+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 1, 2008

Siaran langsung Dewan Rakyat dikaji semula

Utusan Online

KUALA LUMPUR 30 April - Slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang Dewan itu hari ini, kata Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau kecewa kerana kemudahan itu disalah guna oleh ahli Parlimen pembangkang untuk menonjolkan diri mereka dan bukannya mengetengahkan isu-isu kepentingan rakyat.

''Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Parlimen telah disalahgunakan. Siaran langsung disalahgunakan. Ahli Parlimen pembangkang tidak menghargai institusi Parlimen yang berperanan untuk berbincang dan mencari yang terbaik untuk rakyat.

''Tetapi hari ini Parlimen digunakan untuk mencari publisiti murah. Mereka menimbulkan perkara yang remeh-temeh, seperti soal bilangan perkataan malah jelas pembangkang tak menghargai Parlimen dan mandat rakyat serta langsung tidak menghormati semangat keterbukaan yang cuba kerajaan buat," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ditanya sama ada kekecohan itu berpunca daripada eksploitasi siaran langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau menegaskan, memang ada sesetengah rakyat suka melihat sarkas tetapi Parlimen tidak boleh dianggap sebagai sarkas untuk dipertontonkan kepada umum.

Justeru beliau akan mengadakan perbincangan peringkat kementerian sama ada akan meneruskan slot siaran langsung itu atau menghentikannya.

Bagaimanapun, katanya, melihat kepada tingkah laku ahli Parlimen, khususnya daripada parti pembangkang hari ini yang disifatkannya sebagai ahli Parlimen kelas ketiga, beliau merasakan masa siaran langsung itu tidak patut disambung atau dilanjutkan.

Ahmad Shabery berkata, ahli Parlimen pembangkang menggunakan platform Parlimen untuk kepentingan peribadi dan perkara itu jelas terbukti pada hari ini, menyebabkan rakyat marah dan akan rasa ditipu oleh pembangkang yang secara jelas menyalahgunakan mandat yang diberikan kepada mereka.

''Tidak (melanjutkan masa siaran langsung). Kalau kita lanjut melebihi 30 minit, keadaan inilah yang berlaku sepanjang masa," katanya.

Katanya, beliau sedar di negara-negara lain yang mengadakan siaran langsung secara penuh, khususnya dunia ketiga, masalah yang sama dihadapi iaitu ahli Parlimen tidak menumpukan perbincangan kepada perkara-perkara penting kepada rakyat dan negara.

''Sehinggalah kita merasakan ahli Parlimen khususnya pembangkang benar-benar berfikiran secara kelas pertama, barulah kita rasa wajar tempoh siaran langsung dalam Parlimen disambung dan dipanjangkan.

''Jika mereka masih berkelakuan macam ahli Parlimen kelas ketiga seperti hari ini, kita rasa kita hanya menghabiskan wang dan masa rakyat untuk meneruskannya. Seperti yang saya kata, ada rakyat yang suka melihat sarkas tapi Parlimen bukan sarkas," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |