+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 16, 2008

Adnan dicabar beli semula tanah Umno

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | May 16, 08 5:28pm

Bekas pemimpin kanan negeri sanggup berdepan dengan tindakan ketua perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung dakwaan mengenai penjualan tanah milik parti oleh menteri besar itu.

"Tidak perlu mengugut saya kerana Adnan sendiri telah tahu perkara tersebut.

"Saya mencabar Adnan supaya membeli semula tanah itu kerana ia milik parti," kata bekas setiausaha perhubungan Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman kepada Malaysiakini hari ini.

"Kisah ini memang benar dan penjualan tanah itu telah empat tahun lalu."

Beliau mengulas kenyataan Adnan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya susulan aduannya tentang hal itu kepada presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya Datuk Seri Najib Razak dan ahli-ahli Majlis Tertinggi dalam surat bertarikh 5 Mei.

Menurut Ahmad Tajuddin, menteri besar itu mahu mengambil tindakan undang-undang termasuk saman fitnah ke atas ketua bahagian Paya Besar itu seperti ucapan Adnan dalam rakaman cakera padat video (VCD).

Menurutnya lagi, Adnan juga mencabarnya tentang kesahihan jualan tersebut dalam ucapannnya yang dirakam dalam satu perjumpaan dengan ketua-ketua cawangan di satu bahagian di Pahang baru-baru ini.

"Adnan mencabar saya supaya membuka kitab (rekod untuk memastikan sama jualan itu terjadi atau tidak)," kata Ahmad Tajuddin, sambil menambah VCD itu beliau edar kepada semua pemimpin atasan dan ketua bahagian Umno seluruh negara.

Menurutnya, beliau menghantar surat tersebut untuk memberitahu pemimpin atasan Umno mengenai pembabitan Adnan dalam penjualan tanah tersebut tetapi sehingga hari ini belum mendapat sebarang jawapan.

Ahmad Tajuddin mendakwa, Adnan telah menjual tanah milik Umno dan sebuah syarikat Umno seluas kira-kira 30,000 ekar di Kuantan, Maran dan Rompin kepada dua syarikat iaitu Yayasan Pahang dan sebuah syarikat lagi milik peniaga Cina.

"Tanah milik Umno di Kuantan ialah seluas 11,000 ekar, Maran (2,000) dan milik Rangkaian Delima Sdn Bhd seluas 17,000 ekar di daerah Rompin pada 2004.

"Kami menganggarkan tanah itu dijual dengan harga RM600 juta berdasarkan harga pasaran semasa iaitu RM200,000 seekar. Di Kuantan harganya lebih mahal lagi.

"Tetapi yang menjadi persoalan kami tidak tahu di mana wang itu sekarang. Pihak mana yang memegang wang tersebut," dakwanya.

Beliau juga mendakwa bahawa penjualan tanah tersebut tidak dibuat mengikut saluran yang betul kerana ia tidak pernah mendapat persetujuan daripada ahli jawatankuasa badan perhubungan Umno negeri.

Katanya, apabila ahli jawatankuasa itu bertanyakan perkara tersebut kepada Adnan dalam satu mesyuarat sebelum pilihanraya umum Mac lalu, menteri besar itu berkata "itu urusan ketua perhubungan Umno Pahang."

Ahmad Tajuddin juga mendakwa, Adnan tidak mahu melaporkan butiran mengenai penjualan tanah tersebut kepada badan perhubungan Umno negeri.

Katanya, beliau tidak tahu apa motif sebenar tindakan Adnan menjual tanah tersebut sedangkan hasil yang diperolehi daripada tanah itu yang ditanam kelapa sawit kira-kira RM170 juta setahun.

"Saya mencabar Adnan berusaha membeli semula balik tanah tersebut. Kalau beliau pandai menjual, pandailah membelinya semula," katanya lagi.

Isnin lalu, Adnan dilaporkan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Ahmad Tajuddin di mukim Ulu Luit, Maran.

Menteri besar itu berkata beliau langsung tidak terlibat dengan penjualan tanah tersebut sebaliknya, Ahmad Tajuddin yang menandatangani surat perjanjian antara tiga pihak bertarikh 27 April 2004.

Beliau berkata, perjanjian tiga pihak itu ditandatangani antara Umno Pahang, Rangkaian Delima Sdn Bhd dan Prosper Trading Sdn Bhd sebagai pembeli.

''Dia (Ahmad Tajuddin) yang ada dari mula lagi, baik sebelum tanah dijual dan semasa dijual. Tandatangan dia pun ada, sedangkan tandatangan saya satu pun tak ada, bila dia buat tuduhan begini, orang melihat seolah-olah saya yang salah guna kuasa," beliau dilaporkan berkata di kediamannya di Kuantan.

Adnan dilaporkan berkata, walaupun dijual kepada Prosper Training, tidak timbul isu tanah itu dijual kepada syarikat bukan bumiputera kerana syarikat tersebut merupakan satu daripada anak syarikat yang bernaung bawah Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP) yang juga agensi milik kerajaan negeri.

''Saya sangat sedih dengan hal ini. Begitu juga dengan laporan berita TV3 yang mendakwa tanah itu dijual dengan keluasan 12,000 hektar pada harga RM600 juta.

"Ia memang tidak benar, sedangkan tanah yang terlibat tidak sampai pun 400 hektar," katanya seperti laporan Utusan Malaysia.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut ulasan Adnan tentang dakwaan jualan tanah di Kuantan dan Rompin.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |