Oleh Bernama |
Selasa, 27 Mei 2008
|
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mendakwa tidak menemui sebarang dokumen membuktikan bekas Menteri Besar dan anggota Exconya pernah mengisytiharkan aset masing-masing. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pihaknya tidak menemui apa-apa perisytiharan harta dibuat oleh bekas Menter Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan barisan Exconya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.
"Tiada bukti terdapat rekod-rekod di pejabat Menteri Besar dan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) ataupun di pejabat undang-undang negeri, yang dapat mengesahkan perisytiharan harta oleh Menteri Besar dan anggota-anggota Exco pernah dibuat.
"Kami hanya dimaklumkan sepucuk surat telah dihantar oleh ketua setiausaha Menteri Besar bertarikh Disember 1999 dan September 2000, memaklumkan anggota Exco dan ahli-ahli Dewan Undangan supaya mengisytiharkan aset masing-masing.
"Bagaimanapun tiada borang dikemukakan kepada Pejabat Menteri Besar," kata beliau di sini semalam selepas sidang Dewan Undangan Negeri Selangor. Jelas beliau, kesemua dokumen perlu dikemukakan dan difailkan dengan teratur sebelum dimusnahkan.
Malah, tindakan memusnahkan fail juga memerlukan kelulusan Jabatan Arkib Negara.
Kata beliau, kerajaan negeri menggunakan Borang APK 104 iaitu borang yang digunakan bagi tujuan perisytiharan aset oleh ahli-ahli Parlimen.
"Kami terpaksa menggunakan borang ini kerana tiada sampel berhubung perisytiharan (aset) daripada kerajaan terdahulu, yang boleh kami gunakan.
"Kami telah cuba mendapatkan bantuan daripada Parlimen dan Badan Pencegah Rasuah tetapi belum memperoleh bantuan diperlukan.
"Bagaimanapun kini kami telah mengisi borang dan dikemukakan kepada firma perakaunan Ernst & Young bagi tujuan audit sebelum diumumkan kepada orang ramai," katanya.
Kata Khalid, Borang APK 104 tidak memerlukan mereka mengisytiharkan aset kanak-kanak bahawa 21 tahun.
Mohamad Khir pula berkata, kesemua borang perisytiharan aset ketika tempoh kepimpinannya telah dikemukakan terus kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dan ia dilakukan setiap tahun.
"Kami telah menghantar borang-borang berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana mereka adalah ketua kami dan itu sebabnya borang berkenaan tiada di sini (pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri).
"Kami menggunakan borang biasa, yang disediakan kepada kakitangan kerajaan memandangkan kami semua termasuk Menteri Besar dan Exco merupakan kakitangan awam.
"Saya tidak tahu mengenai kerajaan negeri semasa," kata beliau dan menambah, sebagai kakitangan awam mereka juga perlu mengisytiharkan aset anggota keluarga mereka termasuk anak. |
0 comments:
Post a Comment