+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 9, 2008

Dun Terengganu tolak usul kertas puteh dana khas

Siasah Daily

Thursday, May 8, 2008

KUALA TERENGGANU, 8 Mei: Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini sekali lagi menolak usul yang dikemukakan oleh wakil PAS untuk menangguhkan persidangan bagi membahaskan cadangan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji projek melalui dana khas Persekutuan.


Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) mencadang untuk mengemukakan satu usul di bawah Fasal 30 supaya persidangan dewan ditangguhkan bagi maksud merundingkan satu perkara yang tertentu dan mustahak bagi orang ramai dan perlu disegerakan.

Katanya, perkara itu ialah cadangan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyediakan Kertas Putih – Laporan Kajian Projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di Negeri Terengganu Dari Tahun 2004-2008.

“Datuk Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat dari pembangkang pernah mendedahkan projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di negeri ini dilaksanakan tidak mengikut peraturan dan perbelanjaan tidak dikemukakan untuk diaudit seperti dilaporkan dalam buku Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu tahun 2005 dan 2006,” ujarnya semasa mengemukakan usul itu setelah sesi menjawab soalan lisan berakhir.

Tambahnya, menteri besar telah mengaku wujud salah guna dan penyelewengan Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada kementerian.

Beliau berkata, banyak projek yang dijalankan tidak dirujuk kepada kerajaan negeri, tidak mengambil kira keperluan dan keutamaan sebenar rakyat negeri ini dan jelas membazir.

“Oleh itu saya mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyediakan kertas putih dan dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri yang mulia ini hasil kajian terperinci semua projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di negeri ini,” ujarnya.

Ketika menolak usul itu pada jam 11.04 pagi, Yang Dipertua Dun, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, beliau difahamkan telah sedia ada jawatankuasa antara negeri dan Persekutuan untuk mengurus tadbir dan memantau perkara yang berkaitan.

Tambahan pula, katanya, menteri besar sekarang masih baru mengambil tampuk kerajaan negeri dan adalah lebih adil memberi masa kepadanya untuk mengendalikan isu yang berbangkit demi kebaikan semua pihak.

“Jadi tidaklah perlu disegerakan dan saya buat keputusan menolak usul ini,” ujarnya.
Semalam, beliau yang juga Ketua Umno Hulu Terengganu menolak usul yang dibawa oleh Haji Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung royalti petroleum.

Abdul Wahid meminta agar Dun yang bersidang semalam mengambil ketetapan menyokong supaya royalti petroleum dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |