+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 16, 2008

Tengku Adnan dan Vincent Tan pengaruhi pelantikan hakim



Suruhanjaya dapati Lingam bercakap dengan Ahmad Fairuz dalam rakaman klip video

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan, secara langsung mempengaruhi pelantikan serta kenaikan pangkat hakim.

Ini adalah antara kesimpulan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video yang didakwa mengandungi perbualan seorang peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim, yang mengadakan inkuiri selama 17 hari berakhir 15 Februari lalu.


Suruhanjaya itu, dalam laporannya, juga menyatakan keraguan terhadap keterangan Tengku Adnan dan Tan dalam inkuiri berkenaan kerana mereka sekadar menafikan pelbagai soalan daripada peguam yang mewakili pihak berkepentingan.


Hasil siasatan suruhanjaya itu juga jelas bercanggah dengan kenyataan Tengku Adnan dalam inkuiri itu yang menyebut: "Saya tiada kena mengena dengan pelantikan hakim". Tan juga ketika memberi keterangan, mendakwa beliau tiada kaitan dengan pelantikan hakim.

Laporan suruhanjaya itu mendapati, peguam, Datuk VK Lingam, menyebut nama Tengku Adnan sebanyak 11 kali dalam rakaman klip video selama 14 minit itu, ketika bercakap dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan mencadangkan beberapa individu yang memberi keterangan dalam inkuiri berkenaan disiasat mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Kanun Keseksaan.

Laporan itu turut mendapati, wujud asas untuk agensi penyiasat membuat siasatan berhubung dakwaan Lingam mempunyai hubungan baik dengan Tun Mohd Eusoff Chin yang menjadi Ketua Hakim Negara daripada 1994 hingga 2000.

Pada 1998, adik Lingam, Thirunama Karasu membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mendakwa abangnya mempunyai kaitan dengan Mohd Eusoff tetapi perkara berkenaan tidak diambil tindakan susulan.

Dalam inkuiri yang diadakan itu, Majlis Peguam mengemukakan gambar, tiket penerbangan dan jadual perjalanan sebagai bukti menunjukkan Mohd Eusoff, Lingam dan keluarga mereka pernah bercuti bersama ke New Zealand pada akhir 1994.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan turut mengesyorkan supaya Lingam disiasat kerana salah laku mengikut Akta Profesion Guaman.

Suruhanjaya juga membuat penelitian dalam maklum balas kepada keterangan yang diberikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Dalam laporannya itu, Suruhanjaya berkenaan memetik Dr Mahathir sebagai mempunyai 'tafsiran sempit' terhadap perkataan 'perundingan' berhubung proses pelantikan serta kenaikan pangkat hakim.

Ia dibuat sebagai maklum balas kepada tindakan Dr Mahathir yang tidak menerima nasihat Dzaiddin supaya melantik Allahyarham Tan Sri Malek Ahmad menjadi Hakim Besar Malaya pada Ogos 2001.

Sebaliknya, jawatan itu diberikan kepada Ahmad Fairuz yang ketika itu lebih junior berbanding Malek. Malek meninggal dunia pada 31 Mei tahun lalu.

Laporan media baru-baru ini memetik Dr Mahathir sebagai berkata, beliau sudah membaca petikan daripada laporan suruhanjaya terbabit dan mendakwa wujud usaha mengaitkannya dengan perkara itu walaupun bekas Perdana Menteri itu menafikan mempunyai hubungan langsung dengannya.

Dr Mahathir turut mendakwa laporan itu sebagai cuba menggambarkan seolah-olah beliau seorang yang bersikap berat sebelah.

Suruhanjaya itu juga mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula keanggotaan Suruhanjaya Perkhidmatan Guaman dan Kehakiman bagi mengelak salah guna kuasa oleh Ketua Hakim Negara yang berhak untuk mencadangkan hakim yang menganggotainya.

Ketika ini, suruhanjaya itu diketuai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Peguam Negara yang juga Ketua Jabatan Guaman, adalah juga anggotanya manakala ahli lain semuanya terdiri daripada kalangan hakim.

Suruhanjaya Diraja juga mencadangkan supaya Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak turut menganggotai badan itu kerana mereka juga bertanggungjawab dalam pelantikan, pertukaran dan kenaikan pangkat hakim serta pendaftar mahkamah yang lebih rendah.

Cadangan itu dibuat kerana sebelum ini, berlaku keadaan di mana Ketua Hakim Negara mengamalkan pilih kasih.

Tiga lagi cadangan Suruhanjaya Diraja ialah supaya ditubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi hakim mahkamah yang lebih tinggi; penubuhan Tribunal Aduan Kehakiman serta pindaan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan persepsi bahawa badan eksekutif mempunyai pengaruh terhadap institusi kehakiman.

Laporan Suruhanjaya Diraja itu sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lalu dan salinannya diberi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Kandungan laporan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang akan memutuskan sama ada ia perlu didedahkan kepada umum.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |