Utusan Online
|
|
KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan berdiam diri lagi dalam menghadapi ledakan tohmahan di alam siber yang bertujuan meracuni pemikiran rakyat.
Timbalan Perdana Menteri sebaliknya berkata, kerajaan akan beri lebih perhatian kepada media bukan konvensional iaitu laman web dan blog di Internet untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat.
Menurutnya, Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu telah memberikan pengajaran agar kerajaan menyiapkan diri sepenuhnya untuk berhadapan dengan medium media baru itu.
Katanya, kesilapan besar kerajaan sebelum ini adalah kegagalan untuk meneutralkan segala tuduhan tidak berasas yang tersebar luas melalui blog di Internet.
"Kita sememangnya telah terlepas pandang akan kaedah terbaik untuk menguruskan media baru (sebelum ini), saya juga mengakui kita tidak terlalu arif akan kaedah bagi berhadapan dan meneutralkan (tohmahan yang dilemparkan melalui) teknologi baru.
"Kita telah tewas di alam siber dalam konteks politik, iaitu salah satu faktor yang paling tidak dijangkakan," katanya ketika sesi soal jawab selepas merasmikan Sidang Kemuncak Media Asia, di sini hari ini.
Jelas Najib, kerajaan memutuskan bahawa berdiam diri bukan lagi satu pilihan yang bijak dan setiap isu yang dimainkan dalam media baru perlu dijawab melalui saluran yang sama.
Menjawab satu lagi soalan seorang wartawan dari Amerika Syarikat (AS), Najib berkata, usaha kerajaan berhadapan dengan media baru tidak melibatkan sebarang tindakan memenjarakan mana-mana pengendali blog.
"Dalam satu kes yang anda maksudkan itu, pengendali blog terbabit telah melanggar undang-undang negara ini dan dia sendiri asalnya telah menolak ikat jamin sebelum bersetuju untuk membuatnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa bermalam di lokap beberapa hari," katanya.
Katanya, kerajaan tidak pernah melarang kebebasan untuk menyuarakan pendapat di negara ini dan bersikap liberal, tetapi dalam negara pelbagai kaum dan agama, ada batas atau garisan yang tidak boleh dilangkau.
Beliau juga memberitahu wartawan yang sama, jika ada rakyat AS yang berminat untuk mengkritik sistem demokrasi di negara ini, maka mereka juga perlu mengkritik dasar luar negara sendiri.
"Beritahu kerajaan AS untuk menutup kem di Teluk Guantanamo dahulu," katanya.
1 comments:
Dah maju ropenya BN nie... dah tau nak guna teknologi... diam2 ubi berisi... bagus bagus... Kita patut terima baik keputusan ini, dan boleh juga counter balik tuduhan2 yang macam2 kat internet ni pasal ahli2 BN dll. Tapi kalau setakat diber jawapan standard ala dalam berita.... rasa2nya tak cukup efektif lah macam tu kot...
Post a Comment