+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 16, 2008

Penggelapan RM3 bilion royalti petroleum - Kerajaan BN perlu beri penjelasan

Harakahdaily

Fri | May 16, 08 | 10:35:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat memandang serius kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang mendedahkan bahawa Terengganu tidak menerima wang royalti berjumlah RM3 bilion yang sepatutnya dibayar kepada negeri itu sejak 2004.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Amirsham A. Aziz di Dewan Rakyat 14 Mei lalu bahawa Petronas telah membayar sejumlah RM7.3 bilion royalti kepada Terengganu sejak 2004 amat mengelirukan kerana kerajaan negeri mendakwa hanya menerima sebanyak RM4.3 bilion sahaja dalam tempoh tersebut.

"Dengan pendedahan oleh Menteri Besar Terengganu ini, bermakna sebanyak RM3 bilion telah tiris daripada dana rakyat Terengganu.

"Itupun, wang sebanyak RM4.3 bilion yang diterima oleh Terengganu adalah melalui Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih dikenali sebagai wang ehsan. Sedangkan, dalam perjanjian Terengganu-Petronas tentang hak petroleum, Terengganu dijanjikan untuk dibayar royalti," tegasnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Menurut Salahuddin, penyelewengan wang royalti dilakukan oleh Kerajaan BN sejak tahun 2000 apabila PAS menguasai negeri tersebut.

Menurutnya, pada tahun 2000 sahaja dianggar RM1 bilion royalti perlu dibayar kepada Terengganu, tetapi dirompak oleh Kerajaan BN di peringkat Pusat dan ditukar menjadi wang ehsan yang diagihkan melalui Umno Terengganu.

"Dalam tempoh empat tahun pertama rompakan royalti ini, sebanyak lebih RM4 bilion telah diselewengkan. Kemudian, apabila Umno menguasai semula Terengganu, dengan peningkatan pengeluaran minyak dan kenaikan harga minyak dunia, jumlah royalti meningkat dua kali ganda kepada RM7.3 bilion sehingga 2007 atau RM157 bilion jumlah sumbangan Terengganu kepada Petronas," jelas beliau.

Salahuddin menegaskan, isu penggelapan wang royalti minyak berjumlah RM3 bilion yang tidak diketahui butiran perbelanjaannya tidak termasuk lebih RM4 bilion yang diselewengkan antara 2000 hingga 2004.

Pemuda PAS Pusat, ujarnya tidak dapat menerima jika wang RM3 bilion itu dibelanja Kerajaan Pusat untuk pembangunan Terengganu kerana ia adalah milik negeri itu.

"Lebih membimbangkan lagi jika wang ini diselewengkan oleh menteri besar sebelum ini, Datuk Idris Jusoh. Kerana itu beliau berkeras mahu terus menjadi menteri besar bagi mengelakkan penyelewengan ini didedahkan," dakwa Salahuddin.

Pemuda PAS Pusat juga, tambah Salahuddin percaya bahawa jumlah wang royalti sebanyak RM4.3 bilion yang dimasukkan dalam bajet Terengganu itu termasuk untuk membiayai projek membazir di Pulau Wan Man dan Piala Monsun. - tajdid

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |