Mstar Online 30-04-2008 04:39:31 PM |
MUFTI Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis. Surat yang dihantar pada minggu lepas menyarankan agar kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut. "Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan. Cuma ia perlu dipantau...," katanya. Pendapat Mufti Perlis berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang pernah mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut. "Seandainya ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya lagi. Dr Asri juga turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun. Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi. Pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' kerana penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan. Pesta Air menjadi kegemaran di kalangan anak-anak muda kerana seronok menyimbah air kepada rakan-rakan. Mufti yang agak vokal ini berkata, walaupun bantahan ini dibuat ini tidak bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan. "Contohnya seperti konsert yang mengajak masyarakat berhibur secara matang dan tidak menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat. Kita tidak 'ban' hiburan yang matang. Bukan semua jenis hiburan kita 'ban' atau kita cuma mengalu-alukan hiburan berbentuk nasyid saja," katanya. "Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang. Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja. Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap teguran beliau akan dapat perhatian kerajaan baru ini. Ianya perlu untuk menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama. "Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini. Seharusnya mereka diberi peluang menangani masalah begini," katanya. |
Thursday, May 1, 2008
Mufti Perlis hantar surat bantahan 'Jom Heboh'.
Posted by
Sang Pemantau
at
1:18 PM
Labels: mstar online, mufti, TV3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment