+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 9, 2008

1,000 merusuh

MyMetro

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
am@hmetro.com.my

MARAH...sebahagian daripada 1,000 penduduk yang merusuh.
MARAH...sebahagian daripada 1,000 penduduk yang merusuh.

CHERAS: Tindakan lebih 1,000 penduduk yang merusuh bagi menghalang kerja pembinaan konkrit di persimpangan Taman Mahkota di sini, memaksa Unit Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan mereka.

Perhimpunan bermula seawal jam 6 petang itu mula bertukar ganas selepas kehadiran Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, kira-kira jam 10.30 malam yang memasuki lokasi kerja pembinaan dan merosakkan peralatan yang digunakan pekerja syarikat konsesi Lebuh Raya Grand Saga Sdn Bhd itu.

Sejurus kemudian, penduduk yang berkumpul mula meluru ke kawasan pembinaan dan merobohkan tembok yang sedang dalam pembinaan itu.

Anggota polis yang berada di tempat kejadian segera mengarahkan orang ramai yang berkumpul bersurai secara aman dan tidak mengganggu kerja pembinaan namun tidak diendahkan, menyebabkan tembakan gas pemedih mata dilepaskan sebaik keadaan semakin tegang.

Lim bertindak berdiri di hadapan jentera meriam air FRU bagi menghalang namun ditarik polis biarpun dia meronta untuk melepaskan diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakarudin Che Mood, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 30-an, dua daripadanya ditahan jam 7 malam manakala seorang lagi kira-kira jam 10.40 malam bagi tujuan siasatan.

Difahamkan lebih 50,000 penduduk di taman perumahan itu berang berikutan tindakan syarikat konsesi lebuh raya terbabit menutup laluan yang didakwa menjadi laluan masuk ke kawasan perumahan mereka.

Selain itu, seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa berikutan penutupan laluan itu, penduduk terpaksa menggunakan laluan lebih jauh untuk pulang ke kawasan perumahan selain terpaksa membayar tol.

Sementara itu, di Dataran Merdeka, Bernama melaporkan polis menahan tiga lelaki kerana menyertai perhimpunan haram sebagai menunjukkan sokongan kepada editor laman blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin, tetapi dibebaskan semula selepas keterangan mereka diambil.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman, berkata mereka antara kira-kira 100 penyokong Raja Petra yang berkumpul di Dataran Merdeka sejak jam 8 malam.

“Polis yang mengawal keadaan sejak jam 8 malam menyuraikan perhimpunan itu sejam kemudian,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu tidak memohon permit bagi mengadakan perhimpunan itu.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terpaksa digerakkan untuk mengawal lalu lintas di hadapan Dataran Merdeka.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |