+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 13, 2008

Pencemaran babi: Sistem tertutup dan moden adalah penyelesaian

Siasah daily

Friday, April 11, 2008

KUALA LUMPUR, 12 April: Kerajaan Selangor dipuji kerana berani menyelesaikan isu penternakan babi di negeri itu secara yang terbuka. Ini kerana sistem penternakan secara berpusat, tertutup dan moden adalah penyelesaian terbaik, kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS berkata, sudah sampai masanya isu babi ini diselesaikan melalui pendekatan good governance (pengurusan yang baik) dari membiarkan ia terus mencemarkan alam sekitar di negeri ini.

"Umno dan BN selama ini sedar masalah ini tetapi mereka penakut, play to the galary (ikut kehendak pihak terlibat) dan terikat dengan rasuah. Sebab itu ladang-ladang ternakan babi haram dan tidak terkawal ada di merata-rata tempat dan mencemarkan sungai dan pantai kita," kata beliau kepada Siasah.

Dzulkifli mengulas serangan media Umno terhadap cadangan kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan sistem ternakan babi secara moden yang tidak akan mencemarkan alam sekitar bagi menyelesaikan persoalan penternakan babi haram di negeri ini.

Kerajaan Selangor meluluskan cadangan kerajaan negeri sebelum ini untuk melaksanakan sistem penternakan babi secara moden yang dianggarkan bakal menelan belanja RM100 juta. Bagaimanapun segala perbelanjaan itu akan ditanggung oleh pelabur dan penternak babi yang terlibat.

"Sistem ini adalah jawapan kepada segala persoalan pencemaran dan bantahan penduduk terhadap kekotoran sungai dan pantai akibat najis babi di negeri ini sebagaimana dilaporkan oleh media Umno berkenaan," kata Dr Dzulkifli.

Dalam pada itu, katanya lagi, apa yang perlu dibuat oleh kerajaan Selangor sekarang adalah memastikan tempat penternakan moden ini biar sesuai dan mempunyai buffer zon (kawasan perantara) yang sesuai antara ladang dengan penempatan mereka.

Selepas dilaksanakan, beliau berkata, sistem penguatkuasaan pula mestilah cekap dan jangan sesekali terhalang oleh amalan rasuah yang membarah dalam kerajaan sebelum ini.

"Sistem best practise mestilah diamalkan dalam konteks ini," katanya.

"Orang memelihara anjing untuk menyalak pencuri. Tetapi jika pencuri itu adalah tuannya sendiri, sudah tentu anjing itu tidak menyalak," katanya lagi sebagai analogi yang nampak kasar tetapi itulah realitinya.

Sebab itulah, kata beliau, isu ini tidak selesai di Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ini kerana mereka terikat dengan rasuah dan takut dengan sentimen tentang babi yang menjadi isu sensitif di kalangan orang Melayu.
Menurutnya, Islam jelas sekali memberikan hak untuk orang bukan Islam.

"Hak orang Cina untuk makan dan berniaga dengannya. Kita tidak boleh nafi hak mereka dan sebagai kerajaan ia mestilah dijaga. Kerajaan pula perlu memastikan hak penduduk iaitu melalui penempatan yang sesuai dan pastikan ia tidak tercemar. Saya rasa itu yang hendak dibuat oleh kerajaan Selangor melalui sistem moden ini. Lagipun, semua kosnya ditanggung oleh pelabur dan penternak itu sendiri bukan kerajaan," kata beliau.

Teknologi Jerman secara tertutup

Sementara itu, seorang penulis dalam laman web Tranungkite.net berkata, projek berteknologikan Jerman ini adalah satu sistem ternakan babi moden dan tertutup (closed system). Ini bermakna babi akan dipelihara di dalam tempat tertutup (lengkap dengan pendingin hawa) dan segala najis yang tercerna akan dikitar untuk pengeluaran gas (methane). Malah darah babi apabila disembelih pun akan menjadi sebahagian daripada kitaran ini.

Lantas tidak akan wujud lagi sebarang pencemaran (zero-pollution) akibat ternakan babi selepas ini. Pihak Jabatan Haiwan dan juga pegawai-pegawai kerajaan lain telah membuat kajian mendalam mengenai kesesuaian projek ini termasuk membuat lawatan ke Jerman untuk melihat sendiri bagaimana keberkesanannya.

Mereka begitu kagum dengan apa yang mereka lihat dan bersetuju melaksanakannya di Selangor, dan jika berjaya akan dikembangkan pula ke seluruh negara selepas ini.

Penulis ini mengetahui perkara ini kerana sistem ini ditawarkan oleh satu syarikat yang dimilki oleh seorang kawannya kepada kerajaan negeri Selangor sebelum ini.

"Seperkara lagi perlu disebutkan bahawa usaha ini adalah di bawah pembiayaan swasta. Kerajaan negeri hanya menyediakan tapak projek. Orang-orang bukan Islam perlukan daging babi sementara kita perlukan air yang bersih dan persekitaran yang nyaman. Bukankah projek ini satu kompromi yang amat hebat untuk rakyat negara ini?" tulis beliau dengan nama pena Iza.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |