+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 1, 2008

Ibrahim Ali tunjuk tanda tidak sebelahi pembangkang

Mstar Online

30-04-2008 07:37:00 PM


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini menunjukkan tanda-tanda awal beliau tidak tergolong dalam kalangan pembangkang di Dewan Rakyat apabila `bertikam lidah' dengan beberapa wakil rakyat DAP pada persidangan dewan.

Pada mulanya beliau memilih untuk berdiam diri apabila Karpal Singh (DAP Bukit Gelugor) mempertikaikan statusnya sebagai wakil Bebas dalam kedudukan Dewan Rakyat sekalipun bertanding sebagai calon PAS pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim kemudian secara sinis berkata Karpal sendiri melanggar Peraturan Mesyuarat.

"Peraturan Mesyuarat 35(48), saya nak menarik perhatian masa dan cara bercakap. Yang Berhormat Bukit Gelugor bercakap duduk dan tak pernah minta untuk berdiri. Inipun melanggar peraturan," katanya.

Kenyataannya itu mengundang kemarahan wakil rakyat DAP dan menyebabkan keadaan kecoh. Karpal menggunakan kerusi roda kerana kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

"Saya pohon Yang Berhormat Pasir Mas tarik balik. Kita tak boleh menghina macam itu," kata Fong Po Kuan (DAP Batu Gajah).

Mendengar kata-kata Fong, Ibrahim sekali lagi bangun dan berkata: "Bila orang ganggu saya, saya tak pernah pun usik. Bila saya usik sikit dah melenting. Shut up (menuding jari ke arah barisan pembangkang)."

"Saya Ahli Parlimen Bebas. Tadi pun nama saya diungkit, perlakuan saya adalah untuk menjadi anggota Parlimen bertaraf dunia. Itu saja," katanya.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian meminta semua Anggota Parlimen agar tidak menggunakan perkataan yang kasar dan yang tidak dibenarkan dalam dewan.

"Ahli-ahli Yang Berhormat boleh tak saya minta kerjasama daripada semua untuk menunjukkan sikap betul-betul pemimpin pada pandangan rakyat. Janganlah perkara-perkara teknikal dan remeh kita bincang di sini," katanya.

Bagaimanapun, Fong, yang jelas tidak puas hati dengan jawapan Pandikar Amin, cuba bangun menyebabkan Speaker menegur wakil Batu Gajah itu kerana tidak mengikut Peraturan Mesyuarat.

"Yang Berhormat nak kemuka Point of Order tapi Yang Berhormat sendiri out of order," kata Pandikar Amin.

Gobind Singh Deo (DAP Puchong) dan Mohamed Azmin Ali (PKR Gombak) juga bangun meminta Pandikar Amin membuat keputusan berhubung kenyataan Ibrahim terhadap Karpal itu.

Bagaimanapun sebelum sempat Pandikar Amin menjawab, Ibrahim terlebih dahulu bangun dan mempertikaikan dakwaan kononnya beliau menghina Karpal.

"Tuan Yang Dipertua, apa yang unparliamentary perkataan saya? Saya kata shut up. Shut up tu dalam Bahasa Melayu diam. Apa yang menghinanya? Yang Berhormat, kalau Yang Berhormat boleh hina orang lain, sekali-sekala orang hina Yang Berhormat terimalah.

"Jadilah seorang gentleman. Saya tidak memihak kepada mana-mana. Kalau kita nak tunjuk kita Anggota Parlimen yang baik, saya bersetuju dengan Yang Dipertua. Ini semua gara-gara siaran langsung, semua nak masuk TV," katanya.

Pandikar Amin kemudian meminta supaya semua wakil rakyat berjanji untuk tidak menggunakan perkataan yang tidak dibenarkan dalam dewan dan kedengaran daripada kalangan wakil rakyat berkata setuju. BERNAMA


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |