+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 28, 2008

Ezam kembali ke Umno, kuatkan Pak Lah?

Mstar Online

28-05-2008 08:14:08 PM
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor diterima untuk kembali ke pangkuan Umno - parti yang ditinggalkannya satu dekad lalu dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan beliau sebagai "seorang yang istimewa."

Bagaimana Abdullah menolak tanggapan bahawa Ezam, 41, akan diberikan jawatan penting dalam parti dan kerajaan dalam waktu terdekat.

Pemerhati-pemerhati politik pula menyifatkan tindakan Ezam sebagai perkembangan menarik dalam senario politik semasa di tanah air termasuk ketika Umno berhadapan dengan 'krisis' baru manakala Pakatan Rakyat pula menguasai lima kerajaan negeri.

Malah, perkembangan itu merupakan yang pertama membabitkan seorang bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kembali kepada Umno selepas pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.

Ketika dihubungi oleh mStar Online petang tadi, Ezam menyifatkan pertemuan beliau dan Abdullah sebagai suatu yang baik dan positif.

Ezam tidak memberikan ulasan selepas pertemuan empat mata hari ini, sebaliknya akan mengadakan sidang akhbar di Petaling Jaya esok.

"Saya akan mengadakan sidang akhbar esok," katanya kepada mStar Online.

Beberapa jam sebelum pertemuan mereka, Jawatankuasa Pengurusan Umno mengadakan mesyuarat.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas pertemuan mereka kira-kira 45 minit di bangunan Parlimen, Abdullah berkata: "Dia (Ezam) telah berada di kedua-dua Umno dan Keadilan. Selepas berada di kedua-dua pihak, dia merasakan lebih baik berada di dalam Umno (untuk berjuang)."

Ezam juga mengemukakan permohonan kepada Abdullah untuk memasuki Umno dalam pertemuan petang ini.

Abdullah juga berkata, beliau belum lagi mengadakan perbincangan dengan Pemuda Umno mengenai hasrat Ezam menyertai kembali parti.

Ketika ditanya sama ada permohonannya sudah diterima, beliau berkata: "Dah, boleh terima."

Abdullah juga mengakui tiada apa-apa syarat diletakkan ke atas permohonan Ezam memasuki semula Umno.

Berhubung soalan sama ada Ezam boleh bertanding dalam pemilihan parti Disember ini, Abdullah yang juga Perdana Menteri memberitahu, jika perlembagaan parti membenarkannya, beliau boleh berbuat demikian.

Pertemuan itu bermula kira-kira pukul 3.40 petang.

Tengah hari ini. ketika dihubungi mStar Online, Ezam mengesahkan yang beliau akan bertemu dengan Abdullah yang kembali dari Jepun malam tadi.

"Temu janji untuk bertemu diperoleh hanya pagi ini," katanya.

Desas-desus mengenai kemungkinan Ezam akan menyertai semula Umno menjadi perhatian sejak awal tahun ini termasuk kemungkinan diberikan kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum di negeri Selangor.

Laporan media sebelum ini menyebut Ezam sudah memohon menyertai Umno selepas bergerak hampir dua tahun atas platform pertubuhan bukan kerajaan.

Ezam yang kini menjadi Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) dilaporkan akan melepaskan jawatan itu menjelang hujung minggu ini.

Beliau keluar daripada PKR pada April tahun lalu selepas kecewa dengan corak kepimpinan parti itu yang dikatakan dikuasai secara eksklusif oleh golongan tertentu berkepentingan peribadi sehingga menyebabkannya lemah.

Ezam merupakan antara sekumpulan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha keras menggerakkan perjalanan politik beliau secara aktif sejak dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 1998 dan kemudian dikenakan hukuman oleh mahkamah.

Ezam pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pada itu, pemerhati politik Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berpendapat kemasukan semula Ezam ke dalam Umno hari ini menimbulkan tiga persoalan penting berhubung senario politik semasa.

Pertamanya, kata beliau, ketika orang ramai termasuk Anwar bercakap mengenai kemungkinan ahli-ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan baru di peringkat persekutuan, orang kanannya pula menyertai kembali Umno.

"Ini bermakna Anwar sendiri tiada kawalan menyeluruh terhadap Pakatan Rakyat," kata beliau ketika dihubungi di Brunei.

Keduanya, jelas beliau, kemasukan Ezam ke dalam Umno bermakna parti itu mula memperoleh pemimpin-pemimpin yang berkualiti (walaupun tiada jawatan sekarang) memandangkan bekas orang kanan Anwar itu lazim lantang menyuarkan sesuatu isu dan mempunyai pendirian konsisten.

"Ini terbukti ketika beliau berada dalam Keadilan (luar Umno)," katanya sambil menyifatkan Ezam boleh memberi cabaran kepada barisan kepimpinan semasa dalam Umno dalam jangka panjang.

"Ketiganya, dengan kemasukan Ezam bermakna, Abdullah sudah mempunyai masa yang sesuai untuk mengumumkan peralihan kuasa. Ini adalah masa yang sesuai bagi Abdullah menyatakan bila beliau hendak menyerahkan tampuk kepimpinannya," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |