+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 1, 2008

Jika benar Malaysia negara demokrasi, mansuhkan ISA!

Harakahdaily

M Khaleel Kas

Thu | May 01, 08 | 11:05:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Hrkh) - Malaysia tidak perlu lagi mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekiranya kerajaan benar-benar mengamalkan sistem demokrasi.

Menurut Dato' Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang dipetik Bernama ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam, jika akta itu terus digunakan, ia seolah-olah menggambarkan negara ini bukan berada dalam keadaan stabil dan aman.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan-Permatang Pauh) yang turut membahas dalam sidang parlimen semalam, sekali lagi menggesa kerajaan membebaskan tanpa syarat kesemua tahanan ISA atau membicarakan mereka dalam mahkamah terbuka.

Beliau berkata sejak digubal pada 1960, ISA telah menjadi alat paling berkuasa bagi pihak eksekutif untuk menahan seseorang individu atau kumpulan tanpa bicara.

"Akta ini telah menyekat kebebasan individu, meningkatkan kuasa eksekutif, melemahkan kuasa mahkamah dari menyemak sebarang ketidakadilan dan menjadi ancaman terhadap hak asasi manusia.

"Sejak ISA diperkenalkan, sejumlah 10,711 orang menjadi tahanan di bawah akta itu," katanya.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 70 orang lagi yang masih ditahan mengikut akta berkenaan di kem tahanan Kamunting, di Taiping.

Dalam pada itu sebelumnya, Dr Wan Azizah menerima memorandum berkenaan ISA daripada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di lobi parlimen yang turut menuntut pihak kerajaan agar memansuhkan akta draconian itu atau membicarakan kesemua tahanan di mahkamah terbuka.

Dalam majlis penyerahan memorandum itu, beliau berkata akta seperti itu tidak sepatutnya ada di dunia kerana penahanan itu tiada sebarang perbicaraan dan bukti kukuh yang disabitkan bersama.

"Letakkanlah diri anda jika ada di kalangan sanak saudara anda ditahan di bawah akta ini. Sanggupkah anda merasai derita yang ditanggung keluarga ISA ini, yang mana sudah ada yang ditahan selama lebih enam tahun?" soal Wan Azizah.

Beliau turut meminta media agar melaporkan dan tidak 'menyembunyikan' fakta mengenai ISA ini agar rakyat mengetahui kezaliman akta ini.

Turut sama dalam majlis penyerahan memorandum ialah isteri tahanan ISA, Norlaila Othman, isteri kepada MP Kota Anggerik, yang juga tahanan ISA, Pushpaneela dan adik kepada V Ganabatirau.

Wan Azizah, kemudiannya menyerahkan lencana 'Malaysia Bebas Dari ISA' kepada beberapa Ahli Parlimen, termasuk Dato' Seri Nazri Aziz, Dato' Sharir Samad, Dato' Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin.

Antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hadir ialah Ir Khalid Samad (Shah Alam), Dr Lo' Lo' Ghazali (Titiwangsa), Dr Mariah Mahmud (Kota Raja), Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Dr Hayati Osman (Pendang), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Tian Chua (Batu), Sivarasa Rasiah (Subang) dan Fuziah Salleh (Kuantan). - mks.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |