakal menggantikannya dan beliau akan menyerahkan jawatan apabila tiba masanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |