+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 9, 2008

wakil BN Sabah tidak tolak kemungkinan sertai pembangkang

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Berita Harian
Khamis, 08 Mei 2008

BARISAN Nasional (BN) yang sudah mentadbir negara sejak mencapai kemerdekaan dianggap sebagai rumah banglo kepada parti komponennya, tetapi sesudah beberapa lama masih ada penghuninya yang berasa seperti dianaktirikan kerana tidak mendapat tempat sewajarnya dalam banglo itu.

Persoalan rumah banglo dan rumah teres, yang merujuk parti pembangkang menjadi isu yang mendominasi dan boleh dianggap paling menarik perhatian yang mewarnai pada sesi perbahasan semalam.

Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) yang membuat analogi itu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja pada persidangan Dewan Rakyat, semalam menyifatkan tidak ada salahnya jika ada ahli BN dari Sabah melompat kepada parti pembangkang jika mereka tidak mendapat tempat yang sepatutnya dalam banglo itu.

"Jika tiada lagi tempat dalam banglo sekarang (BN), apa salahnya mereka berpindah ke rumah teres (pembangkang). Apa guna kalau duduk di banglo tapi sesetengah orang (saja) yang menikmatinya. Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas saja," katanya disambut tepukan daripada wakil rakyat pembangkang dan wakil rakyat BN dari Sabah.

Anifah membangkitkan analogi itu selepas dicelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh) yang bertanya adakah wakil rakyat BN Sabah akan melompat kepada parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Jika ini bukan tindakan orang tersepit, kenapa 140 ahli yang menghuni sebuah banglo mahu berpindah ke rumah lebih kecil, rumah teres?," tanya Ahmad Zahid yang menyifatkan kedudukan dalam BN sebagai selesa dan mewah hingga tidak perlu lagi penghuninya berpindah.

Bagaimanapun, nyata sekali jawapan Anifah mengejutkan Ahmad Zahid serta hampir semua wakil rakyat BN lain.

Anifah merupakan adik Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Musa Aman.

"Saya tidak kata saya akan melompat parti. Mungkin ada beberapa yang mungkin mahu berpindah. Isu mengenai lompat atau tidak lompat ini bukanlah perkara serius. Apa yang lebih serius adalah berjuta-juta lagi rakyat di lima negeri yang sudah melompat kepada pembangkang," katanya yang disahut gelak ketawa daripada wakil rakyat PR.

Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) bangun mencelah dan bertanyakan Anifah adakah beliau akan menyokong undang-undang antilompat parti.

Anifah bagaimanapun menjawab beliau tidak setuju dengan undang-undang itu kerana ia boleh dianggap sebagai meletakkan wakil rakyat seperti berada dalam 'negara polis' apabila hak mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat disekat.

"Apalah gunanya kita terus bersama pemimpin yang sudah menyeleweng daripada matlamat asal, adakah kita perlu akur dan bertahan serta memperjuangkan pemimpin dan parti dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat.

"Apa yang penting bukan soal pemimpin lompat parti tetapi kena kaji kenapa rakyat lompat. Kenapakah mereka sudah lompat dan apa gunanya tinggal pemimpin saja tanpa rakyat. Saya suarakan hal ini supaya pemimpin faham dan sedar," tegasnya.

Kepada soalan Datuk Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang membangkitkan mengenai kurangnya kemudahan prasarana di Sabah, Anifah berkata, kemerdekaan selama 45 tahun bersama Malaysia tidak bermakna jika hasrat rakyat untuk mendapat pembangunan masih ditolak ke tepi dan wakil rakyat Sabah dipandang serong apabila membawa hasrat itu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |